20 Mei 2021

,


BARU setahun melangkah ke bidang seni, kumpulan wanita yang dikenali sebagai Dolla mungkin boleh berbangga dengan pencapaian mereka apabila kisah hidup mereka kini diangkat dalam sebuah telefilem tidak lama lagi.

Telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow terbitan Zeel Production dengan kerjasama Astro dan Universal Music itu bakal menemui peminat pada 22 Mei, jam 9 malam menerusi saluran Astro Citra dan Astro Citra HD.

Dolla Watch Me Glow arahan  Izuan Mokhtar diinspirasikan dari kisah benar kumpulan Dolla iaitu Tabby, Syasya, Sabronzo dan Angle.

Idea untuk mengangkat kisah hidup Dolla tercetus daripada pihak Astro bersama Zeel Production yang melihat populariti serta impak kumpulan yang mula popular dengan lagu Dolla Make You Wanna itu wajar dikongsi bersama penonton.

Mewakili anggota kumpulan Dolla, Sabronzo tidak menyangka apabila Astro menunjukkan minat untuk mengangkat kisah hidup mereka menjadi sebuah telefilem.

Biarpun bangga dengan peluang diberikan, sebagai sebuah kumpulan baru kata Sabronzo, peluang itu dilihat terlalu besar untuk mereka.

“Apabila pihak Universal Music memaklumkan mengenai tawaran pihak Astro, kami sangat terkejut. Bukan apa jika hendak dibandingkan dengan kumpulan atau penyanyi lain, kami masih lagi terlalu hijau dan kerdil.

“Lagipun kami masih belum mempunyai sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan. Jadi, kami merasakan Dolla belum layak untuk menerima pengiktirafan sejauh itu, bagaimanapun kami tetap berbangga sekurang-kurangnya ada pihak yang mengiktiraf bakat kami,” kata Sabronzo.



Berkongsi pengalaman kali pertama mencuba bidang lakonan, Sabronzo mengakui sedikit kekok ketika memasuki set penggambaran. Namun dengan bantuan pengarah serta krew, mereka berjaya menjiwai watak masing-masing.

“Tidak dinafikan  bukan mudah sebenarnya untuk bergelar pelakon , apatah lagi ini adalah pengalaman pertama semua anggota Dolla. Nasib baik pengarah dan krew banyak membantu sewaktu di set, jadi kami berjaya juga menghayati watak masing-masing.

“Bagi saya bahagian paling sukar apabila dipaksa untuk menangis. Tapi saya amat mengagumi Tabby dan Syasya, biarpun kali pertama tetapi  mereka boleh melakonkan adengan menangis dengan semula jadi. Nasib baik pengarah boleh bersabar dengan saya apabila meminta saya mengingati dan mendengarkan lagu sedih supaya boleh menghayati babak menangis,” kata Sabronzo.



Menurut Sabronzo lagi, kisah di dalam telefilem Dolla Watch Me Glow hampir 70 peratus tepat dengan kisah hidup anggota kumpulan itu. Pelbagai kisah suka dan duga bakal dikongsi dengan peminat, malah banyak yang mungkin tidak diketahui oleh peminat sebelum ini.

Bagaimanapun kata Sabronzo, mereka tidak kisah mendedahkan perjalanan hidup Dolla dengan peminat kerana beranggapan tiada apa yang perlu dirahsiakan dari pengikut Dolla.

“Memang hampir 70 peratus kisah yang dipaparkan dalam telefilem itu ada ke mana mengena dengan kami. Cuma 30 peratus yang ditokok tambah bagi mewarnai telefilem itu dan menjadikan jalan cerita drama itu menjadi lebih menarik.

“Bagi kami tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada penonton. Jadi apa yang bakal peminat saksikan nanti memang kisah hidup sebenar kami.

“Dolla juga sudah bersedia dikritik oleh penonton. Kami tidak kisah sekiranya ada yang mengatakan kami ‘kayu’ selepas menonton aksi pertama kami dalam bidang lakonan. Kami dikenali sebagai penyanyi dan penari, bidang lakonan bukan kepakaran kami, jadi adatlah jika penonton merasakan mutu lakonan kami belum memuaskan,” kata Sabronzo.



Walaupun masih hijau dalam dunia lakonan, Sabronzo bagaimanapun mendedahkan Dolla kini mula meminati bidang itu. Malah mereka bersedia untuk lebih serius dalam bidang lakonan serta tidak akan menghalang anggota kumpulan Dolla yang lain jika menerima tawaran lakonan secara individu.

Sementara itu Pengarah Kreatif dan Penulis Skrip, Marr Mohamad pula berkata, dia amat terkejut dengan kemampuan kumpulan itu berlakon biarpun ke semuanya pertama kali beraksi di hadapan kamera.

Menurut Marr, idea untuk menerbitkan drama itu datang daripada pihak Asto yang terkejut dengan penerimaan peminat terhadap kumpulan itu sehingga muncul trending di serata dunia.

Kata Marr, bagi mengorek kisah hidup empat gadis berkenaan, dia meluangkan masa antara empat hingga ke lima jam semata-mata untuk menemuramah mereka.

“Astro memberikan sepenuh kebebasan kepada Zeel Production untuk menghasilkan sebarang bentuk cerita. Tidak kisahlah sama ada kisah rekaan atau dokumentari asalkan berkisarkan Dolla.

“Mereka tertarik dengan Dolla kerana kumpulan itu mencetuskan fenomena apabila dikatakan meniru kumpulan dari Korea Selatan, Black Pink. Tapi setelah bertentang mata dan berbual pelbagai perkara dengan empat anggota Dolla, saya lebih tertarik untuk mengangkat kisah sebenar mereka.

“Ada pelbagai kisah menarik yang mungkin peminat tidak tahu mengenai Dolla sebelum ini. Antaranya bagaimana kumpulan itu mendapat tentangan keluarga kerana ingin bergelar penyanyi, kerana ada antara mereka yang datang daripada keluarga yang alim. Serta bagaimana anggota Dolla berdepan dengan kecaman peminat hingga ada yang terpaksa berjumpa dengan kaunselor kerana tertekan dengan buli siber,” kata Marr.



Tambahnya lagi, apa yang sebenarnya ingin dipaparkan adalah bagaimana  kumpulan itu boleh bermula serta dari mana mereka mendapat nama Dolla.

“Peminat mungkin tidak tahu mereka juga sebenarnya datang ke Universal Music sebagai artis solo, tetapi pihak Universal menggabungkan keempat-empat mereka menjadi sebuah kumpulan.

"Jadi kita akan tunjukkan bagaimana mereka ingin mencipta keserasian sedangkan identiti mereka yang berbeza dan kita juga ingin tekankan dalam  telefilem itu yang Dolla bukanlah Black Pink,” kata Marr lagi.


Bagi pihak Universal Music pula, semestinya peluang diberikan Astro dan Zeel Production itu tidak seharusnya dilepaskan.

Pengurus Pemasaran dan Promosi Domestik, Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar berkata, peluang diberikan itu dapat membuka mata generasi baru terhadap anak seni kita.

“Ia satu platform yang baik untuk memperkenalkan Dolla dengan lebih dekat kepada peminat. Semestinya pihak Universal Music sangat terharu apabila pihak Astro dan Zeel berminat untuk mengangkat kisah penyanyi nanungan kami.

“Kami berharap telefilem itu dapat mengangkat dan membuka mata peminat khususnya generasi madu terhadap anak seni tempatan yang berbakat dan hebat,” kataya.



Dolla Watch Me Glow mengisahkan Sabrina, gadis yang sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang perniagaan di Los Angeles, California. Juga Tabby, seorang anak tunggal yang dikongkong keluarga.

Manakala Shasha  pula yang sekian lama dibenci ibunya sendiri dan Angel, gadis yang sentiasa ingin keluar dari zon selesa hidupnya.

Sabrina, Tabby, Angel dan Shasha ingin menggapai cita cita dan minat mereka dalam bidang muzik. Mereka berempat menjalani uji bakat bersama syarikat rakaman tersohor, Universal Muzik secara solo.

Bagaimanapun, penyelasar A&R syarikat berkenaan, Kelly lakonan Azwan  Ali membuat keputusan untuk menyatukan mereka sebagai sebuah kumpulan. Sabronzo yang sejak dari kecil bercita-cita hendak menjadi rappers mula tidak berpuas hati dan bermula pelbagai peristiwa bagi membentuk sebuah kumpulan.

Selain Dolla, telefilem itu turut dibarisi Fauziah Nawi, Angeline Tan, Aniq Suhair, Catriona Ross, Aida Aris, Douglas Lim dan ramai lagi. 













4 Mei 2021

,


FILEM 18 Puasa Di Kampong Pisang terus menjadi pilihan penonton dan sekali gus mencatat rekod kutipan sebanyak RM4 juta dalam tempoh 18 hari sepanjang ia ditayangkan Di Pawagam Rumah Anda, Astro First.

Ini membuktikan jalan cerita yang menarik oleh sutradara disegani, Mamat Khalid dan bakat seni yang dipersembahkan oleh setiap barisan pelakon mampu menarik minat penonton untuk menghargai karya tempatan.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata,

“Alhamdullilah, 18 Puasa Di Kampong Pisang masih mendapat tempat di hati penonton meskipun filem tersebut telah ditayangkan melebihi dua minggu.

"Menariknya, filem arahan pengarah hebat Mamat Khalid ini berjaya menonjolkan bakat-bakat anak seni tanah air untuk dihargai. Di media sosial juga menyaksikan penonton turut memuji dengan bakat yang dipertaruhkan di dalam filem tersebut.

"Saya harap kejayaan 18 Puasa Di Kampong Pisang mampu menjadi rujukan dalam industri seni agar terus mengutamakan serta mengetengahkan lagi bakat-bakat hebat tanah air,” ujarnya.


Naskhah 18 Puasa Di Kampong Pisang adalah gabungan daripada dua ‘masterpiece’pengarah Mamat Khalid, iaitu Kampong Pisang dan 16& 17 Puasa.

Ia mengisahkan tentang sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan. Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden.

Dia telah didatangi si iblis dan membawa Barkoba kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya. Barkoba mengabaikan zakat, menganaiyai orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang.

Dapatkah Barkoba memperbetulkan kesalahannya yang lalu dan kembali ke dunia yang nyata dan berjayakah Barkoba menyelamatkan Kiambang?

Saksikan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang yang kini masih berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (dua hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.


[KREDIT: Astro Shaw]





















3 Mei 2021

,


BERHUBUNG
isu yang sedang  tular ketika ini, penyanyi Datuk Seri Sitoi Nurhaliza dan suami,  Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwatampil memberi pencerahan mengenai majlis tahnik cahaya mata kedua mereka, Muhammad Afwa yang diadakan pada 26 April lalu yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri.

Menurut Siti, 42, dakwaan itu ditimbulkan apabila mereka mengundang seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu.

"Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan.

"Memandangkan acara itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), atur cara majlis dan bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial PKPB seperti  seperti yang tertakluk pada tempoh itu," katanya.


Tambah Siti, majlis tersebut terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak pada hari ketujuh mengikut sunnah Rasulullah.

"Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka. 

"Sebaliknya beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

"Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin," tegas Siti.


Dalam pada itu, Siti berkata, penjelasan yang diberikan itu bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberikan pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu.

"Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.

"Kami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan. Kami juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

"Ini merupakan kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dan difahami dengan baik," katanya.