[REVIEW] 'How to Rob a Bank', Rompakan Bank Jadi Tontonan Dunia Digital

Kumpulan Ryan mengenakan topeng haiwan sebagai identiti unik mereka ketika melakukan rompakan 

FILEM rompakan atau heist movie sering menarik perhatian menerusi perancangan licik, strategi luar jangka dan permainan helah yang menjadi nadi kepada setiap misi.

Namun, perubahan zaman turut mempengaruhi cara jenayah digambarkan dalam filem apabila dunia digital membuka ruang kepada idea lebih moden, termasuk menjadikan aksi rompakan sebagai kandungan yang mampu menarik perhatian jutaan penonton.

Idea itu menjadi asas kepada How to Rob a Bank, filem aksi jenayah arahan David Leitch yang menggabungkan rompakan, komedi dan sindiran sosial dalam latar kehidupan moden.

Dibintangi Nicholas Hoult, Anna Sawai, Zoë Kravitz dan John C. Reilly, filem berdurasi 122 minit ini mengikuti sekumpulan penjenayah yang merakam, menyunting dan menyiarkan aksi rompakan bank mereka di media sosial.

Ryan (Hoult) mengetuai kumpulan itu bersama isterinya, Emi (Sawai). Mereka menjadikan setiap misi sebagai protes terhadap sistem ekonomi yang dianggap lebih memihak kepada golongan berada.

Populariti mereka mula menarik perhatian ejen FBI, John West (Reilly) kemudian mendapatkan bantuan Reagan Gardner (Kravitz), seorang penggodam yang mahir menjejaki individu menerusi data dan imej digital.

Pertembungan antara pendekatan penyiasatan West dengan kepakaran Reagan turut menghasilkan beberapa interaksi menghiburkan.

Idea Segar Dalam Dunia Rompakan Digital

Kekuatan How to Rob a Bank paling ketara menerusi sentuhan pengarahan David Leitch yang sebelum ini turut mengarahkan filem aksi seperti Bullet Train dan The Fall Guy.

Rentak pantas, pergerakan kamera dinamik dan susunan babak rompakan menjadikan filem ini mudah diikuti serta tidak terlalu bergantung pada dialog untuk membina ketegangan. Penggunaan rakaman mudah alih, sudut pandangan berbeza dan suntingan pantas turut memberikan identiti visual yang sesuai dengan kandungan digital ciptaan kumpulan tersebut.

Pendekatan ini menjadikan aksi mereka terasa seperti tontonan media sosial, sekali gus mengukuhkan idea utama naskhah. Beberapa selingan humor turut membantu mencairkan suasana, meskipun tidak semua jenaka meninggalkan kesan.

Satu lagi perincian menarik ialah penggunaan topeng haiwan seperti serigala, arnab dan beruang oleh kumpulan tersebut. Pemilihannya bukan sekadar untuk menyembunyikan identiti, sebaliknya mahu kelihatan lebih dekat dengan dunia kanak-kanak berbanding menakutkan.


Antara babak menarik yang mewarnai filem How to Rob a Bank

Dari segi lakonan, Hoult membawa watak Ryan dengan karisma seorang ketua yang yakin dan bijak mempengaruhi orang ramai. Namun, sisi emosionalnya yang berkait dengan tragedi keluarga tidak dikembangkan secukupnya, menyebabkan peralihan daripada aksi komedi kepada drama terasa agak mendadak dan tidak meninggalkan impak.

Sawai pula mempunyai ruang yang agak terhad sebagai Emi, sedangkan wataknya berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam perkembangan cerita. Namun gandingan Reilly dan Kravitz mencuri perhatian menerusi perbezaan personaliti serta interaksi yang menghiburkan, sekali gus memberi variasi kepada suasana penyiasatan.

Bagaimanapun, kelemahan utama filem ini terletak pada skripnya yang cuba menggabungkan terlalu banyak perkara dalam satu penceritaan. Isu ketidaksamaan ekonomi, kritikan terhadap golongan korporat, pengaruh media sosial dan latar belakang peribadi watak semuanya mempunyai potensi, tetapi tidak diberikan ruang yang seimbang.

Akibatnya, mesej sosial yang mahu disampaikan kadangkala terasa terlalu jelas melalui dialog, sedangkan perkembangan watak dan konflik emosi masih belum cukup kukuh untuk meninggalkan kesan. Perubahan nada antara aksi, humor dan drama juga menyebabkan beberapa bahagian tidak sekata.

Idea menjadikan kumpulan penjenayah sebagai wira moden sebenarnya membuka persoalan menarik tentang kuasa populariti dan persepsi masyarakat.

Namun, filem ini tidak meneroka sepenuhnya kesan tindakan mereka atau konflik moral di sebalik jenayah yang dilakukan. Hal itu menyebabkan premis yang segar tidak berkembang menjadi penceritaan yang benar-benar mencengkam.

Secara keseluruhan, How to Rob a Bank menawarkan hiburan aksi yang bertenaga dengan idea moden dan barisan pelakon berpengalaman. Walaupun tidak mencapai potensi sepenuhnya dari sudut penceritaan, filem ini masih mempunyai tarikan buat peminat genre rompakan yang menggemari aksi pantas, humor dan sentuhan budaya digital. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:


HOW TO ROB A BANK
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: 16
Genre: Aksi/Komedi
Durasi: 2 Jam 2 Minit
Pengarah: David Leitch
Pelakon: Nicholas Hoult, Zoe Kravitz, Anna Sawai, Rhenzy Feliz, Christian Slater, Pete Davidson, John C. Reilly
Edaran: Sony Pictures Entertainment
Tarikh Tayangan: 19 November 2026
Bintang: 6/10
[KREDIT FOTO: Sony Pictures Entertainment]


THE HUNGER GAMES: SUNRISE ON THE REAPING
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: 16
Genre: Aksi/Pengembaraan
Durasi: 2 Jam 38 Minit
Pengarah: Francis Lawrence
Pelakon: Joseph Zada, Mckenna Grace, Elle Fanning, Whitney Peak
Edaran: Encore Films
Tarikh Tayangan: 19 November 2026

BISIKAN: LUKA YANG BERBISIK
Bahasa: Melayu
Klasifikasi: 18
Genre: Seram
Durasi: 1 Jam 26 Minit
Pengarah: Opie Zami
Pelakon: Fatin Afeefa, Iman Zulkarnain, Azhan Rani, Vanidah Imran, Altimet
Edaran: 10 Star Cinemas
Tarikh Tayangan: 19 November 2026

BABY UDON
Bahasa: Indonesia
Klasifikasi: 16
Genre: Drama/Roman
Durasi: 1 Jam 58 Minit
Pengarah: Fajar Bustomi
Pelakon: Denny Sumargo, Caitlin Halderman, Vonny Anggraini
Edaran: GSC Movies
Tarikh Tayangan: 19 November 2026

Post a Comment

0 Comments