22 Ogo 2021

WEBINAR MAKMAL USAHAWAN SENI BUDAYA BERSAMA JKKN



JABATAN Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan menganjurkan Webinar Makmal Usahawan Seni Budaya (MAUS) Siri 2 tahun 2021. 

Program ini akan berlangsung selama tiga) hari bermula 25 hingga 27 Ogos secara dalam talian melalui platform www.cloudtheatre.com dan akan disiarkan di Facebook JKKN TV. 

Penganjuran MAUS ini telah bermula sejak tahun 2015, melibatkan negeri mengikut zon setiap tahun dengan jalinan kerjasama strategik daripada pelbagai Agensi/Jabatan/Syarikat Swasta dan Penggiat Budaya.

Bermula tahun 2021, Program ini dilaksanakan secara dalam talian akibat  kekangan semasa Pandemik Covid-19.

Penglibatan seramai 460 orang peserta pada penganjuran MAUS Siri 1 bulan Jun yang lalu membuktikan bahawa program ini telah berjaya menarik ramai penyertaan usahawan seni budaya daripada pelbagai bidang untuk turut serta dan menjadikan webinar sebagai platform pertemuan, diskusi dan perkongsian ilmu dalam bidang perniagaan yang semakin mencabar terutama di pasca Pandemik Covid-19 ini. 

Penganjuran MAUS Siri 2 kali ini terbahagi kepada tiga segmen iaitu Segmen Pemasaran Digital, Segmen Bicara Selebriti Seni dan Segmen Positif Minda.

Barisan panel penceramah yang terdiri daripada pelbagai bidang seperti Coach Shila Hakim, Datin Seri Tiara Jacquelina, Bernard Goh, Datuk Ramli Ibrahim bersama Puan Seri Sabera Shaik dan Ahmad Fadzli Yusof serta penampilan Kartini Kamalul Ariffin dan Helmi Gimmick selaku moderator sudah pasti akan merancakkan lagi sesi perkongsian ilmu ini.

Selain ia juga dijangka akan menarik lebih ramai penyertaan daripada usahawan seni budaya, justeru dapat mewujudkan jalinan kerjasama strategik dan silang niaga dalam kalangan peserta.

Melalui penganjuran program kali ini,  peserta akan lebih memahami dan dapat mempraktikkan ilmu yang diperolehi dengan lebih efektif.

Selari dengan objektif utama penganjuran program ini iaitu memberi pendedahan kepada para penggiat dan usahawan seni budaya tentang keupayaan untuk menggunakan platform digital khususnya Internet of Things (IOT) sebagai medium pemasaran yang berkesan dalam perniagaan masing-masing.

Selain itu, program ini juga berperanan sebagai platform kepada penggiat dan usahawan seni budaya sedia ada untuk menjadi lebih trampil dan berdaya saing dalam menambah upaya kemahiran serta ilmu pengetahuan bagi membantu usahawan seni budaya mendepani cabaran pada masa akan datang.

Melalui penganjuran program ini juga, JKKN dapat memperkasa dan mengenalpasti usahawan seni budaya yang berpotensi dan boleh dibawa ke hadapan untuk terlibat bersama program-program seni budaya bagi penjanaan ekonomi dalam industri kreatif negara.

Penyertaan program ini adalah dikhususkan kepada usahawan seni budaya yang terlibat dalam penghasilan produk dan perkhidmatan seni budaya, penggiat seni, pemain industri, persatuan seni budaya (NGO) serta turut dibuka kepada usahawan bukan dalam bidang seni dan kepada individu yang berminat untuk mendapatkan ilmu dalam bidang perniagaan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Tuan Hj. Mesran Mohd Yusop, penganjuran MAUS ini dapat memberi ruang kepada usahawan seni budaya untuk meneroka dengan lebih jauh melalui dunia digital.

"Fenomena baharu ini perlu dimanfaatkan dengan mentransformasi perniagaan sedia ada untuk membawa perubahan dan membangunkan model perniagaan menggunakan teknologi digital terkini.

"Usahawan seni budaya wajar meneroka dunia digital ini untuk bangkit semula selepas melalui detik sukar Covid-19. Melalui perubahan ini secara tidak langsung akan dapat melahirkan lebih ramai usahawan seni budaya yang lebih berdaya saing bukan sahaja di peringkat tempatan malah di peringkat antarabangsa," katanya.



Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program  ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my ataupun boleh layari facebook JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya atau hubungi talian 03-2614 8200.


[KREDIT: JKKN]




Tiada ulasan:

Catat Ulasan