Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kekok di pentas, Tom & Fuad Rahman masih cari keserasian dalam Famili Duo



FAMILI
Duo musim ketiga terus menjentik pelbagai emosi penonton di episod kedua siarannya pada Ahad.

Enam pasangan keluarga selebriti yang terdiri daripada Haqiem Rusli & Ariff Bahran (sepupu), Shila Amzah & Syahir (Adik-beradik), Adira & Emma Suhaimi (Adik-beradik), Sharif & Syaiful (Adik-beradik), Tom & Fuad (Suami Isteri) dan Ryan & Adam Bakery (Sepupu) tampil memberikan persembahan yang terbaik mereka.

Menerusi tema 'Cinta' pada konsert minggu ini, barisan peserta perlu mengangkat tema tersebut mengikut interpretasi mereka tersendiri. Selepas tiga musim bersiaran, kini identiti Famili Duo tampil lebih jelas iaitu ingin mempertengahkan persembahan kreatif di samping vokal duet yang hebat.

Bagi pasangan suami isteri, Tom & Fuad Rahman yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang nyanyian, akur dan menerima komen bahawa persembahan mereka masih lagi kurang dari segi keserasian di pentas.

Lebih mengejutkan pada minggu ini, markah dan kedudukan mereka lebih rendah berbanding pasangan pelawak Sharif & Syaiful.

Menurut juri profesional Mas Idayu, Tom dan Fuad masih kelihatan kekok di pentas.

“Saya suka kamu berdua boleh menjadikan lagu solo ini kepada versi lagu berduet, tetapi saya dapat rasakan kamu berdua sedikit kekok ketika sedang membuat persembahan.

"Secara individu, saya sangat suka vokal Fuad dan Tom walaupun ada kekurangan dari segi tempo, tapi secara keseluruhan ia persembahan yang seronok.

"Saya nampak awak tengok satu sama lain tetapi keserasiannya tidak dapat dirasakan dari pandangan penonton. Mungkin persembahan yang seterusnya boleh tingkatkan kreativiti pentas supaya anda boleh lebih menonjolkan keserasian berdua,” katanya.




Menerima baik komen tersebut, Tom dan Fuad berjanji untuk memperbaiki kelemahan mereka pada persembahan minggu akan datang.

"Kami terima segala komen yang telah diberi oleh juri profesional kerana mereka hanya menasihati dan inginkan yang terbaik buat persembahan kami.

"Dari segi keserasian, memang kami mengaku yang ada sedikit kekok di pentas. Sebelum ini kami mengambil langkah berjaga-jaga kerana tidak ingin para penonton nampak terlalu romantik walaupun sedang bertanding di program realiti.

"Setelah mendapat komen membina daripada para juri itu, kami akan memperbaiki kekurangan kami dan lebihkan keserasian di atas pentas selain fokus kepada vokal. Minggu diberi cabaran tema rock, genre yang sememangnya forte kami, jadi kami akan terus berlatih dan cuba hasilkan persembahan lebih menarik, kata Fuad.


Pasangan duo yang membawakan lagu medley Istana Menanti dan Kesal nyanyian asal Rahim Maarof dan Ella itu hanya berpuas hati di tempat kelima mengatasi Ryan & Adam Bakery yang berada di tangga tercorot carta.

Sementara itu, minggu kedua Famili Duo 2023 menyaksikan pasangan sepupu, Haqiem Rusli & Ariff Bahran berada di kedudukan teratas, sekali gus bergelar juara mingguan menerusi persembahan mantap ketika membawakan medley lagu Earth Song dan We Will Not Go Down (Michael Jackson/Michael Heart).



Kesemua peserta diadili juri profesional yang terdiri daripada Ajak dan Mas Idayu. Famili Duo 3 yang dihoskan oleh Janna Nick dan Izzue Islam itu disiarkan secara langsung di TV3 pada setiap Ahad, jam 9 malam. - 7KLIK


Kedudukan dan markah pserta konsert minggu kedua:

1. Haqiem Rusli & Ariff Bahran (60.9%)
2. Shila Amzah & Syahir (45.4%)
3. Adira & Emma Suhaimi (45.3%)
4. Sharif & Syaiful (33.1%)
5. Tom & Fuad (32.8%)
6. Ryan & Adam Bakery (22.5%)


[KREDIT: TV3]








Post a Comment

0 Comments