31 Jan 2018

INTAI INTAI, JENGUK JENGUK, TRAVELOG UNTUK PEMINAT MAKANAN


MAKAN adalah aktiviti kegemaran setiap daripada kita. Bermacam alasan diutarakan mengapa mereka mencintai makanan. Salah satunya dapat menghilangkan tekanan. Apatahlagi bila dihidangkan dengan makanan yang lazat. Ia pastinya amat sukar untuk ditolak.  

Bersama hos Nadia Hasnan, RTM mulai 9 Januari lalu, setiap Selasa, pukul 10.05 pagi menerusi saluran TV1 menyiarkan program bertajuk Intai-Intai Jenguk-Jenguk yang menjelajah ke seluruh negara untuk meninjau dan memperkenalkan premis-premis makanan yang menghidangkan juadah baru dan moden yang telah dicipta oleh pemilik premis itu. 

Juadah istimewa ini yang berhasil dari inovasi dan daya kreatif premis itu menjadi satu tarikan kepada peminat-peminat makanan atau ‘food hunters’.




13 episod program ini berkongsi memaparkan inovasi dalam penyediaan makanan termasuklah pelbagai jenis ais krim, burger, makanan laut atau ‘shell out’, dan makanan fusion Malaysia-Arab menerusi konsep menjual makanan yang berbeza. Daripada menjual makanan di warung, gerai, restoren, kafe hipster dan konsep menjual makanan menggunakan ‘food truck’.

Penggemar ais krim usah ketinggalan menyaksikan salah satu episod program ini di mana hos melawat Kafe Kone di Johor Bharu, The Ais Cream Project, Kafe Ais Kacang Special JB yang menghidangkan kombinasi ais krim dan Kafe Sangkaya bertema ‘Nuts About Coconuts’. 

Seterusnya menjelajah ke Pulau Langkawi untuk menikmati ‘ais krim gulung’ di kedai Ais Cream Factory, menikmati ‘ais kapai’ di Pulau Pinang dan ‘ais krim caramel’ di Melaka. Beliau juga ke Restoran Dagang di Pasir Hor, Kelantan untuk meninjau hidangan kombinasi ais krim dan buah-buahan.




Seterusnya khas peminat burger, Nadia Hasnan singgah di Burger Ayam Njoy di Pulau Pinang menghidangkan roti berwarna-warni, ke Langkawi untuk menikmati Special Soft Crab Burger, Fish and Chips dan Banana Smoothie di gerai “Fish Bone Fish and Chips’ dan ke ‘Brothers Grill’ di Manjung, Perak yang menjual 18 jenis burger. 

Di gerai L A Burger, Taiping, Perak hos telah memperkenalkan kepada penonton burger bertingkat dan ke gerai Deqwan Burger di Senawang, Negeri Sembilan di mana burger dijual mengikut beratnya yakni ‘burger satu kilo’ dan sebagainya.

Hos turut meninjau kafe dan restoran jenis ‘hipster’ yang menjadi tumpuan pelanggan muda mengunjungi Kedai ‘Cendol Champion’ di Kuala Terengganu yang menjual pelbagai jenis cendol. Seterusnya beliau telah memperkenalkan Kafe Cloud Land di Senawang, Negeri Sembilan menghidangkan ‘Butter Milk Chicken, Meat Ball dengan Sos Putih dan Monster Mash. 

Beliau juga telah mengunjungi kafe ‘Grind Shack’ di Dataran Melaka yang menawarkan makanan jenis ‘mixed grill’. Di Kota Bharu, Kelantan, beliau telah melawat ‘The Bold Lab Café’ dan melihat makanan seperti ‘Nasi Espanyol’ dan Grilled Chicken Chop. 




Akhirnya Nadia ke Johor Baharu untuk meninjau bagaimana menu seperti kepak ayam, Fish and Chips dan Cheesy Chicken Balls telah diubah dan diberi rupa dan rasa yang baharu.

Kunjungan ke kafe dan restoran terkenal memperkenalkan juadah baru yang inovatif dan kreatif yang telah di cipta oleh pengusaha perniagaan seperti Uncle Jai Café, di Pekan Kuah, Langkawi, Lepak Kitchen di Taiping dan Ohsem Café di Kuala Kangsar, Perak, Kafe Nan Station 18 serta Café Petit Mary (Pattiserie) di Ipoh, Perak yang menjual makanan jenis pastri.

Nadia turut menjelajah ke beberapa bandar di Semenanjung Malaysia untuk mengenalpasti kedai makan yang menumpukan kepada penjualan makanan laut atau ‘shell out’, manisan pencuci mulut yang resipinya telah diinovasi, menjual makanan dengan menggunakan ‘food truck’, hidangan juadah Arab yang diolah mengikut selera Malaysia seperti Kacang Pool, dan juadah fusion Arab juga Barat seperti Shahi (teh), Kopi (dari Yemen), Nasi Gulf dan shatsuka yang dihidangkan di kafe tersebut.



Intai Intai Jenguk Jenguk
Episod: 13
Hari: Selasa
Masa: 10.05 Pagi
Saluran: TV1 
Pengacara: Nadia Hasnan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan