Kejutan! Rupa-rupanya Leong Mun Yee adalah identiti sebenar Lolipop



PENONTON program realiti The Masked Singer Malaysia (TMSMY) musim ketiga dikejutkan dengan pendedahan identiti sebenar selebriti yang berselindung di sebalik maskot Lolipop pada minggu ini.

Siapa sangka selebriti tersebut adalah bekas atlet terjun negara, Datuk Leong Mun Yee yang terpaksa akur apabila menjadi peserta pertama tersingkir untuk musim ini apabila persembahannya menerusi  lagu Sha Na Na nyanyian asal Amy Mastura berada di kedudukan paling bawah.

Bagaimanapun identiti sebenar Mun Yee gagal diteka dengan tepat oleh barisan juri sehinggalah ia didedahkan oleh hosnya, Datuk AC Mizal pada penghujung rancangan. 

Mengulas tentang penyertaannya dalam program terbabit, Mun Yee mengakui teruja apabila dijemput sebagai peserta TMSMY3 biarpun sedar bakal berdepan cabaran berat.

"Perasaan saya sangat excited bila kali pertama dipanggil untuk menyertai TMSMY3, tapi dalam masa sama tahu ia sangat mencabar buat saya yang bergelar atlet ini.

"Saya rasa macam boleh, tapi bila menyanyi di pentas dan dengar balik nyanyian itu, hati saya terus kata, oh tak boleh ni (ketawa).

"Kalau kawan-kawan saya tengok program ini, mesti mereka terkejut. Mereka kenal saya seorang yang pendiam dan jarang menyanyi, tapi tiba-tiba boleh masuk TMSMY3," katanya.


Berkongsi pengalamannya membuat persembahan dengan kostum Lolipop itu, legenda atlet terjun yang pernah lima kali mewakili negara di Sukan Olimpik untuk sukan tersebut mengakui pergerakannya agak terbatas kerana kostum berat.

"Saya rasa sangat gementar, malah sukar membuat pergerakan kerana kostum itu agak berat dan takut tertanggal. Kepala lolipop itu juga agak panas bila pakai dalam tempoh masa yang lama.

"Ditambah lagi dengan status saya sebagai ahli sukan yang sememangnya keras bila menari dan nampak sangat tidak natural," katanya yang mengakui seronok menjadi sebahagian daripada program TMSMY3.


Selain Lolipop, edisi ketiga TMSMY ini turut mengetengahkan 13 kostum lagi kostum menarik bagi mewakili peserta bertanding yang terdiri daripada Mawar Berduri, Kurita, Si Tangkis, Betta Fish, Bertih Jagung, Zirafah, Abang Burger, Mr Parrot, Manggis, Pizza Panas, Brokoli, Nyoq Muda dan Dewi Angsa.

Seramai 14 orang selebriti popular tanah air dari pelbagai latar belakang seperti penyanyi, pelakon, pelawak, personaliti TV, atlet sukan, pempengaruh media sosial dan ramai lagi akan berentap mempamerkan kebolehan vokal masing-masing di hadapan barisan juri selebriti.

TMSMY merupakan program adaptasi daripada format program realiti The King of Mask Singer di mana para peserta akan berselindung di sebalik kostum menutup badan bagi merahsiakan identiti mereka dan hanya suara akan diperdengarkan.

Barisan juri akan meneka siapakah identiti sebenar yang bersembunyi di sebalik topeng tersebut. Bagaimanapun hanya peserta tersingkir sahaja yang akan didedahkan identitinya pada penghujung rancangan.

Antara juri pada edisi kali ini ialah Ella, Elly Mazlein, Misha Omar, Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Emma Maembong, Atu Zero, Didie Alias dan ramai lagi.

TMSMY3 bersiaran secara eksklusif menerusi Astro Warna HD (saluran 107) pada setiap Jumaat, mulai 23 Disember lalu, jam 9 malam.  

Pada musim sebelum ini, TMSMY telah menobatkan penyanyi popular tanah air, Aina Abdul  menerusi kostum Bunga Raya sebagai juara musim pertama, manakala Shila Amzah dalam kostum Rambutan pula juara musim kedua. - 7KLIK


[KREDIT FOTO: Instagram Leong Mun Yee]







Post a Comment

Previous Post Next Post