Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Year In Search: Inilah carian oleh rakyat Malaysia sepanjang 2023


MEMANDANGKAN kita semakin menghampiri penghujung tahun, telah tiba masanya untuk mengimbas kembali saat-saat yang mencetuskan inspirasi, membuat kita terkejut dan berfikir sejenak. Bagi Malaysia, 2023 telah membawa perubahan besar dan permulaan yang dilalui seperti kerajaan baharu, bakal raja baharu dan fasa pandemik baharu.

Ketika rakyat Malaysia berhadapan dengan perubahan dunia, daripada cuaca kepada peristiwa global, pelbagai jawapan telah dicari untuk memahami semua yang sedang berlaku. Kita telah menunjukkan kepedulian kepada mereka yang terkesan oleh isu-isu yang rumit, mengikuti keputusan pilihan raya dan mencari bantuan kewangan lebih daripada perkara-perkara lain.

Malah sewaktu menghadapi masa-masa sukar, kita juga turut menikmati kegembiraan dan keseronokan melalui permainan, sukan dan hiburan.


Mengemudi berita dari seluruh dunia

Dari segi berita, rakyat Malaysia paling berminat dengan topik bantuan kewangan. Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bantuan tunai kerajaan untuk golongan pendapatan rendah dan sederhana, menakluki senarai berita sohor kini, manakala ‘eBelia Rahmah’, kredit e-tunai sebanyak RM200 untuk remaja berusia 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di institusi tinggi, menduduki tempat keenam.

‘War in Israel and Gaza’ merupakan carian kedua paling sohor kini dalam senarai ini, di mana ia mencerminkan keinginan dalam mencari ketelusan dan pengakhiran bagi perang yang amat membinasakan, di samping mengikuti berita bencana ‘Turkey Earthquake’ yang merupakan carian sohor kini yang kelima.

Rakyat Malaysia juga turut mengikuti keputusan pilihan raya negeri, dengan ‘Keputusan PRN’ di tempat ketiga.

Berita lain yang menarik perhatian di seluruh negara adalah penutupan syarikat penerbangan kos rendah tempatan ‘MYAirline’ pada awal Oktober, ‘PLKN’ atau Program Latihan Perkhidmatan Negara yang membuat kemunculan semula, kebimbangan ibu bapa mengenai risiko mainan ‘lato-lato’, insiden ‘The 1975’ di sebuah festival muzik di Sepang, dan kemalangan pesawat ‘Elmina’ di Shah Alam.




Daripada skrin perak kepada skrin digital

Kita gemar menonton drama TV terkini, atau pergi ke pawagam untuk menonton filem-filem box-office terkini, begitulah kepentingan peranan hiburan di Malaysia.

Senarai ‘Filem’ popular termasuk Oppenheimer yang menceritakan kisah seorang saintis Amerika, J. Robert Oppenheimer dan peranan beliau dalam pembangunan bom atom, diikuti oleh filem aksi langsung boneka Mattel ikonik, Barbie dan thriller aksi Bollywood, Jawan yang dibintangi bintang global Shah Rukh Khan, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Untuk ‘Siri TV’ popular, Till the End of the Moon iaitu siri drama Cina tentang makhluk kejam dan dewi yang cuba menyelamatkan dunia menduduki tempat pertama. Drama tempatan, Perempuan Itu dengan Mimi Lana dan Zul Ariffin sebagai pelakon utama, berada di tempat kedua dalam senarai, manakala tempat ketiga adalah drama aksi polis Hong Kong, The Invisibles.



Merekod skor

Daripada mengikuti ‘Indian Premier League 2023’ dan ‘All England Open 2023’ kepada menyorak dengan penuh kebanggaan untuk atlet-atlet Malaysia, kita kekal sebagai negara penggemar sukan sejati. Badminton meraih sambutan hangat kerana pasangan beregu lelaki Aaron Chia dan Soh Wooi Yik telah memenangi gelaran Jelajah Dunia pertama mereka dalam ‘Denmark Open 2023’.

Sementara dalam bola sepak, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan posisi mereka dalam sejarah bola sepak negara apabila mereka muncul sebagai juara ‘Liga Super Malaysia 2023’ untuk kali ke-10 berturut-turut.



Kita semua ingin tahu

Rakyat Malaysia penggemar berita terpanas terutamanya apabila ia melibatkan selebriti kegemaran mereka. Konflik perkahwinan antara pelakon Puteri Sarah dan pengarah filem, Syamsul Yusof menjadi perbualan hangat apabila Syamsul berkahwin secara senyap dengan isterinya yang kedua, Ira Kazar. Ini menyebabkan ketiga-tiga daripada mereka muncul dalam senarai teratas ‘Orang’ sohor kini.

Lain-lain termasuk pelawak Singapura, Jocelyn Chia yang telah membangkitkan kemarahan bagi lawaknya tentang penerbangan Malaysia Airlines, MH370 yang hilang, pelakon pertama Malaysia yang memenangi Oscar, Michelle Yeoh, dan pelakon veteran Angeline Tan dan Sabri Yunus yang baru-baru ini telah mendirikan rumah tangga.



Mengingati orang yang tersayang

Di kala kita meraikan mereka yang masih ada, kita tidak lupa juga kepada mereka yang telah pergi. Penyanyi Hong Kong-Amerika, Coco Lee merupakan carian teratas untuk senarai ‘Dalam Ingatan’. Ucapan takziah dicurahkan daripada peminatnya di Malaysia yang mengingati bintang itu dan karya muziknya.

Malaysia juga mengikuti kes yang melibatkan kematian yang mengerikan pempengaruh dan model Hong Kong berusia 28 tahun, Abby Choi dan bintang K-Pop, Moonbin yang ditemui mati di rumahnya.

Kita turut terkesan oleh kehilangan di negara ini, termasuk pemergian bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Salahuddin Ayub, Ridzuan Hashim (pelakon), Rohana Jalil (penyanyi), Suhaimi Saad (penyanyi nasyid), Badrul Muhayat (pelakon) dan Raymond Goh (pembaca berita). Penggemar sitkom TV, Friends juga turut mengikuti berita kematian mengejutkan Matthew Perry.

Selain menunjukkan apa yang orang ingin tahu di Malaysia, platform Google Search juga menawarkan cerapan tentang topik yang menarik perhatian seluruh dunia pada tahun 2023. Kunjungi laman trend global untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah-kisah Year in Search dan carta trend popular dari Malaysia dan di seluruh dunia. Ketahui lebih banyak trend daripada tahun ini di yearinsearch.google .   


Apakah itu Year in Search Google?

Year in Search Google 2023 mengimbas kembali detik, orang, topik, acara dan tempat yang menarik perhatian dunia dalam tahun lalu, dan juga sepanjang sejarah 25 tahun platfom itu. Seperti mana Search boleh membantu anda meneroka dan menemui dunia penuh maklumat, terdapat pelbagai cara untuk meneroka tahun ini melalui lensa Google Search.

Year in Search mengetengahkan keseluruhan trend yang paling banyak dicari kepada ratusan senarai 10 teratas topik sohor kini merentas budaya pop dan gaya hidup, sukan, muzik, berita dan banyak lagi dari lebih 60 negara. - 7KLIK


Post a Comment

0 Comments