Advertisement

Responsive Advertisement

RM1 Juta Menanti - Lima Usahawan Asnaf Berentap di Pentas Akhir Projek Bangkit

PROJEK Bangkit kini menghampiri kemuncaknya apabila episod final bakal disiarkan Sabtu ini. Sepanjang lapan minggu, program realiti ini membawa penonton mengikuti perjalanan transformasi para usahawan asnaf yang membina perniagaan mereka langkah demi langkah melalui bimbingan mentor, cabaran dunia sebenar dan penilaian juri profesional.

Hasilnya, usaha yang bermula dari asas kini berkembang menjadi potensi perniagaan sebenar yang bersedia bersaing di pasaran.

Lima peserta terpilih berjaya mengekalkan prestasi paling konsisten sepanjang program, menampilkan kreativiti, ketahanan mental dan komitmen luar biasa dalam merealisasikan impian untuk bergelar juara.

Finalis yang bakal berentap di pentas akhir ialah Nursyahliza Syafrial dengan Jijah Satay; Ahmad Imran Mazlan yang mengetengahkan kepakaran pembuatan perabot custom melalui Reka Cantum; Nurul Asyiqin Mohamad Ramli selaku pengusaha Dark Premium Cookies di bawah Cocokins Trading; Muhammad Haziq Haime dengan produk penjagaan rambut lelaki melalui Broz&Key; serta Juliana Samsudin, pengusaha Mini Murtabak Frozen dan Inti Murtabak Frozen di bawah MPD Junior Resources.

Sebelum ini Datuk Rosyam Nor selaku ketua juri memberikan dua 'wildcard' kepada Haziq Haime dan Juliana Samsudin berdasarkan potensi produk serta tahap persediaan mereka, sekali gus menjadikan saingan final lebih sengit dan kompetitif.

Detik Penentu yang Menguji Segalanya

Hadiah utama yang ditawarkan menambahkan lagi debaran dengan geran RM50,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta pakej pengiklanan dan promosi bernilai RM1,000,000 daripada TV AlHijrah.

Tawaran ini membuka laluan besar untuk para finalis mengembangkan perniagaan serta menembusi pasaran yang lebih luas secara berterusan.

Pentas akhir kali ini turut menampilkan cabaran terakhir yang menjentik kreativiti peserta, menguji strategi pemasaran serta keupayaan operasi mereka dalam situasi sebenar. Ia menonjolkan sejauh mana ketekunan, kebijaksanaan dan daya tahan mereka sebagai usahawan yang bersedia melangkah lebih jauh.

Projek Bangkit, yang diterbitkan dengan kerjasama MAIWP, bukan sekadar program hiburan. Ia merupakan platform pembangunan kapasiti yang memperkasakan komuniti asnaf dari segi kemahiran keusahawanan, keyakinan diri serta etika kerja menjadikan setiap peserta bukan hanya matang sebagai usahawan, tetapi juga sebagai individu yang berdaya saing.

Final minggu ini dijangka memberi kesan mendalam kepada penonton, mengetengahkan bahawa setiap insan mampu bangkit apabila diberikan ruang, peluang dan tunjuk ajar yang tepat.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan pentas akhir Projek Bangkit Sabtu ini di TV AlHijrah (Saluran 114 MYTV), atau strim semula di YouTube TV AlHijrah dan AlHijrah Plus.

Detik ini bakal mencerminkan keberanian, keazaman dan semangat sebenar program ini yang menjadi bukti bahawa komuniti asnaf bukan kelompok yang tersisih, tetapi pejuang yang sedang membina masa depan mereka sendiri. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments