Terbuka Korea Selatan: Kian Meng-Pei Jing tamatkan penantian tiga tahun ke final




[KREDIT BERITA: https://www.stadiumastro.com/sukan-badminton/terbuka-korea-selatan-kian-mengpei-jing-tamatkan-penantian-tiga-tahun-ke-final-212584]


Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mara ke final Jelajah Dunia BWF pertama mereka dalam tempoh tiga tahun selepas usaha berpasukan yang hebat untuk mengatasi pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Mentari, 21-13, 22-20, pagi tadi.

Beregu campuran pilihan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Korea Selatan itu dalam prestasi terbaik sepanjang acara Super 500 berkenaan apabila memenangi ketiga-tiga perlawanan sebelum ini dengan straight set.

Kemenangan separuh akhir dalam tempoh 46 minit itu merupakan satu usaha berpasukan yang hebat yang menyaksikan mereka kekal tenang di bawah tekanan dan menyerang pada saat yang tepat.

Set pertama pada awalnya berlangsung sengit apabila kedua-dua beregu saling bertukar mata untuk Kian Meng-Pei Jing mendahului 11-9.

Ia motivasi yang diperlukan mereka untuk terus mencipta jurang dengan pencabar dari Indonesia itu apabila Kian Meng mempertaruhkan variasi pukulan termasuk rejaman merentas gelanggang yang tajam yang sukar dikembalikan.

Set kedua pula bertambah sengit apabila ketangkasan Rinov-Pitha meningkat dengan ketara untuk mendahului buat julung kalinya di kedudukan 15-14.

Tetapi ketenangan Kian Meng-Pei Jing menyerap tekanan meskipun ketinggalan 18-20 sebelum memaksa dua kesilapan lawan mengheret permainan ke dius.

Ini adalah perlawanan akhir pertama gandingan nombor 10 dunia itu dalam tempoh tiga tahun sejak kemaraan ke final Terbuka Singapura pada 2019.

Dalam perlawanan akhir esok, beregu profesional negara itu bakal berhitung dengan wakil tuan rumah, Ko Sung-hyun-Eom Hye-won, yang menewaskan rakan senegara, Kim Won-ho-Jeong Na-eun, 21-9, 21-15 dalam satu lagi pertembungan separuh akhir.

Menjelang pertemuan esok, rekod lalu memihak Kian Meng-Pei Jing apabila pernah menewaskan bakal lawan itu dua kali iaitu pada 2020 dan 2021.


[KREDIT: https://www.stadiumastro.com/sukan-badminton/terbuka-korea-selatan-kian-mengpei-jing-tamatkan-penantian-tiga-tahun-ke-final-212584]

[KREDIT FOTO: Badminton Photo]

Post a Comment

Previous Post Next Post