![]() |
| (Dari kiri) Faizul, Shahir, Faizal, Mila, Stacy, Vince, Zahid dan Firman | FOTO: Astro |
SEJAK diperkenalkan, Gegar Vaganza (GV) bukan sekadar menjadi pentas pertandingan nyanyian, malah turut membuka peluang kepada penyanyi berpengalaman untuk kembali mencuri perhatian peminat dan mengembalikan populariti mereka dalam industri muzik tanah air.
Peranan itu diteruskan menerusi GV musim terbaharu, yang tampil dengan kelainan sempena ulang tahun ke-30 Astro apabila menghimpunkan barisan juara Akademi Fantasia (AF) dari musim pertama hingga musim ke-12 pada satu pentas.
Gabungan ini membawa dimensi berbeza kepada GV13, dengan sembilan penyanyi yang pernah menjuarai program realiti itu kembali berentap di pentas untuk membuktikan keupayaan masing-masing.
Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, Stacy, Shahir, Faizul dan Firman antara nama yang bakal berentap merebut gelaran juara GV13.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata, penyatuan dua program ikonik itu menjadi sebahagian daripada usaha meraikan legasi hiburan tempatan yang terus dekat di hati penonton.
“GV13 menjadi platform yang menyatukan dua jenama ikonik yang dekat di hati penonton, iaitu Gegar Vaganza dan Akademi Fantasia.
"Mengembalikan para juara Akademi Fantasia ke pentas ini bukan sekadar membangkitkan nostalgia, tetapi juga meraikan sebuah legasi yang telah mencorakkan industri hiburan tempatan dan melahirkan ramai artis yang terus relevan sehingga hari ini,” katanya.
Persaingan Baharu, Pengalaman Berbeza
Mengiringi persaingan musim ini, Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad kembali bergandingan sebagai pengacara.
Barisan juri turut mengekalkan Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang, manakala bekas tenaga pengajar AF akan tampil sebagai juri jemputan khas untuk berkongsi pandangan serta pengalaman mereka sepanjang pertandingan.
GV13 turut memperkenalkan GVUNDI, platform undian yang membolehkan peminat menyokong peserta pilihan menerusi WhatsApp Chatbot Gegarvaganza.
Mengembalikan nostalgia ‘Jari Menjadi Juri’, sistem ini memberi peluang kepada penonton untuk turut mempengaruhi kedudukan peserta setiap minggu. Undian peminat menyumbang 10 peratus (%) daripada markah keseluruhan, manakala baki 90% ditentukan oleh juri profesional.
Gabungan kedua-dua elemen ini membolehkan sokongan penonton menjadi sebahagian daripada perjalanan pertandingan tanpa mengetepikan penilaian barisan juri.
Berlangsung selama 11 minggu, GV13 bakal bersiaran secara langsung mulai 8 November, setiap Ahad, jam 9 malam, dari Auditorium MBSA, Shah Alam. Program ini boleh ditonton menerusi Astro Ria (saluran 104), selain distrim secara On Demand melalui Astro GO dan Sooka. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
%20-%20(1).jpg)
%20-%20(3).jpg)
%20-%20(40).jpg)
0 Comments