Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Dari Perth ke Rottnest: Family-Friendly Adventure di Western Australia


Oleh: SORAYA AFNAN

WESTERNA Australia bagaikan taman permainan musim cuti sekolah paling ideal untuk keluarga dari Malaysia. Hanya kurang enam jam penerbangan, destinasi ini menawarkan kombinasi menyegarkan di mana cuaca sejuk yang nyaman, pemandangan indah, dan pengalaman yang sukar dilupakan untuk ibu bapa dan anak-anak.


Sama ada menjejak lumba-lumba di habitat semula jadi, berbasikal di pulau bebas kereta, mencabar diri di zip line hutan, atau meneroka pusat sains interaktif, Western Australia penuh dengan keseimbangan seronok, pembelajaran dan keindahan alam semula jadi.

Dari pesisir pantai ke hutan, hinggalah ke tengah kota Perth, inilah antara pengalaman mesra keluarga yang wajib dimasukkan dalam itinerari cuti sekolah anda.

Pengalaman Pesisir & Hidupan Liar

1. Dolphin Discovery Centre, Bunbury

Terletak di Koombana Bay, Dolphin Discovery Centre adalah pengalaman lumba-lumba liar paling utama di Australia dan satu destinasi wajib untuk keluarga.

Pusat eko-pelancongan tanpa keuntungan ini menjadi habitat lebih 100 ekor bottlenose dolphin yang sering muncul di perairan cetek Dolphin Interaction Zone, memberi peluang pengunjung melihat mereka dari dekat di habitat asal.

Walaupun kunjungan lumba-lumba liar lebih kerap pada musim panas, pusat ini menawarkan eco-cruise sepanjang tahun yang menjanjikan kelibat mereka di teluk.

Dari November hingga April, pakej ‘Swim with Dolphins’ memberi peluang pengunjung berani untuk snorkel bersama makhluk menawan ini.

Di dalam Marine Discovery and Interpretive Centre, kanak-kanak boleh meneroka pameran interaktif, akuarium, dan dolphinarium 360 darjah. Aktiviti menyeronokkan termasuk sesi memberi makan sotong dan penyu, touch pool, pameran realiti maya, dan teater kecil yang menayangkan filem marin.

Gabungan pendidikan dan hiburan ini bukan sekadar seronok, malah memberi pemahaman lebih mendalam tentang ekosistem lumba-lumba.


Quokka, Rottnest Island


2. Rottnest Island

Hanya dengan feri singkat dari Perth, Rottnest Island adalah syurga pantai yang menjadi rumah kepada salah satu haiwan paling terkenal Australia iaitu quokka. Digelar sebagai 'haiwan paling ceria di dunia', marsupial comel ini hanya boleh ditemui di Western Austaralia dan cukup mesra untuk bergambar selfie bersama keluarga.

Dengan persekitaran bebas kereta, pulau ini selamat untuk kanak-kanak. Basikal menjadi pengangkutan utama, membolehkan keluarga berbasikal dari pantai berpasir putih ke teluk terlindung dan titik pandang indah.

Kanak-kanak kecil akan suka bermain di air cetek tenang di The Basin, sementara yang lebih besar boleh snorkel di antara ikan berwarna-warni atau sertai lawatan terumbu karang.

Pulau ini juga menawarkan denai jalan kaki budaya, tapak bersejarah, dan penerbangan scenic untuk menikmati pemandangan persisiran turquoise dari udara.

Sama ada untuk lawatan sehari atau bermalam, Rottnest Island menjanjikan campuran rehat, pengembaraan, dan momen hidupan liar yang tak terlupa.

Hutan, Denai dan Pengembaraan Luar

1. Ludlow Tuart Forest, Busselton

Di bawah naungan pokok tuart yang menjulang tinggi, satu-satunya kawasan terakhir spesies jarang ini di dunia terletaknya Forest Adventures, taman pengembaraan tali tinggi untuk kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas.

Taman ini menawarkan enam laluan halangan dengan lebih 70 aktiviti termasuk flying fox, jambatan gantung, beam seimbang dan jaring kargo.

Keluarga bukan saja dapat merasai cabaran fizikal, malah menghayati keindahan Ludlow Tuart Forest yang bersejarah. Gabungan adrenalin dan alam semula jadi menjadikannya aktiviti mengikat hubungan keluarga yang sempurna.


Berkayak di perairan tenang Lake Leschenaultia, Perth


2. Lake Leschenaultia, Perth Hills

Hanya 45 minit dari Perth, Lake Leschenaultia adalah lokasi santai mesra keluarga dengan air biru berkilauan, kawasan berkelah teduh, dan aktiviti menyeronokkan untuk seharian.

Dibina asalnya sebagai empangan pada lewat 1800-an, kini ia menjadi kawasan rekreasi popular di mana keluarga boleh berenang, berkayak atau paddleboard di perairan tenang.

Kemudahan lain termasuk taman permainan, tempat BBQ, serta denai jalan kaki dan basikal yang mengelilingi tasik. Bagi yang mahu lanjutkan keseronokan, terdapat tapak perkhemahan untuk menikmati malam di alam semula jadi.

Tarikan Pendidikan dan Budaya

1. Scitech, Perth

Scitech ialah pusat sains dan teknologi interaktif di Perth yang menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan untuk semua peringkat umur. Pamerannya meliputi fizik, kimia, kejuruteraan hingga robotik, menggalakkan minda muda untuk bereksperimen dan meneroka.

Di sini juga terletak planetarium terbesar di Australasia dengan pertunjukan imersif tentang angkasa dan astronomi.

Sempena cuti sekolah, Scitech sering menganjurkan bengkel khas yang memberi peluang kanak-kanak membina, mencipta, dan menyelesaikan masalah dalam suasana menyeronokkan.

2. Yanchep National Park

Terletak di utara Perth, Yanchep National Park menyatukan hidupan liar, budaya dan pengembaraan. Keluarga boleh berjalan di laluan koala boardwalk untuk melihat marsupial mengantuk ini dari dekat atau memerhati kanggaru meragut di padang terbuka.

Taman ini juga menawarkan lawatan berpandu ke Crystal Cave yang dipenuhi formasi batu kapur berkilauan.

Bagi pengalaman budaya, pengunjung boleh sertai aktiviti Aboriginal untuk mendalami tradisi Noongar, kisah rakyat, dan bush tucker.

Untuk remaja, Tree Adventure ropes course menyediakan cara menyeronokkan menjelajah puncak pokok sambil membina keyakinan diri.


Pengalaman bersama koala di Caversham Wildlife Park, Swan Valley

3. Caversham Wildlife Park

Di Swan Valley, Caversham Wildlife Park menjadi destinasi ideal untuk bertemu haiwan ikonik Australia. Kanak-kanak boleh memberi makan kanggaru di padang terbuka atau bergambar bersama koala yang mesra.

Taman ini juga menempatkan wombat, echidna, serta pelbagai spesies burung, menawarkan pengalaman biodiversiti yang kaya.

Selain itu, pengunjung boleh menonton persembahan langsung termasuk demonstrasi gunting bulu biri-biri dan pengalaman ladang yang mempamerkan sisi kehidupan luar bandar Australia.

Suasana mesra dan interaktif menjadikannya tempat yang sesuai untuk anak-anak belajar, meneroka, dan mencipta memori berharga.

Rancang Cuti Sekolah Anda di Western Australia

Western Australia penuh dengan pengalaman mesra keluarga yang menggabungkan keseronokan, pembelajaran, dan keindahan alam semula jadi.

Sama ada meluncur bersama lumba-lumba liar, berbasikal di sisi quokka, memanjat canopi hutan atau meneroka gua berkilauan, setiap hari menawarkan memori baru untuk seisi keluarga.

Keluarga dari Malaysia, inilah masanya merancang percutian cuti sekolah anda ke Western Australia dan cipta momen yang akan dikenang anak-anak selama bertahun-tahun. Untuk inspirasi dan idea perjalanan, lawati www.westernaustralia.com.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments