3 Jun 2021

PESTA ANGIN TIMUR PERLIS 2021 @ ONLINE


KEMENTERIAN
Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Kerajaan Negeri Perlis terus komited dalam usaha menganjurkan program Pesta Angin Timur Perlis (PAT) 2021  edisi ke-9 yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Jun ini.  

Namun penganjuran kali ini adalah berbeza dari tahun-tahun sebelumnya apabila pada tahun ini akan dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian ekoran situasi pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia dan dijenamakan sebagai PAT2021@Online.

Program ini akan disiarkan secara maya melalui platform digital Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara iaitu Facebook Page JKKN TV. Semua kandungan yang akan disiarkan sepanjang dua hari program berlangsung telah pun dirakam terlebih dahulu dengan pematuhan SOP yang ketat.

JKKN sentiasa berusaha dalam menyemarakkan dan mengangkat kembali keunikan kesenian serta warisan tradisi rakyat Malaysia melalui aktiviti dan pengisian yang dilaksanakan PAT 2021 kepada generasi muda agar ianya tidak ditelan zaman dan selain itu juga ianya dapat mempromosikan gaya hidup sihat melalui acara-acara yang dianjurkan.

PAT2021@Online pada kali ini akan dimeriahkan dengan persembahan Kumpulan Kesenian JKKN Perlis seperti tarian kesenian negeri Perlis, persembahan pergendangan pelbagai kaum merangkumi Melayu, India, Cina dan Siam, persembahan nyanyian lagu longat negeri Perlis oleh artis-artis tempatan.

Pesembahan kesenian autentik negeri Perlis seperti teater Jikey, Awang Batil, muzik Alu Bunyi dan banyak lagi. Program ini turut dilengkapi dengan persembahan khas oleh artis jemputan iaitu Khai Bahar yang akan mempersembahkan lagu-lagu rakyat Perlis.

Sepanjang dua hari penganjuran PAT2021@Online, pelbagai program sisipan telah disusun untuk para penonton seperti program Jom Belajar membuat Wau Helang, makan tradisional Perlis dan tutorial penanaman pokok mempelam Harumanis.

Disamping itu, diselitkan juga segmen Jualan Produk yang mana pelbagai produk-produk usahawan negeri Perlis akan dipromosikan dan dijual secara dalam talian. Program ini juga akan memaparkan segmen Bicara Bendang yang akan membincangkan isu berkaitan 'Semangat Padi'.

Program ini turut dilengkapi dengan segmen Ceramah Agama dan Tazkirah Rohani yang disampaikan oleh penceramah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).

Matlamat utama pesta ini adalah untuk mempromosikan aktiviti kebudayaan tempatan sebagai salah satu produk industri pelancongan Negeri Perlis serta menyemarakkan kesenian, kebudayaan serta tradisi masyarakat tempatan kepada masyarakat luar.

Disamping itu ianya sebagai satu usaha menjadikan negeri Perlis sebagai sebuah negeri yang masih utuh dengan kesenian tradisional sebagai tarikan kepada pelancong.

Program ini akan dirasmikan secara bersama oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia,  Datuk Sri Nancy Shukri  dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man,  pada esok (Jumaat).


[KREDIT: JKKN]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan