10 Feb 2020

PELAWAK ABAM MENINGGAL DUNIA


AWAL pagi ini, dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian pelawak terkenal tanah air, Abam Bocey atau nama penuhnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, yang meninggal dunia sekitar jam 7 pagi, di kediamannya di Gombak akibat demam panas.

Kehilangan tersebut disahkan sendiri oleh adik Allahyarham, pelawak Ali Puteh yang menyampaikan berita sedih tersebut kepada anggota kumpulan Bocey, Achey.

“Saya diberitahu adik Abam, Ali Puteh bahawa arwah meninggal dalam tidur selepas waktu subuh tadi. Arwah meninggal dalam keadaan sangat baik.

“Saya dimaklumkan selepas subuh, arwah bangun sebelum membuat keputusan untuk tidur seketika.

“Namun tak sangka, tidurnya itu untuk selama lamanya,” katanya.

Difahamkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan selepas waktu Asar di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak.

Abam berkahwin dengan Siti Nurhidayah Mohd Ali pada 8 Disember 2017. Pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, 8 bulan.

Alfatihah dari kami di 7klik.com. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan