Adam Dinobat Pemain Terbaik, Semangat Juang Tarik Perhatian Kapten

Adam menerima Anugerah Pemain terbaik Perlawanan selepas membantu Malaysia menewaskan Amerika Asyarikat 4-2 | FOTO Konfederasi Hoki Malaysia

Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN
BAGI pemain muda, mendapat peluang beraksi bersama skuad senior negara sudah menjadi pengalaman berharga. Namun, apabila usaha di atas padang turut membuahkan jaringan gol dan pengiktirafan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan, ia pastinya menjadi detik yang sukar dilupakan.


Pengalaman manis itu dilalui pemain hoki negara, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari, 20, ketika membantu Malaysia menewaskan Amerika Syarikat 4–2 dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah 2026 di Ipoh, Perak.

Lebih menggembirakan, Adam sendiri tidak menjangkakan akan menerima pengiktirafan berkenaan, apatah lagi berjaya menyumbang jaringan buat pasukan.

“Saya sangat gembira sebab tak sangka dapat ‘man of the match’. Saya cuma buat yang terbaik dan alhamdulillah kerana pada masa sama berjaya menjaringkan gol,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

Kejayaan tersebut turut membawa makna tersendiri apabila dapat dikongsikan bersama keluarga, khususnya ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan meskipun berada jauh daripadanya.

“Tentulah saya kongsi momen itu dengan keluarga, ibu bapa, mereka sangat gembira. Walaupun mereka jauh namun ini adalah hadiah manis untuk dia orang,” luahnya.

Bercerita lanjut mengenai jaringan yang dihasilkan, Adam menjelaskan keyakinannya mengambil peluang di hadapan gol hadir daripada tanggungjawabnya sebagai pemain tengah menyerang.

“Saya memang ‘midfield attacking’, jadi saya dah memang yakin dan cuba sahaja. Alhamdulillah berjaya,” ujarnya.

Keyakinan itu juga tidak hadir tanpa persediaan. Sepanjang menjalani latihan bersama skuad negara, pemain muda berkenaan mengambil kesempatan untuk menimba pengalaman daripada barisan pemain senior sebelum mengaplikasikan ilmu yang dipelajari ketika perlawanan.

“Ketika Latihan, saya sebenarnya banyak belajar daripada senior terutamanya Faiz Helmi, Nik Aiman, Fitri dan dari situlah saya buktikan kemampuan sewaktu game,” katanya.

Potensi Pemain Muda Jadi Perhatian

Kesungguhan Adam untuk terus belajar dan memperbaiki permainan turut mendapat perhatian kapten skuad negara, Muhammad Marhan Jalil, 36, yang melihat pemain muda itu mempunyai keberanian untuk mencabar kemampuan diri di peringkat antarabangsa.

Marhan Puji keberanian Adam

Bagi Marhan, peluang yang diberikan kepada Adam sudah dimanfaatkan dengan baik apabila dia mampu menunjukkan permainan positif meskipun masih muda berbanding pemain lain dalam skuad.

“Saya cukup bangga dengan Adam sebab dia masih muda dan berani bermain terutama di kejohanan antarabangsa peringkat senior. Dia telah menunjukkan permainan yang positif di usianya, saya harap dia lebih konsisten,” ujarnya.

Bukan sekadar kemampuan di atas padang, keperibadian Adam yang merendah diri dan tidak keberatan menerima tunjuk ajar juga menjadi antara perkara yang disenangi kapten berkenaan.

“Dia seorang yang merendah diri dan sentiasa ingin belajar perkara-perkara baharu. Apa dia buat pada setiap game saya rasa sangat bagus untuk pasukan.

“Saya puji semangat juang tinggi di usia mudanya,” katanya.

Dalam pada itu, Marhan turut melihat masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki oleh skuad negara, terutama corak permainan pada suku pertama dan kedua.

Marhan berharap setiap pemain dapat mengekalkan disiplin dan kesungguhan sepanjang perlawanan, selain memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti bagi memastikan skuad negara terus mempamerkan aksi lebih konsisten dalam kejohanan itu. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments