14 Mac 2017

PG13 UNTUK BEAUTY AND THE BEAST, SELEPAS DITANGGUHKAN TAYANGAN


SEMALAM penonton di Malaysia dikejutkan dengan penangguhan tayangan filem Beauty And The Beast dipercayai berpunca daripada babak kontroversi yang menampilkan watak homoseksual.

Filem lakonan Emma Watson, Dan Stevans dan Luke Evans yang sepatutnya ditayangkan pada 16 Mac ini telah ditarik keluar daripada senarai tarikh tayangan asal di semua pawagam Malaysia.

Keputusan ini telah mencetuskan kemarahan netizen dan telah menyaksikan reaksi yang pelbagai dari semua pihak.

Filem adaptasi dariapda filem animasi yang pernah diterbitkan pada tahun 1991 itu mengisahkan tentang seorang wanita cantik, Belle yang telah ditawan oleh lelaki hodoh, Beast. Filem ini menjadi antara filem terbitan Walt Disney yang cukup ditunggukan penonton pada tahun ini.

Kontroversi bermula apabila pengarah filem ini, Bill Condon, memberi kenyataan kepada majalah Attitude bahawa salah satu watak di dalam filem ini iaitu Le Fou yang dijayakan oleh Josh Gad, diberikan momen gay yang eksklusif dalam filem ini.

Bagaimanapun hari ini, Lembaga Penapisan Filem (LPF) dikatakan telah memberi kebenaran kepada Beauty And The Beast untuk ditayangkan di pawagam dengan suntingan kecil dilakukan dan filem ini dilukuskan tayangan di bawah klasifikasi PG13.

Kami difahamkan, Beauty And The Beast berkemungkinan akan ditayangkan di pawagam Malaysia pada 30 Mac ini. Bagaimanapun, tarikh tersebut masih belum disahkan lagi.

Apapun, filem ini hanya ditangguhkan tayangannya dan bukannya dibatalkan. Jadi kita gunakan kesempatan ini untuk menonton seleksi filem lain yang bakal ditayangkan pada 16 Mac ini termasuk filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior, sebuah filem aksi sejarah arahan Bade Hj Azmi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan