15 Sep 2018

TANAH AIRKU TANAH AIRMU JUA, SEMPENA HARI MALAYSIA


SETELAH lima tahun, sudah tiba masanya lagu Tanah Airku Tanah Airmu diberi sentuhan dan nafas yang baharu. Terbitnya sinar baru  di Malaysia pada tahun bersejarah ini,  ketika negara kita sedang asyik menghala ke arah perubahan #MalaysiaBaru, Mat Lela (alter ego Loque) beraspirasi untuk mengikhtiarkan lagu ini sekali lagi dengan menyampaikan inti pati lagu tersebut dan pesanannya kepada rakyat Malaysia.

Pada tahun 2013, lagu Tanah Airku Tanah Airmu menampilkan penyanyi dan juga buah hati muzik Malaysia, Dato’ Siti Nurhaliza bersama Monoloque. Istimewanya kali ini, Mat Lela telah diberi mandat untuk menyerikan lagu Tanah Airku Tanah Airmu Jua” dengan lebih garang bersama  Papa Rock Malaysia, Amy Search dan barisan Pancaragam Nakhoda Mat Lela Derhaka dari Malay College Kuala Kangsar (MCKK). 

Dengan pertemuan ini, justeru tertubuhlah rancangan Mat Lela yang diberi nama #PancaragamNakhodaMatLelaDerhaka sempena Hari Kemerdekaan ke-61 dan Hari Malaysia.

Mat Lela atau Loque berkata, 

“Tanah Airku Tanah Airmu Jua dendangan pancaragam kami lebih tetesterone, lebih “jantan”, lagi-lagi dapat berpadu tenaga dengan Amy Search”. Memetik kata-kata dari Amy Search sendiri, Projek ini macam kira last minute, tiba-tiba sahaja Loque datang dan berkata, abang kita nak buat ni ok kah? Saya pun ada masa lapang jadi saya cakap belasah sahajalah. Apa yang paling penting ialah ‘rawness’ tu”. 

Mengulas pendapat beliau mengenai erti kemerdekaan, Amy Search menjawab 

“Pemikiran kita harus merdeka. Merdeka itu itu dengan minda kita mestilah terbuka dengan hidup kita sudah di tahun 2018. Kalau kita masih di takuk lama, kita belum merdeka. Kita masih belum cukup merdeka, kita belum tahu menikmati apa itu merdeka, jadi selamat hari merdeka untuk rakyat Malaysia. Peace selamanya!” 



Mengenai #PancaragamNakhodaMatLelaDerhaka, rancangan ini disusuri dengan pelbagai kejadian yang simbolik apabila diteliti. Mat Lela,  Amy Search dan kumpulan pancaragam Malay College Kuala Kangsar berkenan untuk merakam dan memainkan lagu ini di Kampung Baru, Kuala Lumpur, yang dikelilingi dengan hutan batu bata yang mencakar langit. 

Tujuannya ialah sebagai peringatan kepada kita sebagai rakyat Malaysia tercinta untuk tidak melupakan asal usul dan sejarah tanah air ini meskipun kita sentiasa berusaha untuk bergerak maju ke hadapan demi mencapai taraf yang disegani dunia.

Tambahan lagi, bunyi-bunyian dari barisan Pancaragam Nakhoda Mat Lela Derhaka yang mengiri Mat Lela dan Amy Search ini juga membawa simbolik kepada kelangsungan usaha anak bangsa kita dalam mengorak langkah. 




Mengikut sejarah, pertubuhan MCKK kira-kira pada tahun 1947 dahulu hanyalah untuk golongan elit semata-mata. Namun, berkat semangat nasionalisme anak bangsa kita telah berjaya membuka peluang bagi mereka untuk mendapatkan pelajaran. Maka, Mat Lela dalam rancangannya mencuba untuk mengingatkan kita selaku rakyat Malaysia bahawa kita mampu mengubah kehidupan kita kepada yang lebih baik apabila teguh bersatu.

Ayuh sama-sama menyahut seruan Mat Lela! Lagu ‘Tanah Airku Tanah Airmu Ja’ nyanyian Mat Lela, Amy Search diiringi oleh pancaragam Nakhoda Mat Lela Derhaka di YouTube saluran cataloQue  dan dengarkan audio rakaman di semua gedung-gedung digital seperti Spotify, Apple Music, dan yang sewaktu dengannya.




Sempena Kemerdekaan ke-61 pada tanggal 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini Mat Lela menyeru kepada semua rakyat Malaysia, “Merdekakah kita kalau masih malu untuk berbahasa, berbudaya tapi bangga naik muat  status dalam bahasa English. Apakah yang merdeka? Merdeka bererti bebas dari hidup kepura-puraan. Pura-pura untuk menjadi Mat Salleh/Arab ataupun sesiapa pun yang bukan diri kita yang sebenar. Selamat Hari Merdeka! Merdekakan Mentaliti raikan cap mohor anda!!”

Selamat Hari Kemerdekaan ke-61 dan Selamat Hari Malaysia! Gemersik Malaysiaku!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan