14 Nov 2018

TRAVELOG KANAK-KANAK, DIARI RYKARL


RTM memberikan pendidikan sambil menanamkan jiwa murni kepada penonton cilik menerusi travelog terbaharu bertajuk Diari Rykarl mulai 15 November ini, setiap Rabu dan Khamis, pukul 12.30 tengah hari di TV1.

Dengan pendekatan kembara pelakon popular Rykarl Iskandar bersama ayahnya, Raihan, menarik untuk dikongsikan bersama penonton dalam 13 episod program ini. Santai dua beranak ini turut memperkenalkan kepada orang ramai untuk bersama-sama melihat, memerhati serta mengambil bahagian dalam permainan tradisional yang dipilih.

Dengan menaiki kereta api melihat tempat-tempat menarik dan mempelajari permainan tradisional, mereka mengunjungi beberapa negeri di Semenanjung Malaysia. 

Kelainannya bila dalam perjalanan mereka singgah berhampiran stesen kereta api untuk mempelajari permainan yang sebahagian besarnya ada yang semakin dilupakan. Ia sekaligus dapat membantu kanak-kanak melupakan seketika permainan “gajet”.

Mereka memulakan pengembaraan mereka dari KL Sentral. Sementara menunggu kereta api tiba, Raihan berpeluang mengajar Rykari satu permainan tradisional iaitu Ting-ting. Seterusnya Raihan dan Rykarl bersama Encik Faizin berada di Seremban. 

Rykarl dapat melihat sendiri rumah Minangkabau yang menjadi lambang, kesenian dan kebudayaan Negeri Sembilan. Mereka kemudian ke Galeri Art Alive 3D, Dataran Segar Lukut, Port Dickson sambil bergambar berlatar belakangkan dengan 51 buah gambar dan objek dalam bentuk 3 dimensi. 





Mereka meneruskan perjalanan ke Pantai Port Dickson untuk mandi laut dan melakukan aktiviti-aktiviti pantai. Di tepi pantai, Raihan menunjukkan kepada Rykarl satu permainan tradisional kanak-kanak suatu masa dahulu, iaitu ceper. 

Pengalaman baru seterusnya bersama Encik Mohd Firdauz (Bob) berada di Tampin/Pulau Sebang. Tampin adalah sejenis bekas makanan yang diperbuat daripada daun mengkuang. Rykarl dapat melihat sendiri dodol yang dibalut dengan tampin serta mencuba sendiri memasukkan dodol ke dalam tampin. 

Mereka kemudian ke Kampung Gemenceh menyertai penduduk kampung untuk bermain Sepak Raga (bola buatan dari rotan) sejenis permainan tradisional. Raihan menjelaskan cara-cara dan strategi bermain permainan ini. Rykarl juga memahami sikap yang betul untuk berkawan dengan kawan baharu dan bagaimana untuk menysuaikan diri dengan persekitaran baharu. 

Diari Rykarl turut berkongsi pengalaman berada di Gemas, Negeri Sembilan dan mengetahui asal-usul nama Gemas. Mereka bertemu seorang pengusaha rumah inap. Rykarl dan ayahnya melihat di sekeliling rumah Encik Haris yang dipenuhi dengan replika kapal terbang, helikopter, kereta kebal, mesin proses kepingan getah dan hiasan-hiasan bertemakan ‘Semangat Merdeka” yang diperbuat daripada tong-tong cat dan besi buangan. 

Rykarl kemudian mempelajari dan menyertai permainan tradisional ‘Tarik Upih’ bersama kanak-kanak di Inap Desa, Kampung Ulu Ladang, Gemas dalam suasana gembira dan bersemangat tinggi. Masih di Gemas, Rykarl juga bermain ‘laga getah’.

Dalam episod berikutnya, program ini berada di Jerantut, Pahang. Mereka dibawa oleh Tok Shu untuk menikmati hidangan Ikan Patin Pahang. Rykarl dan Raihan meneruskan penjelajahan uniknya dengan menyusuri melayari Sungai Pahang menggunakan bot bermula dari Kuala Tembeling. 



Hos kemudian mempelajari cara membuat pancing ikan tradisional dari Tok Shu. Inilah kali pertama Rykarl memancing dan berjaya mendapat seekor Ikan Patin dari Sungai Pahang. Tok Shu menjelaskan memancing adalah lebih baik dari permainan gajet kerana memancing boleh meningkatkan kesabaran. 

Pengalaman baru dikongsi oleh Raihan dan Rykarl bersama Encik Ghani berada di Kuala Lipis, Pahang, pernah menjadi Ibu Negeri bagi Pahang sebelum tahun 1955. Di Kuala Lipis mereka melawat tempat-tempat bersejarah seperti Masjid Negeri di bena pada tahun 1888, Pejabat Pos (1910). 

Salah satu keunikan tempat bersejarah ialah batu bertanda “0” berdekatan Pejabat Pos. Mereka mengakhiri dengan mengunjungi ke Muzium Warisan Kuala Lipis di Bukit Vius yang mempamerkan barangan dan gambar-gambar bersejarah seperti Tokoh Politik, Tokoh Seni, Tokoh Agama, Makanan Tradisi, Permainan Tradisi dan sebagainya. Kemudian Raidan menunjukkan kepada Rykarl satu jenis permainan tradisional kanak-kanak iaitu Galah Panjang. 

Sementara itu di Merapoh, Pahang mereka berkunjung ke Taman Negara Sungai Relau. Toh Teh membawa mereka ke Pusat Pemuliharaan Ikan Kelah untuk ‘memanggil’, membela, memegang dan bermain bersama Ikan Kelah yang jinak di dalam Sungai Relau. 

Kemudian Raihan menunjukkan kepada Rykarl satu jenis permainan tradisional kanak-kanak dengan menggunakan batu sungai iaitu Batu Seremban. Rykarl dapat nama “Batu Seremban” di pantai Barat tetapi “Batu Selambut” di pantai Timur. Rykarl mendapat taksiran makna “bahagia” dengan bermain dengan ikan kelah, melihat hutan asli, burung kelang dan sebagainya.

Episod bertambah menarik dengan hos singgah di Negeri Kelantan mengnjungi Kuala Krai, Pasir Mas dan Tumpat yang turut meluangkan masa mencuba permainan tradisional seperti dam haji, gasing pangkah, wau, baling selipar dan banyak lagi.  




TRAVELOG DIARI RYKARL
Episod: 13      
Hari: Setiap Rabu & Khamis (Mulai 15 November 2018)
Masa: 12.30 petang 
Saluran: TV1
Terbitan: RTM    
Pengacara: Rykarl Iskandar 


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan