Sektor kreatif Malaysia meriah dengan dana RM3 juta daripada Geran ArtsFAS 2022



YAYASAN Hasanah hari ini mengumumkan bahawa ia bakal menyalurkan geran bernilai hampir RM3 juta kepada 26 organisasi seni, budaya dan warisan menerusi inisiatif Arts for All Seasons atau Seni Sepanjang Musim (ArtsFAS) bagi menyokong usaha merancakkan kembali ekonomi kreatif.

Lebih 1,000 penggiat seni, budaya dan warisan dijangka mendapat manfaat melalui program geran tahunan ArtsFAS yang diuruskan bersama dengan Kementerian Kewangan, sekaligus menyumbang kepada peluang ekonomi yang lebih baik, di samping menghidangkan pengalaman seni dan budaya untuk santapan penonton Malaysia.

Sekitar 50 persembahan, produksi teater, bengkel, pameran, webinar, persembahan berkumpulan, sesi dialog kritikal dan acara lain bakal diadakan di Lembah Klang serta hampir kesemua negeri dari September sehingga Disember 2022, menyajikan sebuah pengalaman yang mengujakan deria untuk semua lapisan masyarakat Malaysia.

Hands Percussion, Pertubuhan Kebudayaan dan Orkestra Cina Ipoh Perak, Whatmatters, dan Sutra Foundation adalah antara inisiatif disokong ArtsFAS yang menjadi perhatian buat tahun ini.

“Fasa endemik ini memberi kita peluang untuk menikmati dan menghargai kembali apa yang kita rindukan selama ini – acara seni secara langsung. Justeru, kami ingin menjemput rakyat Malaysia untuk menyokong warisan kreatif kita, dan pada masa yang sama membantu komuniti artis tempatan yang merupakan ‘barisan hadapan’ budaya negara, melalui ArtsFAS,” kata Dato’ Shahira Ahmed Bazari, Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah.


Menurut Datuk Shahira,

"ArtsFAS merangkumi bentuk seni komuniti dan wilayah yang bertujuan untuk memelihara ekspresi kreatif tradisional. “Ini adalah platform untuk kita memberi penghormatan buat pelbagai ekspresi seni, warisan dan budaya.

“melalui teknologi, pertukaran pengetahuan, dan acara, kita boleh memupuk kesedaran dan pendidikan yang lebih meluas tentang bentuk seni yang bervariasi di Malaysia – lebih-lebih lagi untuk memberi inspirasi kepada golongan belia.”


Terdapat juga pertandingan dan wacana intelektual yang berkisar fakulti kreatif dan budaya.

“Kami gembira dapat bekerjasama untuk membantu para penggiat seni tempatan untuk bangkit meneruskan projek mereka selepas dilanda wabak.

"Kami berharap industri kreatif akan terus menerima penyertaan, latihan dan bentuk sokongan geran lain, kerana sektor ini memainkan peranan penting dalam fasa pemulihan negara kita,” ulas Shahira.


Awal tahun ini, Yayasan Hasanah mengumumkan bahawa ia akan menyokong organisasi kreatif yang cemerlang untuk menerima dana pembiayaan projek secara sekali sehingga RM250,000 melalui ArtsFAS, yang kemudiannya menerima lebih 100 permohonan.

Geran ini membolehkan para penggiat seni untuk menggerakkan projek mereka, sambil menyediakan platform untuk memaparkan bakat kreatif dan hasil kerja mereka melalui tayangan perdana fizikal mahupun penstriman online secara langsung.

Untuk maklumat lanjut dan kalendar acara ArtsFAS 2022 yang lengkap, sila layari www.artsfas.org , - 7KLIK


Post a Comment

Previous Post Next Post