4 Jan 2019

MARSHA MILAN, DIDIE ALIAS RAIKAN PENGANTIN PELBAGAI ETNIK


BUDAYA dan adat perkahwinan tradisi semakin terhakis dan banyak dipengaruhi unsur luar yang banyak menekankan soal moden dan ringkas sehingga mempengaruhi golongan anak muda Melayu pada masa ini. Justeru pada hari ini sepatutnya perlu ada banyak program yang menonjolkan keunikan adat perkahwinan agar generasi muda hari ini dapat melihat sendiri dan mengamati keistimewaannya.

Bukan sahaja adat perkahwinan Melayu yang dekat di hati kita sebaliknya melibatkan pelbagai kaum di Malaysia termasuklah etnik di Sabah dan Sarawak yang jarang sekali ditonjolkan dalam sebuah program.

Terbaharu RTM menyiarkan program bertajuk Dua Hati Satu Cinta mulai 5 Januari ini, setiap Sabtu, pukul 9.00 pagi di saluran TV Okey (Astro 109). 

Menampilkan hos Marsha Londoh dan Didie Alias dalam 13 episod, ikuti perkongsian menarik Kepelbagaian budaya dan adat resam perkahwinan masyarakat Malaysia. Ikuti paparan tentang perkahwinan beramai-ramai kaum Hanian di Biara Dharma Monastery, Kuala Lumpur dalam episod pengenalannya.

Ia memaparkan hos memberikan penjelasan tentang perkahwinan etnik Hainan, iaitu satu daripada etnik Cina yang ada di Malaysia. Pada episod ini diterangkan tentang perkahwinan beramai-ramai, di mana 93 pasangan pengantin daripada etnik Hainan disatukan dalam satu majlis sambutan perkahwinan di Biara Dharma Monastery, Jalan Brickfields, Kuala Lumpur. Upacara seperti ini dilangsungkan sekali dalam setahun. Majlis ini diraikan oleh kaum keluarga pengantin.

Seterusnya menjelaskan tentang adat perkahwinan masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka. Masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka telah terbentuk melalui asimilasi sejarah tanah air sejak ratusan tahun yang lalu. Ia hasil daripada pertembungan budaya setempat dan kerajaan China. 

Sehingga kini masih terdapat adat resam dan cara hidup yang diamalkan oleh sebahagian kecil masyarakat di Melaka. Masyarakat ini juga masih mengekalkan penggunaan tepak sirih yang diletakkan di atas tilam pengantin, dan dikatakan memohon berkat untuk pengantin.




Seterusnya tentang satu daripada adat perkahwinan masyarakat Hindu yang memaparkan perkahwinan Encik Devan dan Cik Renukha. Ia bermula dengan persiapan tiga hari sebelum perkahwinan, pengantin lelaki memakai kurta putih dan pengantin perempuan akan memakai sari. 

Dalam adat ini juga dipaparkan pengantin dibawa ke rumah pasangannya untuk saling berkenalan dengan semua anggota keluarga. Hal ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan yang baru terjalin.

Menarik perkongsian adat perkahwinan kaum India Muslim di Malaysia. Majlis perkahwinan antara Mohd Azrin dan Amrein telah dilangsungkan di Cyberjaya. Pengantin diijab kabulkan di Masjid Cyberjaya disaksikan oleh sanak saudara. 

Selepas majlis pernikahan, pengantin akan pulang ke rumah pengantin perempuan untuk berkenalan dengan sanak saudara yang berada di rumah. Kedua-dua pengantin juga diberi minum susu sebagai lambang keberkatan. 

Pada waktu malam pula, satu majlis resepsi diadakan di suatu lokasi khas yang dihias indah dan suasana yang sangat meriah. Pada majlis ini ibu bapa dan sanak saudara kedua-dua pengantin diberi peluang untuk memberikan ucapan selamat.

Pernahkah anda tahu adat perkahwinan etnik Merik, di Sarawak? Merik ialah satu kaum yang mendiami Miri Sarawak sejak berzaman lagi. Pihak kolonial yang datang ke sini mengambil nama Miri daripada nama kaum ini. 

Paparan dalam episod ini adalah adat perkahwinan kaum ini yang beragama Islam. Dalam masyarakat ini terdapat adat merisik dan bertunang sebelum perkahwinan. Upacara pernikahan berlangsung dengan diketuai oleh Tuk Qadhi. Selepas itu kedua-dua pengantin akan diraikan dalam acara menyarung cincin serta membatalkan air sembahyang. 

Ada juga episod melibatkan adat perkahwinan suku kaum yang menjadi peribumi Malaysia iaitu kaum bajau merupakan kaum etnik yang bijak dalam pengendalian atau menunggang kuda. Kebanyakan daripada mereka sudah memeluk Islam. 

Oleh itu perkahwinan mereka juga melalui adat dan peraturan Islam. Pernikahan biasanya sehari lebih awal. Selepas itu upacara membatalkan air sembahyang dijalankan, iaitu pengantin lelaki akan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sanbil menyentuh dahi isterinya. Majlis itu diakhiri oleh jamuan.




Adat perkahwinan masyarakat Kenyah di Miri, Sarawak juga dipilih dipertontonkan. Pengantin lelaki bernama Canisius Kosman dari kaum Kenyah, manakala, pengantin perempuan ialah Nadia Kimberly dari kaum Bidayuh. 

Pasangan ini dikahwinkan di gereja menurut adat agama Kristian. Sepanjang upacara dijalankan suatu muzik tradisional kaum Bidayuh dimainkan. Kedua-dua pengantin ini dihiaskan dengan pakaian tradisional kaum Bidayuh dan mereka disandingkan di atas gong. 

Adat perkahwinan etnik Melanau di Bumi Kenyalang pula berkongsi keraian pengantin berasal daripada Melayu Kedayan, dan pasangannya daripada kaum Melanau. Majlis pernikahan diadakan di sebelah siang dan pada sebelah malam satu majlis berinai akan diadakan. 

Sebelum itu diadakan upacara 'kasai' iaitu campuran bedak sejuk dan air mawar akan dilumurkan ke seluruh bahagian badan pengantin lelaki dan perempuan untuk menambahkan seri pengantin. Masyarakat Melanau sentiasa mengamalkan sikap bergotong-royong memasak makanan. Golongan wanita akan berzanji diiringi oleh paluan rebana sebagai meraikan pengantin.

Episod berikutnya paparan adat perkahwinan etnik Iranun, satu suku kaum yang mendiami Sabah. Satu daripada alat yang dipentingkan dalam sambutan perkahwinan etnik ini ialah 'usungan'. Usungan merupakan satu tempat yang diperbuat daripada kayu dan buluh serta kain yang digunakan untuk mengangkat pengantin sebagai tanda meraikan mereka. 

Kembali ke semenanjung dengan istiadat perkahwinan orang Minangkabau, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Orang Minangkabau merupakan kaum yang berasal dari Indonesia. Selain beragama Islam, masyarakat ini mengamalkan Adat Perpatih. 

Adat ini memberikan lebih kuasa dan tanggungjawab menjaga keluarga dan anak-anak termasuk harta benda kepada anak perempuan. Perkahwinan dalam masyarakat Minangkabau juga mempunyai peraturan-peraturan tertentu. 

Akhir sekali saksikan perkahwinan antara dua penganut agama iaitu penganut agama Kristian, dan pasangannya beragama Sikh. Kedua-duanya diraikan dalam dua adat yang berbeza. Mereka dinikahkan di gereja mengikut ajaran Agama Kristian. 

Upacara ini berlangsung di Kuala Lumpur. Selepas kedua-dua pernikahan ini selesai, kedua-dua pengantin akan menghadiri satu jamuan resepsi sebagai tanda perkahwinan mereka berdua sudah sempurna.



DUA HATI SATU CINTA 
Episod: 13      
Hari: Setiap Sabtu (Mulai 5 Januari 2019)
Masa: 9 pagi 
Saluran: TV Okey 
Terbitan: RTM     
Pengacara: Marsha Milan & Didie Alias 


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan