4 Apr 2018

BAGI LALUAN KEPADA DUKUN, FILEM QHALIQ DITANGGUHKAN


SUSULAN kontroversi yang berlaku baru-baru ini apabila dua filem tempatan, Dukun dan Qhaliq berkongsi tarikh tayangan yang sama iaitu pada 5 April ini,  syarikat pengedar filem Qhaliq, Aifa Motion Pictures mengambil keputusan untuk menangguhkan tayangan ke suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Berikut merupakan kenyataan media yang diedarkan pihak terbabit kepda kepada pihak media;

Permohonan pengarah dan produser filem, Ahmad Idham Nadzri, 45, kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Jawatankuasa Wajib Tayang untuk menarik keluar filem terbaru edaran syarikat Aifa Motion Pictures berjudul QHALIQ yang sepatutnya ditayang esok, diterima, sebentar tadi.

Pada satu sidang media anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam, Ahmad Idham, ada menyatakan hasrat untuk menarik keluar filem QHALIQ daripada pawagam susulan wujudnya pertembungan dua filem tempatan yang ditayangkan pada tarikh sama.

“Bukan sebab takutkan persaingan seperti yang digembar gemburkan segelintir pihak sebaliknya saya risau dengan budaya membenarkan dua tayangan filem tempatan serentak yang boleh menyebabkan kerugian kepada penerbit filem tempatan pada masa depan. 
“Saya tidak kisah jika filem ini tidak mendapat sambutan tetapi kenapa perlu ada persaingan pada saat akhir ketika isu lambakan filem tempatan tidak lagi wujud?” katanya.

Beliau akui surat permohonan yang dihantar pagi tadi telah diteliti sepenuhnya oleh Finas dan jawatankuasa terbabit.

Pada masa sama, beliau berharap sistem oleh Skim Wajib Tayang (SWT) yang diwujudkan untuk membantu penerbit tempatan mendapat ruang tayangan filem tempatan pada jumlah optimum dapat diperincikan semula.

Apatah lagi, menjadi tanggung jawab SWT merealisasikan agenda nasional membantu penerbit tempatan yang sering mendakwa ditindas pihak-pihak tertentu.

Susulan penarikan QHALIQ daripada pawagam, satu tarikh lain akan diumumkan kelak sebaik sahaja selesai tayangan filem DUKUN yang dilaporkan memulakan tayangannya, 5 April (Khamis) ini.

Beliau turut menyeru semua peminat filem tempatan untuk memberi sokongan padu kepada filem DUKUN yang sememangnya dinanti-nantikan peminat sejak 12 tahun lalu.

LEFTENAN KOLONEL AHMAD IDHAM NADZRI.
Aifa Motion Pictures Sdn Bhd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan