Selamat bergelar isteri, Intan Najuwa kahwini ahli perniagaan bergelar Datuk

Intan selamat bergelar isteri dengan hanya sekali lafaz. (Foto: CST Production)

OLEH: Aileen Adam

PELAKON popular, Intan Najuwa selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Ahmad Asraf Azman, 39, dengan sekali lafaz pada jam 6.45 petang Jumaat.

Pasangan itu dinikahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Datuk Dr. Hj Nooh Gadot pada majlis ijab dan kabul yang berlangsung di sebuah resort di Pantai Desaru, Johor Bahru.

Pada majlis yang bertemakan empat unsur alam ini, Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abd Wahid, 26, menerima mas kahwin bernilai RM20,000, selain hantaran berjumlahRM222,000. Difahamkan angka 2 menjadi pilihan sebagai lambang tempoh dua tahun perkenalan antara Intan dan suami.

Kedua mempelai tampil memikat dengan mengenakan persalinan daripada rekaan pereka fesyen terkenal, Fizi Woo bernilai RM40,000 bagi sesi pernikahan, manakala Teh Firdaus bagi majlis bersanding serta acara potong kek, selainditatarias oleh jurusolek terkenal, Datuk Alha Alfa.

Majlis yang dikendalikan pihak Rimbunan Events & Whitebox yang berlangsung secara sederhana itu dihadiri kira-kira 150 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan terdekat, selebriti dan media.

Menurut Januwa, persiapan majlis telah berlangsung selama sebulan dan pemilihan tarikh 18 Ogos itu merupakan tarikh yang signifikan kerana ia adalah tanggal kelahiran Intan Najuwa.

Sementara itu, majlis resepsi kedua bertemakan tradisional bakal berlangsung di Rimbunan Event Space, Johor Bahru, malam esok.

Pelakon drama bersiri Jesnita itu menzahirkan rasa syukur dan juga mengucapkan jutaan terima kasih buat semua tetamu yang hadir pada hari bahagianya. - 7KLIK

“Alhamdulillah, saya bersyukur segalanya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar. Doakan yang terbaik buat kami berdua dalam melayari rumah tangga.

"Walaupun sudah bergelar isteri, saya akan terus menyambung karier lakonan serta mengutamakan pengajian serta bisnes.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat atas sokongan yang diberi seawal kerjaya Intan sehingga hari ini," katanya.


[KREDIT FOTO: CST Production] 










Post a Comment

Previous Post Next Post