Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Inteam, Khai Bahar gamit nostalgia dengan Rabiatul Adawiyah 2024


SELEPAS 23 tahun lagu Rabiatul Adawiyah nyanyian kumpulan nasyid Inteam menjadi siulan ramai, kini mereka mengembalikan nostalgia lalu dengan menyanyikan semula lagu tersebut dalam versi baharu.

Menariknya, kali ii lagu ciptaan Munif Ahmad dari Kumpulan Hijjaz dan lirik oleh Abdul Kahar itu dinyanyikan bersama penyanyi Khai Bahar dengan judul Rabiatul Adawiyah 2024 (RA24).   

Mengulas tentang pemilihan Khai, Syam yang mewakili Inteam berkata, ia bukanlah kolaborasi pertama mereka bersama penyanyi itu, sebeliknya pernah berkerjasama sebelum ini menerusi lagu rakaman semula, Setanggi Syurga, empat tahun lalu.

"Sebelum ini kami pernah bekerjasama dengan Khai Bahar untuk 'remake' lagu Setanggi Syurga pada 2020.

"Kami melihat kerjasama tersebut sangat serasi dan mendapat sambutan hangat daripada peminat serta suara Khai juga sesuai dengan lagu-lagu Inteam," ujarnya.

Sementara Khai atau nama lengkapnya Muhammad Khairul Baharuddin, 30, pula menyifatkan kolaborasi bersama Inteam adalah sesuatu yang sentiasa dinantikan kerana cukup meminati lagu-lagu daripada kumpulan nasyid popular itu.

"Saya memang meminati lagu-lagu Inteam dan pernah menyanyikan lagu mereka secara 'cover' di media sosial.

"Lebih istimewa lagi, lagu Rabiatul Adawiyah ini adalah antara lagu yang sangat disukai oleh arwah Ibu saya, dan pastinya ia menggamit nostalgia yang indah," kata penyanyi yang pernah popular dengan lagu Bayang itu.

Lagu Rabiatul Adawiyah pernah dimuatkan dalam album Inteam berjudul Impian Kasih terbitan 2001 itu mengisahkan tentang serikandi sufi bernama Rabiatul Adawiyah.


Menurut Hazamin, lagu versi baharu itu menampilkan kelainan yang tersendiri sesuai dengan perkembangan muzik semasa.

"RA24 menceritakan kisah perjalanan seorang hamba Allah iaitu serikandi yang mencari Tuhannya dan akhirnya hanya meletakkan cinta Allah di dalam hatinya mengatasi segala-galanya.

"Susunan muzik lagu yang dilakukan oleh Chaan kali ini lebih segar dan mengikut arus semasa, tetapi tidak sesekali menghilangkan keaslian dan penghayatan asal lagu ini.

"Durasi lagu juga dipendekkan sedikit dengan sebahagian besar lagu dinyanyikan Khai Bahar dan sebahagian lagi oleh Inteam sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Hisyam dan Rahim menjelaskan, pendekatan mereka untuk menghasilkan lagu-lagu lama nyanyian semula dan bukan lagu baharu adalah untuk menggamit kembali nostalgia lalu bersama peminat dan ia dilakukan bersempena bulan Ramadan.

"Sebenarnya sejak sebelum pandemik, kami telah menghasilkan lebih 10 lagu baru seperti Labbaikallah, Love of God, I Love Muhammad, Sollu Alan Nabi, Gapura, Selimut Kasih dan lain-lain.

"Cuma sudah menjadi kebiasaan bagi kami menjelang Ramadan untuk menyanyikan semula lagu lama dan berduet dengan artis arus perdana.

"Ini kerana lagu-lagu lama ini ada unsur nostalgia dan kami cuba memperkenalkan semula lagu-lagu berkualiti terdahulu kepada generasi sekarang yang mungkin masih belum dilahirkan ketika lagu ini dilancarkan dahulu," jelasnya.

Lagu Rabiatul Adawiyah 2024 dilancarkan pada 8 Mac lalu dan kini boleh didapati di seluruh platform digital seperti Spotify, Deezer, Apple music, Kkbox termasuk rangkaian YouTube Inteam Digital. - 7KLIK


Post a Comment

0 Comments