Info, perkongsian menarik cabaran pesakit kanser dalam Bicara Kanser di RTM



APABILA mendengar kisah-kisah daripada insan yang pernah menjadi ‘pejuang penyakit barah’ terus mengingatkan kita betapa berharganya setiap saat yang dimiliki.

Kisah demi kisah inspirasi dikongsikan pesakit kanser yang telah menghadapi cabaran-cabaran yang luar biasa dalam kehidupan mereka, mampu membuka mata ramai orang untuk lebih memahami apa yang dihadapi oleh mereka.

Hakikatnya setiap daripada kita juga terfikir bagaimana untuk berhadapan dengan mereka dan supaya semua orang lebih cakna tentang penyakit kanser yang boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan jantina.

Prihatin dengan keperluan untuk menyuntik kesedaran masyarakat tentang bahaya penyakit musuh nombor satu ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan program Bicara Kanser mulai 16 November ini, setiap Khamis dan Jumaat, jam 11 malam, di TV1.

Saksikan paparan serta kupasan menarik tentang kanser Prostat, kanser Nasopharyngeal Carcinoma, kanser Follicular Lymphoma, kanser Pundi Kencing, kanser Testis, kanser Teratoma, kanser Apendiks dan lain-lain.

Pada setiap episod, perbincangan mengenai penyakit merbahaya itu akan disertai oleh barisan panel yang terdiri daripada pakar-pakar berkaitan yang terdiri daripada Datuk Dr. Mohamed Ibrahim iaitu Pengarah Perubatan & Pakar Perunding Onkologi, Dr. Raymond Tan Suan-Kuo (Pakar THT, Pakar Bedah Kepala & Pakar Rawatan Dengkur & Apnea) dan Dr. Shazril Imran Shaukat (Pakar Onkologi & Radioterapi).

Diikuti Dr. Badrul Hisham Bahadzor (Pakar Bedah Urologi), Dr. M.Amir Shah (Pakar Radioterapi & Onkologi), Hasriza Hashim (Ketua Jabatan Paliatif & Rawatan Sokongan, Institut Kanser Negara) dan lain-lain.

Tidak ketinggalan info-info medik berkaitan serta perkongsian menarik daripada pesakit-pesakit kanser yang akan bercerita tentang cabaran dan perjalanan yang dilalui sepanjang bergelut dengan penyakit tersebut. - 7KLIK


[KREDIT: RTM]

Post a Comment

Previous Post Next Post