Hot Posts

6/recent/ticker-posts

“Selepas bertahun mendiamkan diri, saya ingin kembali dengan sesuatu yang lebih teguh dan punya cerita” – Natasha Sass Still Standing



NATASHA SASS bukanlah satu nama asing dalam industri muzik Malaysia. Tujuh tahun lalu, bakatnya dikesan dan dia berjaya menjadi artis rakaman di bawah naungan Universal Music Malaysia.

Lewat kesempatan itu, Natasha, 23, berpeluang menjadi artis pembuka konsert beberapa bintang tersohor seperti Bruno Mars, Usher dan Datuk Seri SitiNurhaliza. Berdarah kacukan Jerman dan Malaysia, gadis berbakat itu kini sudah bersedia untuk mengukuhkan lagi kedudukannya dalam dunia seni hiburan dengan pengenalan album terbaharunya berjudul Still Standing.

Menurut Natasha, projek yang mengambil masa sekitar setahun lebih itu merupakan karya yang amat bermakna dan dekat dengan hatinya.

"Perjalanan album Still Standing adalah satu kembara yang indah. Saya mula bekerja untuk album ini pada awal 2022, malah berusaha menulis dan mencipta lagu berhari-hari hingga begitu banyak yang ingin saya kongsikan dengan dunia sejagat.

"Album ini dekat dengan hati kerana ia mengisahkan kematangan, kehidupan, cinta serta permulaan baharu kerjaya muzik saya," ujarnya.


Sempat memberi fokus kepada pendidikannya beberapa tahun sebelum ini, Natasha berasakan bahawa sekarang adalah waktu terbaik untuk mengeluarkan album.

"Selepas bertahun mendiamkan diri, saya ingin kembali dengan sesuatu yang lebih teguh dan punya cerita. 'Still Standing' yang bermaksud 'Tetap Berdiri' dalam bahasa Melayu menceritakan bahawa biarpun diberi pelbagai dugaan, kita harus tetap teguh berdiri.

Tulis lagu, lirik

Album Still Standing menampilkan lagu-lagu seperti Memory, Lost Love, Manusia, Love Myself Instead dan Round and Around.

Tambahnya lagi, ini kali pertama dalam kerjaya muziknya di mana dia diberi peluang seratus peratus untuk terbabit dalam penciptaan serta penulisan lagu, sekali gus membolehkan dia menjadi dirinya yang sebenar.

"Setelah selesai menulis, saya masuk ke studio dan serahkan semuanya kepada Johan John untuk menyusun muzik. Kami biasanya berbincang tentang bunyi dan unsur yang boleh menghidupkan lagi lagu-lagu tersebut. Dia juga mempunyai harapan tersendiri untuk album ini," katanya.

Natasha bersama wakil syarikat rakaman Universal Music Malaysia pada pelancaran album Still Standing baru-baru ini.




Dalam pada itu, Natasha berkata, tujuannya menghasilkan album ini adalah agar ia dapat didengari oleh seramai yang mungkin dan berharap pendengar mampu menikmati selain mengenali diri mereka melaluinya.

Itu baginya adalah pencapaian terbesar buat seorang penyanyi, pencipta dan penulis lagu. Sesudah itu barulah dia menyimpan hasrat untuk memenangi anugerah seperti AIM, AJL dan sebagainya.

"Kita cipta muzik untuk seni dan insan, yang lain pasti akan datang juga. Saya percaya bahawa banyak yang laluan harus dijalani dalam hidup sebelum tiba ke titik yang ingin ditujui.

"Kerjaya muzik saya tidaklah selalu memuncak, tetapi saya bersyukur untuk semua yang sudah dijalani, termasuk yang baik serta buruk.

"Ini kerana ia telah membentuk saya menjadi lebih bijak dan kuat sebagai seorang manusia. Kesenangan sebenarnya satu ancaman buat kemajuan berbanding kesusahan," katanya yang sentiasa positif.

Still Standing kini boleh didengari di semua platform digital bermula 24 November lalu. - 7KLIK



[KREDIT FOTO: Universal Music Malaysia]

Post a Comment

0 Comments