BANGUNAN ikonik Exchange 106 kini melangkah ke dimensi baharu, bukan sekadar mercu tanda perniagaan, tetapi juga ruang yang meraikan seni dan budaya.
Menyambut sambutan Merdeka, Exchange 106 mempersembahkan pameran seni sulung bertemakan kemerdekaan, 'Rasa' Merdeka!, hasil kolaborasi bersama Penerbitan Senimalaya (M) Sdn. Bhd.
Pameran ini menjadi satu lagi titik penting dalam landskap budaya Kuala Lumpur, menggabungkan jiwa patriotik dengan ekspresi seni di ruang yang biasanya dikaitkan dengan dunia korporat.
Bermula 16 Ogos hingga 16 September 2025 (Hari Malaysia), 'Rasa' Merdeka! dibuka kepada orang ramai setiap hari dari jam 10 pagi hingga 8 malam di @Ruang[ ]Teduh, UG31 & UG32, Exchange 106, Lingkaran TRX, Kuala Lumpur.
Menariknya, kemasukan adalah percuma di mana ia memberi peluang kepada sesiapa sahaja daripada pejalan kaki di kota hingga pemimpin industri global untuk menikmati denyut nadi kreatif Malaysia, menghubungkan sejarah gemilang dengan masa depan yang dinamik.
Seni, Identiti & Semangat Merdeka
Dikurasi oleh Ruang Teduh, galeri seni, budaya dan warisan di bawah pengurusan Senimalaya, pameran ini turut mendapat sokongan Galeri Puteh, galeri tempatan ternama yang terkenal dengan cara tidak konvensional dalam mengetengahkan bakat seni Malaysia.
Sebanyak 31 artis terkemuka tanah air bergabung, di mana masing-masing menzahirkan rasa cinta pada tanah air melalui gaya unik mereka.
Antaranya, Ahmad Shukri Mohamed dengan abstrak penuh warna yang menyentuh sisi manusia dan alam; Bayu Utomo Radjikin, penggiat multimedia yang terkenal dengan arca ikonik Bujang Berani; dan Lina Tan, yang menangkap keindahan momen seharian dalam lapisan akrilik.
Semua karya dipamerkan turut ditawarkan untuk pembelian, membolehkan pengunjung memiliki sebahagian daripada warisan kreatif Malaysia.
Lebih daripada sekadar kanvas perayaan, setiap hasil seni mengundang kita untuk merenung semula makna sebenar Merdeka iaitu tentang identiti, kebebasan, dan suara kita sebagai rakyat Malaysia.
Keunikan pameran ini ditambah dengan peluang bertemu kurator pameran secara langsung, memberi pengalaman peribadi untuk memahami karya dan idea di sebaliknya dengan lebih mendalam.
Menurut Peneraju Kreatif Senimalaya, Rahim Sadri, 'Rasa' Merdeka! hanyalah permulaan di mana ini adalah pameran pertama daripada banyak lagi projek seni yang dirancang di ruang itu sepanjang tahun.
"Melalui setiap pameran, kami mahu meraikan kepelbagaian budaya yang menjadikan Malaysia unik, dan menonjolkan semangat bersama yang menyatukan kita.
Exchange 106 juga dilihat semakin berkembang sebagai mercu budaya hidup, bukan sekadar menara perniagaan. Melalui acara seperti 'Rasa' Merdeka!, ia menegaskan peranannya dalam membentuk Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan dan pada masa sama sebagai kanvas ekspresi seni negara.
Ketua Pegawai Operasi Exchange 106, Patrick Honan, berkata, di Exchange 106, mereka mahu membina budaya kreativiti, bukan hanya dalam konteks korporat tetapi sesuatu yang benar-benar menyatukan orang ramai dan mencerminkan kepelbagaian budaya Kuala Lumpur.
"Walaupun kami sudah menjadi rumah kepada syarikat kreatif berasaskan teknologi seperti EA Games, platform seperti pameran ini melebarkan lagi horizon dengan membawa seni konvensional ke dalam ruang ini.
"Matlamat kami adalah untuk mencetuskan komuniti yang lebih ekspresif dan kreatif, serta menginspirasi bandar ini secara keseluruhan," tegasnya.
Pameran ini mengalu-alukan semua untuk hadir dan menyaksikan kepelbagaian ekspresi seni tempatan yang membanggakan. Untuk maklumat lanjut, layari www.exchange106.my . - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments