KENALI STADIUM KEBANGGAAN RAKYAT MALAYSIA



RADIO Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi keterujaan bersama seluruh rakyat Malaysia mengikuti penjelajahan ke stadium bola sepak yang menjadi kebanggaan mewakili negeri masing-masing terutama dalam kalangan penggemar sukan bola sepak tanah air.

Program Sepak Mula yang menampilkan hos Tunku Hanis akan mula bersiaran pada 18 Ogos ini, setiap Jumaat hingga Ahad, pukul 11 malam di TV Okey. 

Rakyat Malaysia berpeluang mengetahui dengan lebih lagi sejarah pembinaan, fungsi dan fasiliti pembinaan stadium bola sepak seluruh negara bersama tetamu jemputan di setiap lokasi terpilih menerusi program 13 episod itu.


Stadium Perak - Perak

Episod pengenalan berada di Stadium Perak, Ipoh, Perak. Stadium berusia 56 tahun dan menjadi stadium utama bagi pasukan Perak FC.

Datuk Bandar Bandaraya Ipoh iaitu Datuk Rumaizi Baharin akan bercerita mengenai latar belakang sejarah Stadium Perak serta fasiliti yang terdapat di dalam stadium hari ini. Semnetara Pengurus Fasiliti dan teknikal stadium pula berkongsi bagaimana sistem elektrik dan lampu limpah stadium berfungsi dan dijaga.


Stadium Darul Aman  -Alor Setar, Kedah

Stadium Darul Aman Alor Setar adalah stadium utama pasukan Kedah FC. Penolong Pengarah Perbadanan Stadium Negeri Kedah, Najib bercerita mengenai latar belakang sejarah pembinaan stadium, fasiliti dan juga perancangan masa hadapan stadium.

Penonton juga dapat mengetahui bagaimana pihak pengurusanmenjaga lanskap dan padang. Mereka akan menunjukkan teknik menanam rumput di kawasan padang juga menggunakan jentera memotong rumput.

Segmen seterusnya menyaksikan perkongsian pengalaman daripada Hazriq Fahmy, seorang penyokong tegar, kolektor jersi dan juga pemimpin kelab penyokong Legasi Hijau Kuning. Tidak ketinggalan temubual bersama Azrai Khor Abdullah, seorang jurulatih lagenda negeri Kedah dan Malaysia.


Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin - Gong Badak, Terengganu

Destinasi berikutnya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, stadium utama pasukan Terengganu FC. Stadium ini adalah stadium terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Zulkefli Mohammad akan bercerita mengenai latar belakang sejarah pembinaan stadium, fasiliti dan juga perancangan masa hadapan stadium.

Menyusul segmen seterusnya mengetahui bagaimana rumput jenis Bermuda yang digunakan di stadium itu dijaga. 


Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah - Kuala Terengganu, Terengganu

Masih di Terengganu iaitu Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah Kuala Terengganu. Stadium yang dibina pada tahun 1967 ini menyimpan pelbagai kenangan peristiwa pahit dan manis bagi penyokong bola sepak Terengganu.

Penyelia Stadium, Hamdan akan membawa penonton melawat sekitar stadium dan berkongsi tentang sejarah pembinaan, fasiiti, fungsi serta masa hadapan stadium.

Pada segmen seterusnya seorang penyokong tegar pasukan Terengganu FC, Hanafi, akan berkongsi mengenai bagaimana suasana perlawanan bola sepak pada era 1980-an dan 1990-an. Penonton juga dapat melihat bagaimana beliau menaiki bot penambang dari Kampung Seberang Takir untuk menonton perlawanan bola sepak. 


Stadium Darul Makmur - Pahang

Pengembaraan diteruskan ke Stadium Darul Makmur yang dibina sejak 1970 yang kini menjadi stadium utama bagi pasukan Seri Pahang FC.

Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur, Mohd Izzudin akan  bercerita mengenai sejarah pembinaan stadium, fasiliti dan fungsi stadium.

Penonton juga dapat melihat bagaimana teknik menjadi pengacara melalui sistem siaraya stadium menerusi temubual bersama Pengarah Teknikal Seri Pahang FC.


Stadium Hang Jebat Melaka - Melaka

Penonton ke negeri Melaka untuk melihat Stadium Hang Jebat Melaka yang terletak di Krubung, Melaka. Stadium ini adalah stadium utama bagi pasukan Melaka United FC.

Pengarah Pengurusan Koperat dan Komuniti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Norfadzlina akan membawa penonton berjalan-jalan sekitar stadium sambil bercerita tentang sejarah, fasiliti dan fungsi stadium.


Stadium Negeri Sarawak - Sarawak

Stadium Negeri Sarawak merupakan stadium utama bagi pasukan Sarawak United FC. Pengarah Belia dan Sukan Negeri Sarawak yang menerangkan mengenai keadaan stadium, sejarah pembinaan, senibina dan jua fasiliti yang terdapat di dalam kawasan tersebut.

Episod ini akan membawa penonton untuk bersama pasukan pembersihan stadium dan melihat sendiri bagaimana proses penjagaan dan pembersihan stadium itu dijalankan.


Stadium Likas  - Kota Kinabalu, Sabah

Kunjungan berikutnya di Stadium Likas di Kota Kinabalu Sabah yang juga merupakan stadium utama pasukan Sabah FC. Pengurus Stadium, Daniel akan bercerita mengenai sejarah pembinaan, fasiliti dan fungsi stadium.

Sementara Ketua Jurulatih Pasukan Sabah iaitu Ong Kim Swee akan bercerita mengenai pasukan Sabah FC serta perancangan masa hadapan pasukan mereka.

Penonton juga akan bersama dengan beberapa orang kolektor jersi yang unik dan menyimpan ratusan jersi dari pelbagai pasukan bola sepak terutamanya pasukan Sabah.


Stadium Batu Kawan - Pulau Pinang

Episod di utara tanah air iaitu Stadium Batu Kawan Pulau Pinang yang dalam proses pemulihan dan naik taraf. Stadium ini kelak akan menjadi lokasi utama untuk perlawanan melibatkan pasukan Pulau Pinang FC.

Ketua Jurutera Stadium akan berkongsi mengenai proses pengubahsuaian dan naik taraf stadium, selain seorang pelukis mural berkongsi mengani sebuah lukisan mural di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.


Stadium Bola Sepak Cheras - Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur

Menampilkan Stadium Bola Sepak Cheras di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur yang menjadi stadium Utama pasukan KL City FC yang juga juara Piala Malaysia tahun 2020.

Pemilik pasukan KL City FC akan bercerita mengenai pengalaman manis memenangi Piala Malaysia. Sementara pemain lagenda bola sepak negara iaitu Subadron Aziz akan bercerita mengenai peristiwa pahit manis dan jatuh bangun pasukan bola sepak Kuala Lumpur sejak awal penubuhannya.


Stadium Merdeka - Kuala Lumpur

Istimewa pendedahan berkaitan Stadium Merdeka yang menyimpan banyak sejarah dan kenangan tentang sejarah negara dan saksi kepada kegemilangan bola sepak Malaysia.

Penonton akan dibawa melihat sendiri bagaimana stadium ini diubahsuai semula oleh pihak PNB kembali kepada keadaan asal seperti awal pembinaannya pada tahun 1957.

Penonton juga akan bersama dengan seorang pemain legenda negara iaitu Datuk Jamal Nasir yang bercerita mengenai pelbagai kenangan sebagai pemain bolasepak yang pernah menjulang piala Pestabola Merdeka di stadium ini.


Stadium Sultan Ibrahim Johor - Johor

Episod terakhir program ini menampilkan Stadium Sultan Ibrahim, Johor yang serba lengkap dan canggih milik pasukan JDT FC.

Pengarah Koperat JDT, Kevin Moras akan membawa penonton meninjau keadaan dan bercerita mengenai sejarah pembinaan, fasiliti dan juga fungsi stadium.

Sementara pengurus fasiliti stadium pula akan menunjukkan bagaimana stadium yang serba canggih itu diurus dan diselia. Pada segmen terakhir penonton akan bersama kelab penyokong pasukan JDT sama-sama menonton perlawanan separuh akhir Piala Malaysia.




SEPAK MULA
Bahasa: Melayu
Episod: 13         
Hari: Setiap Jumaat hingga Ahad (Mulai 18 Ogos 2023)
Masa: 11 malam
Saluran: TV Okey
Terbitan: RTM
Pengacara: Tunku Hanis



[KREDIT: RTM]

Post a Comment

Previous Post Next Post