Pasangan jadi lawan - aksi janggal Liu Ying-Peng Soon di Indonesia Master 2022


DULU
kawan, kini lawan. Itulah yang berlaku kepada bekas pasangan beregu campuran handalan negara, Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon yang buat pertama kalinya memasuki gelanggang sebagai lawan pada pusingan pertama Daihatsu Indonesia Masters 2022 yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, pada Rabu.

Berhadapan sebagai lawan untuk mencari kemenangan, Peng Soon dan pasangannya, Cheah Yee See berjaya mengalahkan Liu Ying dan Soong Joo Ven dengan 21-17, 21-10. 

Sebuah permainan yang menarik yang ditunggu ramai peminat kedua-dua pemain ini yang pernah berpasangan selama 13 tahun, sebelum berpisah pada Januari lalu.

Ironinya, Indonesia menjadi lokasi kejohanan terakhir pasangan ini bergandingan bersama pada tahun lalu dan turut menjadi kejohanan pertama yang menyaksikan mereka beraksi sebagai lawan. Disebabkan itu, ramai peminat meluahkan perasaan yang bercampur baur saat menyaksikan perlawanan yang dianggap janggal ini.

Liu Ying membuat debut dengan Soong Joo Ven yang juga bermain untuk acara perseorangan lelaki, selepas menamatkan gandingannya dengan Ong Yew Sin pada Mei lalu menerusi tiga kejohanan antarabangsa (German Open, All England dan Korea Open).

Sementara Peng Soon pula membentuk gandingan baharu bersama Cheah Yee See, selepas berpisah dengan Valeree Siow dan Toh Ee Wei.  

Peng Soon kini kembali bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), manakala Liu Ying kekal sebagai pemain profesional negara.

Memetik temubual Peng Soon bersama The Star, bintang 34 tahun itu mengakui sekiranya ada pilihan, dia tidak mahu berhadapan dengan Liu Ying sebagai lawan di gelanggang.

"Jujurnya, saya tidak mahu berdepan dengannya sebagai lawan di kejohanan kerana dia adalah pasangan yang sangat menyenangkan di dalam dan luar gelanggang.

"Indonesia Masters adalah kejohanan kedua sejak kami berpisah. Jadi, saya tidak menyangka akan kembali bertemu dengannya sebagai lawan secepat ini.

"Saya rasa, ia seperti aturan BWF untuk mempertemukan kami dalam pengundian," selorohnya.

Apa-apapun tahniah Peng Soon-Yee See yang berjaya melangkah ke peringkat seterusnya dan semoga ada rezeki untuk naik podium.

Liu Ying-Joo Ven telah menunjukkan permainan yang cukup baik untuk kejohanan pertama mereka. Mungkin memerlukan sedikit masa untuk mencari keserasian, sekali gus menyinar sebagai pasangan beregu campuran baharu dalam ranking BWF selepas ini. 


Post a Comment

Previous Post Next Post