Hot Posts

6/recent/ticker-posts

CHUBB-E JUARA MINGGUAN, TIADA PENYINGKIRAN DI MINGGU KE-5

[FOTO: Astro]

PROGRAM realiti Dansa Dan Sing yang sudahpun bersiaran selama minggu kelima menampilkan kejutan apabila mengumumkan bahawa tiada sebarang penyingkiran dibuat pada minggu lalu. 

Menerusi keputusan tersebut, kesemua tujuh peserta yang terdiri daripada Chubb-E & Zeppo Youngsterz Crew, Waris & Alamak, Wani Kayrie & DeLitz, Sophia Liana & Budak Ngam, Raja Syahiran & 2Twenty2 Squad, Shiha Zikir & Team Squad dan Arja & The Pirates secara automatik layak untuk mara ke pusingan suku akhir.

Menerusi konsert minggu kelima Ahad lalu yang bertemakan ‘Trademark’, Chubb-E & Zeppo Youngsterz Crew berjaya mengungguli tempat pertama setelah menerima markah tertinggi daripada pihak juri sebanyak 90.37% menerusi lagu Awak Kat Mana yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Singapura, Taufik Batisah. 

Waris & Alamak tidak kurang hebatnya menerusi persembahan berani untuk lagu hit Korea, Nobody nyanyian asal oleh Wondergirls yang meletakkan mereka di kedudukan kedua dengan markah sebanyak 89.97%. 

Prestasi cemerlang kedua peserta ini turut menerima pujian daripada barisan juri yang terdiri daripada Datuk Rizalman, Linda Jasmine dan Mark Adam yang cukup terhibur dengan persembahan tersebut.

Dalam pada itu, tiga peserta dengan markah undian terendah iaitu Arja & The Pirates, Shiha Zikir & Team Squad dan Raja Syahiran & 2Twenty2 Squad diberi peluang untuk meneruskan perjuangan di pentas Dansa Dan Sing pada minggu suku akhir. 

Walaupun tiada sebarang penyingkiran, namun kedudukan mereka agak bahaya memandangkan jumlah undian yang diterima kurang memberangsangkan.

Konsert pusingan suku akhir pada Ahad ini bakal menampilkan tugasan ‘Dance Jam’ bertemakan ‘No Limits’ yang pastinya akan mengembalikan nostalgia lagu-lagu hits ‘boyband’ dan ‘girlband’ yang pernah menjadi siulan ramai suatu ketika dahulu. 

Konsert Ahad ini juga akan turut dimeriahkan dengan kehadiran artis-artis popular seperti Dayang Norfaizah, Amalina, Zamani, Defam, Nico, K-Clique, Santesh, Mimi Fly, Baby Shima serta ramai lagi. 

Post a Comment

0 Comments