Oleh: AILEEN ADAM
PASANGAN pelakon popular Korea Selatan, Kim Woo Bin dan Shin Min Ah kini bergelar suami isteri apabila selamat melangsungkan perkahwinan pada Sabtu.
Majlis bersejarah itu dikatakan diadakan secara tertutup di sebuah hotel terkemuka di Seoul, Korea selatan dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat serta kenalan rapat, selari dengan pendirian pasangan ini yang sentiasa memilih untuk menjaga privasi kehidupan mereka sejak awal hubungan lagi.
Khabar gembira tersebut disahkan menerusi perkongsian di laman sosial rasmi syarikat pengurusan mereka, AM Entertainment, yang turut memuat naik beberapa foto perkahwinan pasangan berkenaan.
Dalam kenyataan ringkas yang dikongsikan, pihak pengurusan memaklumkan bahawa Kim Woo Bin, 36, dan Shin Min Ah, 41, telah secara rasmi disatukan sebagai suami isteri.
“Hari ini, pelakon Shin Min Ah dan Kim Woo Bin secara rasmi berkahwin," ujar kenyataan itu pada ruangan kapsyen.
Pihak agensi turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan ucapan tahniah yang diterima daripada peminat serta orang ramai, sambil menyifatkan perkahwinan ini sebagai permulaan kepada perjalanan baharu yang penuh makna buat kedua-dua pelakon tersebut.
Dalam hantaran sama, mesej penghargaan daripada pasangan ini juga disampaikan kepada peminat yang selama ini setia menyokong perjalanan kerjaya mereka.
Kim Woo Bin dan Shin Min Ah dilaporkan berhasrat untuk membalas kasih sayang tersebut dengan terus memberikan komitmen terbaik menerusi karya-karya berkualiti di layar perak dan televisyen pada masa akan datang.
Difahamkan pasangan ini mula menjalinkan hubungan cinta selepas bertemu sebagai model iklan bagi sebuah jenama pakaian terkenal di Seoul pada tahun 2015.
Sejak itu, hubungan mereka berkembang secara matang dan konsisten, sekali gus menjadikan mereka sebagai pasangan yang tenang, setia dan penuh sokongan dalam dunia hiburan Korea.
Perkahwinan ini bukan sahaja mencuri perhatian peminat, malah diraikan sebagai penutup indah kepada kisah cinta yang telah melalui pelbagai fasa kehidupan, sebelum akhirnya dimeteraikan dengan ikatan sah sebagai pasangan suami isteri.
Terdahulu Kim Woo Bin dan Shin Min Ah yang hampir sedekad menjalinkan hubungan cinta, mengumumkan khabar gembira tentang perancangan perkahwinan mereka pada November lalu. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments