Peminat kecewa, YG Entertainment umum Ahyeon tidak sertai debut Babymonster



Oleh: AILEEN ADAM
SAAT ramai yang teruja menantikan debut girl group baharu, Babymonster yang dijadualkan pada 27 November (waktu Korea Selatan) ini, YG Entertainment tampil dengan berita mengejutkan apabila mengesahkan salah seorang anggota trainee kumpulan itu, Ahyeon tidak akan turut serta.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan agensi yang turut dinaungi kumpulan Blackpink itu, Ahyeon, 16, tidak dapat tampil debut bersama Babymonster disebabkan masalah kesihatan.

"Walaupan kami sedih tidak dapat memperkenalkan Ahyeon sebagai anggota Babymonster tetapi keputusan ini diambil demi kesihatan artis.

"Kami akan memberikan sokongan penuh agar Ahyeon dapat pulih sepenuhnya dan kembali dalam keadaan sihat," ujar YG Entertainment dalam satu kenyataan.

Susulan itu, Babymonster hanya akan tampil debut bersama enam anggota yang terdiri daripada Chiquita, Pahrita, Ruka, Haram, Asa dan Rora.



Berita tersebut pastinya mengecewakan ramai peminat yang sudah lama mengikuti perkembangan Babymonster ketika bergelar trainee bersama YG Entertainment sejak empat tahun lalu.

Apatah lagi Ahyeon juga merupakan salah seorang trainee atau calon anggota Babymonster yang mempunyai ramai peminat meskipun belum debut.

Bakat dan personaliti gadis manis asal Gangwon-do, Korea Selatan itu sejak awal sudah berjaya mencuri perhatian ramai. Malah ramai yang melihat Ahyeon mempunyai banyak persamaan dengan seniornya, Jennie Blackpink.

Apapun alasan dan perancangan YG Entertainment berhubung ketiadaan Ahyeon pada debut Babymonster itu, peminat tetap mengharapkan agar bintang berbakat besar yang masih bersekolah di sekolah seni ternama, Hanlim Art School itu akan tampil sebagai bintang K-Pop pada penampilan akan datang.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: 







Post a Comment

Previous Post Next Post