Hot Posts

6/recent/ticker-posts

GGV2, SAINGAN LEBIH SENGIT


MENAMPILKAN 11 peserta yang terdiri daripada 6 peserta berkumpulan dan 5 peserta solo, GGV janjikan persaingan lebih sengit untuk musim ini.

Setelah mencetuskan fenomenanya yang tersendiri dalam dunia hiburan sejak diterbitkan pada April tahun lalu, Gema Gegar Vaganza (GGV) kini kembali untuk musim kedua dengan menampilkan barisan 11 peserta.

Enam peserta berkumpulan  terdiri daripada Brothers, Devotees, InTeam, Mestica, Rabithah serta Heliza & Hazwani (pasangan duo).




Sementara lima peserta solo pula ialah Adeep Nahar, Awi Rafael, Farah Asyikin, Fitri Haris dan Ippo Hafiz. 




GGV musim kedua akan dipancarkan secara langsung selama tujuh minggu dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu bermula 31 Mac 2018, jam 9.00 malam di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135). Untuk pilihan alternatif, program ini turut boleh dinikmati melalui platform digital, ‘on demand’.




4 INFO MENARIK GGV 

Penganjuran Gema Gegar Vaganza (GGV) pada tahun lalu menyaksikan program ini melakar kejayaan membanggakan apabila menjadi progam Islamik nombor satu di Malaysia.

Sepanjang penyiaran program ini pada tahun lalu, GGV berada di carta 10 carian tertinggi di laman media sosial; Twitter pada setiap minggu menerusi tanda pagar #gemagegarvaganza dan turut mengungguli carian tertinggi di portal Gempak. 

Laman sesawang rasmi Gema Gegar Vaganza pula memperlihatkan jumlah aliran trafik sebanyak hampir setengah juta, membuktikan keterujaan penonton untuk mendapatkan info terkini mengenai program ini secara berterusan. 

GGV juga telah mencatatkan lebih tiga juta tontonan digital di seluruh platform Gempak dan menjana lebih 146,000 perbualan di laman media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.




NOTA RINGKAS GEMA GEGAR VAGANZA MUSIM KEDUA

Masih mengekalkan tema Gema Irama Terindah, setiap peserta akan diberi tugasan berdasarkan tema mingguan yang telah ditetapkan. Mereka bebas untuk memberi nafas baharu terhadap lagu tugasan tersebut mengikut pada kreativiti masing-masing.

Seleksi lagu yang dipersembahkan di pentas GGV musim kedua terdiri daripada pelbagai genre lagu yang mempunyai lirik dan mesej positif, serta dipersembahkan berlandaskan batas-batas yang dibenarkan dalam agama Islam.  

Daripada segi pemilihan peserta pula, sama seperti musim sebelum ini, GGV musim kedua sekali lagi membuka pintu dan mengalu-alukan kehadiran semua anak seni yang mempunyai lagu dengan lirik positif tanpa batasan umur mahupun genre muzik yang dibawa. 

Kesemua 11 peserta GGV musim kedua berjaya melepasi sesi ujibakat tertutup yang diadakan di Hotel Premiera di mana prestasi terkini dan potensi bakat mereka dinilai agar sesuai untuk diketengahkan di pentas GGV musim kedua ini.

Peserta akan diadili sepenuhnya oleh dua orang Juri Tetap iaitu komposer dan penerbit, Farihin Abdul Fattah dan anak seni yang cukup disegani di Indonesia, Oki Setiana Dewi serta seorang Juri Jemputan pada setiap minggu. 

GGV2 akan dihoskan penyanyi popular, Siti Nordiana serta pelawak dan pelakon, Fikry Ibrahim. Turut sama pada musim ini ialah Fakhrul UNIC.




PETIKAN KENYATAAN RASMI WAKIL ASTRO

Raqim Ahmad, Ketua Saluran Melayu Astro: 

“Kami di Astro berasa amat teruja untuk membawakan ‘Gema Gegar Vaganza’ musim kedua kepada penonton. Rentetan daripada pelbagai kejayaan yang berjaya dilakar oleh program ini selepas penerbitannya tahun lalu, kami berasa sangat bersyukur dan lebih bersemangat untuk memberi yang lebih baik kepada penonton. 
Impak yang diberikan oleh ‘Gema Gegar Vaganza’ melebihi skala yang diharapkan apabila bukan sahaja program ini menjadi sebutan rakyat Malaysia malahan berjaya mencatatkan rekod sebagai program Islamik nombor satu di Malaysia. 
Saya percaya, matlamat utama program untuk menyampaikan mesej-mesej ilmiah dan menanam nilai-nilai murni dalam hati penonton dan masyarakat Malaysia amnya menerusi persembahan lagu-lagu positif daripada pelbagai genre, berjaya dicapai. 
Justeru itu, kami masih mengekalkan format penganjuran ‘Gema Gegar Vaganza’ musim kedua seperti tahun sebelumnya. Cuma, pada musim ini kami menampilkan 11 peserta berbanding 10. 
Keputusan ini diambil selepas kehadiran ramai penyanyi berbakat ke sesi ujibakat tertutup. Sayang rasanya apabila mereka yang benar-benar layak tidak diberi peluang untuk beraksi di pentas GGV musim kedua ini. Kami yakin, bakat mereka ini wajar diangkat kembali untuk kebaikan kita bersama. 
Selain itu, kami juga memperkenalkan seorang lagi pengacara baharu yang akan bergandingan bersama Siti Nordiana dan Fikry Ibrahim iaitu Fakhrul UNIC. Beliau berbakat bukan sahaja dalam bidang nyanyian tetapi juga pengacaraan di mana beliau juga merupakan pengacara program terbitan Astro Oasis iaitu ‘Bismillah Ad-Duha’. Personaliti yang dimiliki beliau juga disenangi semua. 
Pihak kami yakin Fakhrul dapat menggalas tugasan ini dengan baik, apatah lagi beliau pernah berada di pentas GGV tahun lalu, yang mana kumpulan UNIC sendiri telah dinobatkan sebagai juara. Pastinya, kehadiran beliau ke dalam keluarga GGV menerusi sisi lain (sebagai pengacara) akan dapat memeriahkan lagi program ini.” 



HADIAH KEMENANGAN

Juara - RM100,000.00 dan sebuah trofi 
Naib Juara - RM30,000.00 dan sebuah trofi 
Tempat Ketiga - RM20,000.00 dan sebuah trofi
Tempat Keempat - RM15,000.00 dan sebuah trofi
Tempat Kelimaaa - RM10,000.00 dan sebuah trofi
Tempat Keenam  - RM5,000.00 dan sebuah trofi


BUTIRAN SIARAN 

Gema Gegar Vaganza musim kedua akan mula bergema dengan nyanyian 11 peserta selama tujuh minggu berturut-turut secara langsung mulai 31 Mac 2018, jam 9.00 malam di Astro Oasis (saluran 106), Astro Maya HD (saluran 135) serta platform digital ‘on demand’.

Post a Comment

0 Comments