PENYANYI dan pelakon, Erra Fazira, bakal menamatkan zaman solo apabila mengumumkan tarikh pernikahannya bersama jejaka pilihan hati, Ezwan Zain, yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini.
Berita gembira itu dikongsi dengan sebak oleh Erra atau Fazira Wan Chek, 51, yang turut memohon agar orang ramai mendoakan agar majlis pernikahannya berjalan lancar dan dipermudah.
"Saya rasa ini berkat doa semua. Insya-Allah sekiranya tiada aral melintang, saya akan mendirikan rumah tangga pada 12 Disember ini.
"Saya menjemput rakan media dan semua untuk terus mendoakan agar majlis pernikahan saya berlangsung dengan penuh keberkatan," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Cinta Abadi 2025 yang diadakan di Hotel Marriot, Kuala Lumpur pada petang Selasa.
Erra, dan Ezwan, 44, yang juga merupakan seorang usahawan, saling mengenali hati budi hampir setahun sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Hubungan pasangan ini mula mencuri perhatian khalayak apabila Erra memuat naik ucapan romantis kepada Ezwan pada Januari lalu. Sejak itu, Erra dilihat lebih terbuka mengenai hubungan mereka, termasuk muncul bersama Ezwan dalam siaran langsung di platform media sosial.
Bintang filem
Sembilu itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007, namun perkahwinan itu berakhir pada 18 Februari 2014. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Engku Aleesya, yang kini berusia 16 tahun.
Sebelum itu, Erra pernah berkahwin dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun berakhir dengan perceraian pada 2006 dan tidak dikurniakan cahaya mata.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments