PENYANYI era 1990-an, Sheqal, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban sekitar jam 12.31 tengah hari Selasa.
Sheqal atau nama sebenarnya Shaharim Salehuddin menghembuskan nafas terakhir pada usia 60 tahun ketika berada dalam keadaan ditidurkan.
Terdahulu, penyanyi lagu Cinta Nusantara itu dimasukkan ke HTJ pada 4 Jun lalu. Dua hari kemudian, Sheqal ditidurkan selepas tahap oksigennya merosot sehingga 62 peratus.
Difahamkan, Allahyarham sebelum ini turut menghidap penyakit buah pinggang tahap empat dan menggunakan kerusi roda bagi menjalani kehidupan seharian.
Berita pemergian penyanyi kelahiran Pahang itu disahkan oleh isterinya, Normah Mohd Yusoff, 58, ketika dihubungi pihak media.
"Allahyarham meninggal dunia ketika dia ditidurkan. Tiada lagi kesakitan, dan semuanya berlaku dalam keadaan sangat tenang," kata Normah sebagaimana dilaporkan.
Sheqal dan Normah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Fatullah, 21, dan Ummu Hani, 20. Menerusi perkahwinan terdahulu bersama penyanyi dan pelakon Raja Ema pada tahun 1993, mereka memiliki dua anak lelaki, iaitu Putera Ammar, 30, dan Putera Al Kasyah, 28.
Ketika hayatnya, Sheqal dikenali dengan muzik bernuansa Nusantara dan pop tradisional dan popular menerusi lagu-lagu seperti Zapin Rindu-rinduan, Cinta Nusantara serta Ratib Orang Lautan.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampung halamannya di Raub, Pahang. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 تعليقات