Hot Posts

6/recent/ticker-posts

TV AlHijrah hidupkan semula semangat haji melalui kisah para Jemaah


TV AlHijrah kini tampil dengan sebuah program istimewa bertajuk Alumni Haji, sebuah bual bicara berkonsepkan podcast yang membawa penonton menyelami semula perjalanan spiritual para jemaah haji.

Program istimewa ini bersiaran setiap Isnin hingga Rabu, jam 6.30 petang, bermula 5 Mei hingga 4 Jun 2025.

Diterbitkan dengan pendekatan segar dan dekat di hati penonton, Alumni Haji mengetengahkan kisah-kisah peribadi yang menyentuh jiwa, sarat dengan nilai pengajaran dan hikmah kehidupan.

Dirakam sepenuhnya di studio TV AlHijrah, program ini dihoskan oleh pendakwah bebas, Ustaz Haji Fazrul Ismail yang turut menyumbang kisah pengajaran dan tauladan membantu jemaah yang bakal bertamu di Haramain kelak.

Antara pengisian utama termasuk pengalaman mendalam para jemaah sewaktu menunaikan rukun-rukun haji, detik-detik penuh keinsafan sewaktu wukuf di Arafah, serta pelbagai ujian fizikal dan emosi yang mereka tempuhi.

Tidak ketinggalan, kisah luar biasa yang menjadi tanda kasih dan rahmat Allah, sekali gus mengubah pandangan mereka terhadap kehidupan.

Melalui gaya penyampaian yang santai tetapi penuh pengisian rohani, program ini memberi ruang kepada para alumni haji untuk berkongsi kisah mereka secara terbuka dan ikhlas.

Setiap episod berfungsi bukan sahaja sebagai ruang dokumentasi, malah sebagai alat dakwah dan peringatan kepada diri mereka sendiri, dan kepada umat Islam yang menyaksikan.


Menurut Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Haji Zulkarnaen Mokhtar, ramai jemaah pulang dengan cerita yang sarat hikmah, tetapi tiada ruang untuk mereka kongsikan secara meluas.

Justeru program ini menjadi jambatan agar kisah itu tidak hilang begitu sahaja, malah menjadi sumber inspirasi kepada umat Islam yang lain.

“Di TV AlHijrah, kami tidak sekadar mahu menyiarkan sebuah program, tetapi mahu mencipta ruang yang hidup, tempat di mana para alumni haji boleh kembali duduk bersama, berkongsi pengalaman, memperbaharui azam, dan menyemai kekuatan rohani yang pernah mereka rasai.

"Ini bukan tentang mengenang semata-mata, tetapi tmeneruskan perjalanan agar semangat haji terus mengalir dalam kehidupan.

“Penonton bukan sekadar mendengar cerita, tetapi diajak untuk merenung, muhasabah, dan memperbaharui semangat dalam menghidupkan makna haji dalam kehidupan seharian,” jelasnya.

Alumni Haji juga dirangka sebagai respons kepada kekosongan pasca-haji yang sering dirasai oleh Jemaah. Rasa kehilangan arah sebaik pulang ke tanah air, perubahan tanggungjawab, serta cabaran untuk kekal istiqamah dalam amal.

Program ini hadir sebagai wadah untuk saling menguatkan, mengingatkan, dan menyatukan kembali mereka yang pernah menempuh perjalanan agung di Tanah Suci.

TV AlHijrah menjemput seluruh rakyat Malaysia, khususnya para alumni haji, untuk mengikuti siaran ini dan menjadikan kisah mereka sebagai cerminan diri. Semoga haji yang mabrur tidak hanya menjadi kenangan, tetapi terus hidup dalam amalan, akhlak dan gaya hidup seharian. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments