Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Dilemma kebangkitan Kaka Azraff


BIARPUN pernah berdepan konflik bersama bekas syarikat rakaman yang pernah dinaungi sebelum ini, penyanyi Kaka Azraff tetap kental melangkah ke depan dalam memperjuangkan kerjaya seninya.

Terbaru pemilik nama sebenar, Nor Atiqa Noor Azraff, tampil dengan sebuah single berjudul Dilemma yang juga menjadi saksi kebangkitannya.

Memilih untuk berdiri atas kaki sendiri, Kaka yang cukup terkenal dengan karya genre Pop dan R&B itu percaya  rezeki tidak pernah salah alamat.

Manakan tidak, lagu ciptaan oleh Farouk Roman dan Senna (turut menulis lirik) itu dipilih menjadi lagu runut bunyi rasmi atau Original Soundtrack (OST) untuk drama Racun Rihanna yang bakal ditayangkan di TV3 Malaysia tidak lama lagi.

Dilemma tidak sekadar sebuah lagu, tetapi merupakan cerminan kehidupan yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Ia menggambarkan perjuangan seseorang yang berhadapan dengan kemurungan dan rasa putus asa dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan ujian. 

Penyanyi berusia 35 tahun itu, teruja untuk berkongsi buah tangan terbaharunya itu dengan peminat yang banyak menyokong kerjaya seninya selama ini.

"Perasaan saya ketika itu merakamkan lagu ini bercampur baur kerana genre kali ini berlainan dengan karya-karya saya yang lain.

"Farouk Roman, yang merupakan komposer dan penerbit lagu Dilemma, berjaya membentuk vokal dan meneroka suara saya dengan genre ballad.

"Oleh hal demikian, ia menimbulkan perasaan teruja, gementar, dan gembira dalam masa sama. Secara tidak langsung, ia memudahkan saya untuk menyampaikan emosi melalui liriknya," ujarnya.


Akui Kaka, lagu tersebut juga unik kerana menggunakan judul dalam bahasa inggeris, tetapi intipatinya seratus peratus dalam bahasa Melayu.

Menampilkan melodi indah dan mendayu, penceritaannya juga bakal memberi kesan memukau kepada pendengar menerusi lirik menyentuh jiwa.

“Semestinya saya teruja untuk Dilemma kerana kali ini peminat dapat mendengar lagu saya dari sisi lain.

"Jadi saya mengharapkan agar pendengar akan sukakan lagu ini," kata ibu kepada dua anak itu lagi.

Single Dilemma kini boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.  - 7KLIK



[FOTO: Sony Music Malaysia - Terima kasih Joe Saiful]

Post a Comment

0 Comments