Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Wani Kayrie ketengahkan irama rakyat dalam Cak Cak Cekuk

Wani Kayrie | FOTO: Rocketfuel Entertainment 

PENYANYI berbakat besar yang sentiasa tampil dengan kelainan, Wani Kayrie kembali memeriahkan dunia muzik tempatan menerusi single terbaharunya berjudul Cak Cak Cekuk.

Lagu terbitan Rocketfuel Entertainment itu merupakan sebuah karya pop moden bernuansa tradisional ciptaan ciptaan bersama Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh yang menyatukan elemen budaya lama dengan susunan muzik kontemporari.

Menurut pemilik nama lengkap Syazwani Abdullah, single terbaharunya itu merupakan inspirasi daripada sebuah lagu rakyat popular, Cak Cekur Udang Gamit.

“Pertama kali saya dengar demo lagu ini, saya terus rasa, ini memang kisah hidup ramai pasangan muda sekarang. Teruja nak kahwin, tapi duit belum cukup.

"Jadi apa kata kita rakam lagu ini ddengan vibe ceria tapi penuh makna,” jelas Wani.

Cak Cak Cekuk mengambil ilham daripada nyanyian ibu atau nenek kepada anak-anak kecil, lalu diberi nafas baharu yang segar dan moden.

Tambah bintang berusia 25 tahun itu lagi, cukup teruja kerana dapat menyampaikan mesej positif dan nasihat berguna melalui karya yang berteraskan budaya.

“Saya rasa penting untuk kita sebagai generasi baharu membawa balik elemen budaya sendiri, tetapi dengan cara yang lebih relevan dan sesuai dengan zaman sekarang,” katanya.

Realiti pasangan muda

Lagu ini menggambarkan situasi sebenar yang dialami ramai pasangan muda, keinginan untuk berkahwin tetapi dibatasi cabaran kewangan.

Ia bukan sekadar hiburan, malah menjadi bentuk pemahaman dan sokongan kepada golongan muda yang sedang merancang masa depan bersama.

“Saya percaya ramai yang akan rasa dekat dengan lirik lagu ini. Kadang-kala kita tidak perlukan majlis yang mewah, cukup dengan cinta dan keikhlasan,” kata Wani.

 Cak Cak Cekuk adalah inspirasi daripada sebuah lagu rakyat popular FOTO: Rocketfuel Entertainment 

Dengan susunan muzik yang bertenaga dan lirik bersahaja, Cak Cak Cekuk membawa aura ceria yang menyuntik semangat, terutamanya bagi mereka yang sedang membuat persiapan menuju alam perkahwinan.

“Walaupun lagu ini santai, mesejnya tetap jelas. Kalau dah sayang, usaha sama-sama. Tak semestinya tunggu semua sempurna baru boleh kahwin.

“Kita semua pernah merasa susah hendak capai impian, tetapi jangan putus asa. Saya sendiri ketika hendak memulakan kerjaya seni dahulu pun ada banyak cabaran, tetapi kita kena jalan perlahan-lahan, jangan berhenti.

“Macam bait lirik, ‘Perlahan dayung sampai hujung’. Itulah semangat yang saya nak kongsi,” ujarnya.

Dengan gaya penceritaan yang ringan dan penuh kasih sayang, lagu ini juga sangat sesuai dimainkan dalam majlis perkahwinan, atau apa-apa acara berkaitan cinta dan ikatan kekeluargaan.

Jangan lepaskan peluang untuk menikmati lagu terbaharu daripada Wani Kayrie yang kini boleh didengari di Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments