Hot Posts

6/recent/ticker-posts

PITAHATI RILIS BINTANG BIRU KRISTAL SALJU DELUXE & REMASTERED


PADA ulangtahun ke-10 album Bintang Biru Kristal Salju, Pitahati bakal meriliskan album ini versi deluxe yang akan memuatkan persembahan live mereka di Galeri Annexe, Pasar Seni pada tahun 2012 dahulu. 

Album terbitan Luncai Emas ini juga telah diremaster untuk memberikan nafas baru pada sebuah karya Pitahati yang penting dan progresif dalam perjalanan musik mereka.

Album ini mengandungi dua CD. CD pertama memuatkan lagu lagu asal yang telah melewati proses remaster dan CD kedua mengandungi rakaman dari persembahan live mereka di Galeri Annexe, Pasar Seni Kuala Lumpur.

Antara perkara-perkara yang membuat album ini istimewa ialah lagu hitsnya, Bintang Biru Kristal Salju, yang telah menjadi permintaan orang ramai di mana-mana persembahan mereka sehinggalah hari ini.

Dalam album inilah lagu itu muncul buat pertama kalinya dan sekaligus melonjakkan nama Pitahati di persada muzik rock Malaysia.

Selain daripada Bintang Biru Kristal Salju, Hati-Hati Ahmad! juga telah menjadi antara lagu yang terkenal sehingga hari ini.

Dengan album ini, Pitahati telah memperkenalkan sejenis genre muzik yang unik dan jarang didengari orang ramai ketika itu, iaitu sejenis muzik yang berasaskan art rock dan avant-garde, yang diwajahi dengan lirik-lirik dalam bahasa Melayu.

Gaya muzik seperti ini kian membunga dan merebak pada tahun-tahun berikutnya dan membentuk apa yang dikenali para pendengar zaman sekarang sebagai Psychedelic Rock Nusantara.

Album Bintang Biru Kristal Salju serta persembahan mereka di Galeri Annexe merupakan batu loncatan dalam perjalanan dan kemajuan seni dan muzik Pitahati.

Sejak itu, mereka telah merakam dua buah album, Fonetik Anak Candal dan Selamat Datang ke Panggung Suara.

Album-album tersebut kini menjadi penanda aras dalam muzik Malaysia kerana daya kreativiti, keaslian dan tahap usaha yang tinggi yang diletakkan ke dalam proses pembikinannya, sehingga berulangkali diiktiraf sebagai Album Terbaik pada tahun pelancarannya, oleh para pendengar dan pengkritik muzik yang ada.

Pitahati bakal muncul dengan sebuah single hasil kolaborasi bersama penyanyi lagenda Ito Blues Gang dalam bentuk sebuah remake, penggubahan semula lagu hit kumpulan Blues Gang, Khatulistiwa.

Single itu dijangka akan rilis pada hujung tahun ini. Selain itu, mereka juga sedang dalam proses pembikinan sebuah album baru, setelah enam tahun sejak pelancaran Selamat Datang ke Panggung Suara.

Album Bintang Biru Kristal Salju + Live di Galeri Annexe Pasar Seni KL sedia untuk dibeli mulai  25 Jun lalu di semua record store seluruh negara. Maklumat lanjut boleh didapati di laman-laman sosial Pitahati.








Post a Comment

0 Comments