4 Ogo 2021

GEMPUR WIRA, PAPAR REALITI KEHIDUPAN PENUNTUT UPNM




SEPANJANG bulan Ogos ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan program-program diberi suntikan semangat kemerdekaan dalam diri setiap rakyat Malaysia.

Ia termasuklah drama bersiri Gempur Wira yang mengangkat lima watak utama, Leftenan Aiman (Niezam Zaidi), Leftenan Dr Alisya (AzaR Azmi), Leftenan Kartini (Tunku Anis Tunku Salman), Leftenan Badli (Hafiz Nolan) dan Leftenan Tony (Derrick YiFan) yang meneruskan pengajian mereka di UPNM.

Disiarkan mulai 7 Ogos ini, setiap Sabtu dan Ahad, pukul 2.00 petang di TV1, drama ini berkisar kehidupan Aiman, Badli, Tony, Alisha dan Kartini yang menuntut di UPNM. Selepas tamat pengajian, ada yang berkhidmat dalam TDM, TLDM dan TUDM.

Mereka menyambung pengajian di universiti ketenteraan itu dengan tujuan tersendiri sama ada dengan hasrat mulia untuk berbakti kepada negara, untuk kesenangan diri dan ada yang terpaksa mengikut kehendak ibu bapa.

Aiman, seorang penuntut yang bijak tetapi suka ‘bermain-main’. Selepas beberapa insiden dan kemalangan membabitkan kereta ibunya, bapanya tidak membenarkan Aiman melanjutkan pelajaran di luar negara kerana dia tidak yakin Aiman akan memperoleh ijazah, tetapi hanya akan berfoya-foya dan membuang masa.

Lalu bapanya mencadangkan dia memasuki UPNM. Ini menimbul konflik antara dia dan bapanya. Pada mulanya Aiman tidak berminat dengan latihan ketenteraan namun dengan perlahan-lahan dia dapat menyesuaikan diri.

Manakala Badli pula memang berminat untuk berkhidmat sebagai pegawai tentera mengikut jejak abangnya, Badrul. Bagaimanapun, Badli sentiasa tertekan kerana bapanya berharap dia mendapat keputusan cemerlang seperti abangnya.

Badli juga terpaksa bersaing dengan Aiman untuk muncul sebagai penuntut cemerlang dan mereka juga bersaing untuk menawan hati Alisha, pelajar jurusan perubatan di UPNM.

Tony Leung pula seorang pelajar yang bersemangat tinggi dan tidak sabar berkhidmat untuk negara. Pada mulanya ibu Tony tidak menggalakkan dia menjadi tentera kerana bimbangkan keselamatannya, tetapi apabila melihatkan kesungguhannya, ibunya mengalah kerana itulah impian sejak kecil.

Sementara itu, Kartini beberapa kali mahu berhenti daripada pengajiannya kerana dia tidak tahan dengan kekerasan dan kelasakan dalam latihan. Aiman dan Tony banyak membantu dan mendorongnya meneruskan pengajian.

Gempur Wira turut menyelitkan rencah kehidupan seperti suka duka, alam percintaan, kekeluargaan, persahabatan, kegagalan, dedikasi dan semangat.

Apa yang mereka lalui dan hadapi memberi kekuatan baru kepada kelima-lima watak itu menjadi manusia yang lebik baik.

Drama lapan episod ini juga memaparkan tugas dan peranan ATM yang bertanggungjawab melindungi kedaulatan, integriti dan kepentingan negara.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.



[KREDIT: RTM]



Tiada ulasan:

Catat Ulasan