BINTANG pop dunia, Dua Lipa mencuri perhatian ramai apabila memuat naik beberapa keping foto dan video ketika sedang bersiar-siar di lokasi popular, kuil Batu Caves pada Isnin.
Meski penat setelah beraksi selama dua hari di konsert jelajah dunia Dua Lipa Radical Optimism yang berlangsung di Axiata Arena pada hujung minggu lalu (23 dan 24 November), penyanyi berusia 29 tahun tetap mengambil kesempatan untuk menikmati momen istimewa di Kuala Lumpur.
Pelantun lagu Training Season dan Houdini itu dalam salah satu temubual bersama media sebelum ini pernah berkata, setiap kali mengadakan persembahan di beberapa kota serata dunia, dia tidak akan melepaskan peluang untuk mencuri sedikit masa mengunjungi beberapa lokasi menarik di sekitar kota terbabit.
Apatah lagi, Dua juga pernah mengakui Kuala Lumpur adalah sebuah destinasi kota kegemarannya sejak berkunjung buat pertama kali pada 2018.
Antara foto menarik dikongsi Dua Lipa, ketika mengunjungi kuil Batu Caves | FOTO: Instagram Dua Lipa |
Tidak hairanlah dia mengambil kesempatan untuk jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur sebelum berangkat ke Bangkok, Thailand yang merupakan destinasi konsert jejalah dunia seterusnya yang akan berlangsung pada Rabu.
Aksi Photobomb
Tidak hanya perkongsian dilakukan Dua, di laman Instagramnya, keberadaan di Batu Caves turut dikongsi peminat yang kebetulan berada di lokasi terbabit.
Menariknya, kelibat penyanyi itu bersama teman lelakinya, Callum Turner hanya disedari peminat terbabit apabila terlihat aksi 'photobomb' pasangan popular itu dalam salah satu foto yang diambilnya di lokasi sama.
Dalam pada itu, persembahan Dua di konsert jelajah dunia Dua Lipa Radical Optimism di Kuala Lumpur baru-baru ini cukup sukses, malah menuai pujian ramai sehingga trending di media sosial.
“Terima kasih, KL. Dua malam yang sangat 'berpeluh' di bandar anda,” tulisnya pada hantaran terbabit.
Rata-rata peminat berpuas hati dengan aksi hebat penyanyi itu dan mengharapkan agar Dua kembali lagi ke Kuala Lumpur pada masa akan datang. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments