Sebelum Sorakan Bergema, Pasukan RTM Berjuang Di Sebalik Tabir Piala Dunia FIFA 2026


APABILA jutaan peminat bola sepak di seluruh dunia menyaksikan setiap jaringan, sorakan dan detik dramatik sepanjang Piala Dunia FIFA 2026, ramai mungkin hanya melihat aksi pemain di atas padang.

Namun, di sebalik siaran yang lancar, paparan grafik menarik serta analisis mendalam, terdapat pasukan besar yang bekerja di belakang tabir bagi memastikan setiap momen dapat dinikmati penonton.

Bagi Radio Televisyen Malaysia (RTM), tugasan menerbitkan Grandstand Piala Dunia FIFA 2026 bukan sekadar menyediakan siaran langsung, tetapi melibatkan operasi berskala besar yang memerlukan perancangan rapi, koordinasi pantas dan kepakaran pelbagai bidang.

Sebagai Penyiar Rasmi kejohanan, RTM membawakan liputan menerusi 112 Grandstand merangkumi 104 siaran dalam bahasa Melayu serta lapan siaran bahasa Inggeris bermula peringkat suku akhir hingga perlawanan akhir.

Secara keseluruhan, sebanyak 401 jam siaran langsung melibatkan 104 perlawanan disampaikan kepada penonton menerusi televisyen dan penstriman RTMKlik. Namun, di sebalik angka tersebut, tersimpan ribuan jam persiapan yang melibatkan tenaga profesional daripada pelbagai bidang.

Operasi Besar Di Sebalik Skrin

Menjelang kemuncak kejohanan, hampir 70 petugas terlibat dalam memastikan perjalanan siaran berjalan lancar. Mereka terdiri daripada sembilan pasukan penerbitan, teknikal dan operasi penyiaran yang diterajui oleh penerbit eksekutif, penerbit penyelaras, jurutera penyelaras serta penyelaras teknikal.

Pasukan ini turut disokong oleh penerbit siaran, jurukamera, juruaudio, operator grafik, operator EVS, pasukan digital, jurutera penyiaran, pengacara, pundit dan pelbagai kru sokongan lain.

Bagi memastikan kandungan yang disampaikan berkualiti, pemilihan 10 pengacara dan 28 pundit dibuat berdasarkan pengalaman, kredibiliti serta keupayaan memberikan analisis yang mudah difahami.

Antara pengacara yang terlibat termasuk Zachki Ahmad Suri, Iffah Hazim, Jeed Zulkefli, Mia Ibrahim dan Ninie Ibrahim, manakala barisan pundit antaranya Stanley Bernard Stephen Samuel, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Lim Chan Yew.

Cabaran terbesar dalam siaran langsung bukan hanya berkaitan aspek teknikal, tetapi juga keupayaan membuat keputusan pantas apabila berdepan situasi tidak dijangka seperti perubahan jadual, kelewatan isyarat atau penangguhan perlawanan.

Bagi memastikan operasi kekal stabil, RTM menggunakan sistem sandaran bagi komponen penting termasuk penghantaran isyarat, audio, video dan bekalan kuasa. Beberapa perlawanan turut menyaksikan kru perlu menguruskan tempoh siaran tambahan apabila perlawanan tertangguh.

Situasi itu dilalui pengacara Iffah Hazim apabila dua perlawanan yang dikendalikannya mengalami penangguhan. Dalam tempoh tersebut, pasukan studio perlu meneruskan siaran tanpa visual perlawanan sambil memastikan kandungan kekal menarik menerusi maklumat terkini dan perbincangan bersama tetamu.

Dari sudut teknologi pula, RTM memperkenalkan pengalaman tontonan lebih moden menerusi penggunaan Augmented Reality (AR), grafik analisis interaktif, data statistik masa nyata serta sistem paparan digital yang membantu menyampaikan maklumat dengan lebih jelas kepada penonton.


Menurut Penerbit Penyelaras Siaran Langsung Grandstand Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2026, Md Radzi Mohd Ruslan, kekuatan sesebuah siaran bukan hanya bergantung kepada visual berkualiti tinggi, tetapi turut dipengaruhi oleh elemen penceritaan.

“Storytelling dibina berdasarkan perjalanan perlawanan itu sendiri dengan menggabungkan latar belakang pasukan, statistik, naratif pemain, momentum permainan dan analisis pundit,” katanya.

Tambahnya, gabungan penceritaan menarik, maklumat tepat, analisis bernilai serta koordinasi produksi yang mantap membantu memastikan penonton terus mengikuti siaran dari awal hingga tamat.

Dalam masa sama, maklum balas penonton di media sosial turut menjadi panduan kepada RTM untuk mempertingkatkan kualiti kandungan, penyampaian dan aspek teknikal.

Siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 boleh disaksikan menerusi saluran Okey, Sukan+ serta RTMKlik pada 20 Julai, jam 1.30 pagi bagi Grandstand dan 3 pagi untuk sepak mula perlawanan akhir. Penonton juga boleh menikmati pengalaman tontonan bersama menerusi skrin gergasi di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments