ANKARA, ibu kota Türkiye, dengan persekitaran binaan yang diwujudkan menerusi pendekatan pembangunan kota terancang dan seni bina moden, baru-baru ini menyertai Senarai Tentatif Warisan Dunia UNESCO, sekali gus meningkatkan jumlah hartanah Turki kepada 80 dalam senarai berkenaan.
Kementerian Budaya dan Pelancongan serta Suruhanjaya Kebangsaan Turki bagi UNESCO bekerjasama menyediakan fail permohonan untuk mengiktiraf urbanisasi Ankara sebagai model perancangan bandar moden yang terkenal di peringkat global.
Fail 'Ankara: Perancangan dan Pembinaan Ibu Kota Republik' menyerlahkan bagaimana ibu kota Turki yang dirancang dan dibentuk antara tahun 1920 dan 1970, menjadi contoh kepada ibu kota moden yang ideal pada abad ke-20 menerusi bangunan awam, ruang budaya dan kawasan umum terbuka yang dibina sebagai simbol penubuhan negara baharu.
Komponen utama fail berkenaan termasuk paksi utara-selatan Boulevard Atatürk serta daerah Ulus dan Kızılay. Struktur ikonik seperti bangunan Perhimpunan Agung Negara yang Pertama, Kedua dan Ketiga, Kompleks Presiden, Taman Güven dan Taman Youth.
Diikuti Dataran Ulus, Stesen Kereta Api Ankara, Bangunan İş Bank, pelbagai bangunan kementerian serta Dataran Kızılay dinyatakan sebagai elemen penting yang mencerminkan proses pembangunan dan pemodenan terancang Ankara.
Permohonan itu dimasukkan dalam Senarai Tentatif UNESCO di bawah kriteria warisan budaya II, IV dan VI pertubuhan berkenaan.
Kementerian Budaya dan Pelancongan berusaha untuk memastikan pemeliharaan dan transmisi warisan budaya dan semula jadi yang berkesan di peringkat antarabangsa dengan melibatkan mekanisme kerjasama global khususnya UNESCO.
Limpahan khazanah di ibu kota Turkiye
Dikelilingi oleh tanah subur Anatolia, Ankara diisytiharkan sebagai ibu kota pada 13 Oktober 1923 selepas penubuhan Republik Türkiye pada 29 Oktober.
Menggantikan İstanbul, ibu kota Empayar Uthmaniyyah yang berusia berkurun lamanya, Ankara menjadi pusat dan simbol negara Turki moden yang baharu.
Memandangkan ia telah menyaksikan penempatan pelbagai tamadun berkurun lamanya termasuk Hittites, Frigia, Rom dan Uthmaniyyah, ibu kota Türkiye moden ini memiliki banyak khazanah tersembunyi daripada peninggalan zaman dahulu sehinggalah keajaiban seni bina moden masa kini.
Tapak purba seperti Gordion tercatat dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO sebagai harta budaya ke-20 Türkiye dengan menggambarkan khazanah silamnya.
Namun, struktur moden Ankara pula khususnya yang dibina ketika era ledakan pembinaan Republik tersebut, juga sama menarik dengan mengetengahkan transformasi spatial kota tersebut semasa evolusi politik negara berkenaan. Misalnya Anıtkabir, makam Mustafa Kemal Atatürk iaitu pengasas Republik Türkiye, merupakan salah satu mercu tanda penting di bandar ini.
Mercu tanda penting yang lain seperti Muzium Ethnography, Muzium Lukisan dan Arca dan Muzium Tamadun Anatolia, dinamakan sebagai 'Muzium Terbaik di Eropah' pada tahun 1997, memukau pelancong dengan koleksi menakjubkan dan bangunan ikoniknya.
Pasu bersejarah dari Muzium Etnografi dan artifak dari Muzium Tamadun Anatolia |
Sementara itu, bangunan Perhimpunan Agung Negara yang Pertama, Kedua dan Ketiga, Kompleks Presiden dan banyak bangunan kementerian melambangkan komitmen Republik terhadap demokrasi berparlimen.
Hab kewangan seperti bangunan İş Bank mencerminkan polisi ekonomi Republik ini. Struktur seperti Fakulti Bahasa, Sejarah dan Geografi pula memberi penekanan kepada kemajuan akademik.
Sementara institusi budaya seperti State Opera and Ballet serta Ankara Radio menggambarkan dedikasi terhadap seni dan komunikasi.
Terdapat banyak lagi bangunan yang berada di kawasan yang dibentangkan dalam fail permohonan UNESCO mengetengahkan warisan sejarah dan budaya Ankara di peringkat global. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments