Hot Posts

6/recent/ticker-posts

DIMENSI LAGENDA BERSAMA DATUK NASSIER WAHAB, RAHIM MAAROF, MAN BAI


SIAPA yang tidak mengenali tiga figura seni yang mempunyai suara luar biasa ini. Sebut sahaja nama Dato’ Nassier Wahab, Man Bai dan Rahim Maarof pastinya setiap daripada kita dapat membayangkan lagu popular mereka yang masih diminati sehingga kini.

Nyata kehadiran mereka dalam industri muzik tiada gantinya dan suara mereka masih dirindui peminat era populariti mereka sampai bila-bila. Terbaharu mereka tampil dalam pentas sama menerusi program khas terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu Dimensi Legenda pada 28 Oktober ini, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV1.

Berhibur dengan celoteh pengacara Raja Azura dalam program terbitan Unit Hiburan TV RTM yang dirakamkan pada 16 Julai lalu bertempat di Studio 1, Wisma TV, Angkasapuri, Kuala Lumpur. 




Persembahan ini lebih kepada nostalgia untuk peminat Dato’ Nassier Wahab, Man Bai dan Rahim Maarof dan yang pastinya ramai masih mengingati lagu-lagu popular mereka.

Penyanyi popular tahun 80an hingga kini, Dato' Nassier Wahab muncul mendendangkan tiga lagu termasuklah ‘Sekali Aku Jatuh Cinta’, ‘Masih Ingat tak Lagi’, dan ‘Memori Cinta Luka’ yang pastinya membuatkan penonton terbuai-buai perasaan mengenang memori cinta yang pernah terlakar dalam hidup masing-masing. 

Agak lama tidak muncul di layar TV, tampil membuat persembahan ialah Rahim Maarof yang menyanyikan lagu popularnya iaitu lagu ‘Cinta Kristal’, ‘Jangan Kau Rayu’, dan ‘Kutahan Sebak di Dada’ yang mampu menggamit kenangan zaman kegemilangan penyanyi dinobatkan legenda rock negara ini.




Segmen Memori Untukmu menjanjikan persembahan dua penyanyi iaitu Shafeek Ikhwan dengan lagu ‘Kau Pergi Jua’ dan diikuti nyanyian lagu ‘Pilihlah Aku’ oleh Firman.

Kenalkah anda dengan pemilik nama sebenar penyanyi Abdul Rahman bin Osman? Pastinya ia membuatkan anda tertanya-tanya siapakah beliau. Namun jika disebut Man Bai penonton tentu dapat membayangkan gerangan penyanyi kelahiran Johor Bahru, Johor, ini yang pernah mencipta nama bersama kumpulan Gersang. 

Man Bai bakal menghiburkan pentas dengan pilihan lagu ‘Bersama Suara Hati’, ‘Masih Aku Terasa’, dan ‘Kau Ilhamku’ yang menjadi siulan hingga kini. 

Ingin menyaksikan bagaimanakah kesemua artis terlibat berkongsi pentas? Dan lagu apa yang dipilih mereka menghiburkan penonton? Ikuti persembahan mantap mereka ini di TV1.


[KREDIT: RTM]

Post a Comment

0 Comments