Oleh: SORAYA AFNAN
BAGI yang sedang mencari tempat santai untuk hujung minggu, sama ada bersama anak-anak atau sekadar cuci mata, MR. TOY kini memperkenalkan kedai konsep terbaharu mereka di MyTOWN Shopping Centre, Cheras.
Bukan sekadar kedai mainan biasa, cawangan baharu ini tampil sebagai ruang interaktif yang penuh imaginasi, direka untuk mencetuskan rasa seronok dan nostalgia kepada semua peringkat umur.
Sejak dilancarkan pada 2019, MR. TOY yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad dikenali sebagai destinasi permainan berkualiti dengan harga berpatutan, menjadi pilihan ramai ibu bapa dan peminat mainan.
Di cawangan terbaharu ini, MR. TOY memperkenalkan susun atur yang lebih segar dan terancang, dibahagikan mengikut zon bertema bagi memudahkan pelanggan meneroka.
Pengalaman membeli mainan menjadi lebih intuitif dan menyeronokkan, sama ada mencari hadiah hari jadi atau sekadar melihat koleksi mainan terkini. Antara pilihan yang ditawarkan termasuk figura koleksi, plushies comel, kereta kawalan jauh, robot, kotak kejutan misteri serta kelengkapan parti.
Pendek kata, bukan sahaja kanak-kanak yang teruja, malah golongan dewasa yang gemar mengumpul mainan atau mengimbau nostalgia turut boleh menikmati pengalaman ini.
Bukan Hanya Untuk Kanak-kanak
Satu perkara yang menarik tentang konsep baharu ini adalah pengiktirafan terhadap golongan ‘kidult’, istilah bagi orang dewasa yang meminati mainan, sama ada sebagai hobi koleksi, kenangan zaman kanak-kanak atau sekadar cara melepaskan tekanan.
Dengan pendekatan yang lebih inklusif, MR. TOY menjadi ruang untuk sesiapa sahaja, sama ada kanak-kanak, ibu bapa, pengumpul mainan mahupun mereka yang sekadar berjiwa muda.
Naib Presiden Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh, menyifatkan MR. TOY bukan sekadar sebuah kedai permainan, tetapi sebuah ruang yang membebaskan imaginasi.
“Sama ada anda seorang kanak-kanak, ibu bapa, atau sekadar berjiwa muda, kami telah mencipta ruang yang menyeronokkan, menginspirasikan, dan penuh kejutan.
"Ia mencetuskan kegembiraan, merangsang kreativiti, dan mencipta kenangan, semuanya pada harga berpatutan yang sentiasa kami tawarkan kepada pelanggan,” jelasnya.
Bersempena perasmian kedai konsep ini, MR. TOY menganjurkan Acara Pembukaan Istimewa selama empat hari, bermula 3 hingga 6 Julai 2025, bertempat di MyTOWN.
Pelbagai aktiviti menarik akan berlangsung sepanjang tempoh tersebut, sesuai sebagai aktiviti keluarga cuti sekolah atau hujung minggu.
Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai cawangan lain setakat ini, konsep baharu ini berpotensi untuk diperluaskan ke lokasi-lokasi lain, menjadikan kedai mainan lebih daripada sekadar tempat membeli-belah, sebaliknya, sebuah playground mini untuk semua.
Trend global hari ini menyaksikan kedai mainan bukan lagi sekadar ruang membeli-belah, tetapi satu pengalaman yang menyeronokkan. MR. TOY mengikuti langkah ini dengan mewujudkan suasana ceria dan imaginatif, menjadikan lawatan ke kedai ini sesuatu yang lebih bermakna.
Jadi, jika anda berkunjung ke MyTOWN dalam masa terdekat, mungkin ini masa yang sesuai untuk singgah melihat sendiri transformasi MR. TOY. Mana tahu, ada mainan yang mampu membawa anda kembali ke zaman kanak-kanak dahulu. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments