Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Irama Ghazal Johor buka tirai PTS2025, raikan pesona seni tradisi


Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) kembali memartabatkan seni persembahan tradisional tanah air menerusi penganjuran siri tahunan, Panggung Seni Tradisional (PST).

Acara seni yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang itu sering mencuri tumpu setiap kali penganjurannya yang menampilkan kepelbagaian bentuk seni warisan budaya yang unik.

Membuka tirai untuk edisi tahun ini, genre Muzik Ghazal berjudul Irama Ghazal Johor hasil kerjasama strategik JKKN bersama Rangkaian Ghazal Johor mengisi pentas PTS pada 23 dan 24 Mei lalu.

Merupakan satu bentuk kesenian tradisional yang menggabungkan muzik, puisi dan nyanyian, Irama Ghazal Johor tampil memukau dengan persembahan dalam format mini orkestra yang merangkumi tiga segmen utama iaitu Ghazal Asli, Ghazal Semasa dan Ghazal Pelbagai Ragam.

Diarahkan oleh Haji Johari Haji Arshad selaku Pengarah Persembahan dan Saiful Radzuan sebagai Pengarah Muzik, persembabahn istimewa itu menyaksikan gabungan antara penyanyi serta penggiat seni ghazal lama dan baharu seperti Salim Abd Samad, Hasnah Ismail, Sominim Omar, Fatimah Adan dan Nur Atikah Mohd Yusof.

Antara lagu-lagu yang mengisi malam persembahan termasuk Tanjung Jati, Pak Ngah Balik, Bintang Malam, Musalmah Manis, Di Pinggir Kayangan, Sayang Damak, Penawar Rindu, Ala Emak Kahwinkan Aku, Empat Dara, Lemak Manis, Janda Berhias dan Joget Rintik-Rintik Hujan Gerimis yang semuanya dipersembahkan dengan susunan muzik yang indah dan menyentuh jiwa.

Irama Ghazal Johor mendapat sambutan hangat daripada penonton PST2025

Apa yang menjadikan persembahan ini lebih menarik adalah keterlibatan generasi muda yang turut menunjukkan minat terhadap seni ghazal yang kini semakin jarang dipersembahkan dalam arus perdana. Ia membuktikan bahawa usaha pemeliharaan seni tradisional masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai usia.

Ghazal Johor merupakan antara warisan budaya yang mempunyai sejarah Panjang di mana ia diasaskan oleh Allahyarham Kolonel Musa Yusoff atau lebih dikenali sebagai Pak Lomak, tokoh yang dihormati sebagai ‘Bapa Ghazal’.

Lagu-lagu ghazal kebiasaannya disampaikan dalam bentuk sajak atau syair, dengan tema yang memuji keagungan Tuhan, keindahan alam, serta kisah tokoh-tokoh agung dan tempat-tempat bersejarah.

Pada 24 Mei juga malam kedua persembahan turut diadakan majlis perasmian PTS2025 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Sektor Dasar dan Perancangan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Radzi Omar.

Menurut Mohd Radzi, Irama Ghazal Johor merupakan salah satu daripada lima produksi terpilih dalam PTS2025, hasil kolaborasi MOTAC dengan pertubuhan seni budaya tempatan.

"la salah satu usaha kerjasama antara MOTAC dengan persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan seni budaya dalam memastikan pemeliharaan dan kelestarian seni persembahan tradisional dapat terus dikekalkan.

“JKKN terus komited dalam memelihara warisan budaya bangsa dalam pelbagai cabang seni. Selain itu juga, ia dapat mendidik masyarakat masa kini untuk lebih menghargai dan mencintai seni budaya negara melalui penganjuran Panggung Seni Tradisional 2025 ini,” katanya.

Program PTS bukan sekadar medan persembahan seni, malah turut menjadi platform pembangunan kapasiti buat kumpulan dan pertubuhan seni untuk menguasai aspek produksi pentas. Ia selaras dengan teras strategik JKKN dalam memperluaskan akses perkhidmatan seni dan budaya kepada komuniti sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Sejak diperkenalkan pada 2013, siri PTS telah menjadi pentas penting dalam menyemarakkan kesedaran dan minat terhadap pelbagai cabang seni persembahan warisan.

 Mohd Radzi Omar menyempurnakan perasmikan PST2025

Bagi edisi 2025, empat lagi persembahan bakal menyusul selepas Irama Ghazal Johor iaitu karya lrama Lingnan Ne, sebuah persembahan Opera Cina Kantonis daripada Persatuan Pat Woh Malaysia yang akan berlangsung pada 28 dan 29 Jun ini.

Diikuti Temasya Tari Melayu: Lama Dalam Baharu daripada Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (25 dan 26 Julai), Parampara yang merupakan persembahan tarian Klasik India daripada Angika Fine Arts (6 dan 7 September) dan Kembara Putera iaitu Teater Jikey Langkawi daripada Persatuan Penggiat Seni Kreatif Kedah (26 & 27 September).

Maklumat lanjut tentang siri persembahan PTS2025 boleh didapati menerusi laman web rasmi JKKN. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments