Hot Posts

6/recent/ticker-posts

[REVIEW] Dr. Cheon And The Lost Talisman: elemen komedi seram pikat penonton, penampilan Jisoo Blackpink jadi bualan



FILEM terbitan produksi Korea Selatan terus mencuri tumpuan dengan naskhah-naskhah menarik yang mengisi tayangan di pawagam.

Dr. Cheon And The Lost Talisman, sebuah karya arahan Kim Seong-sik (penolong pengarah filem Parasite) yang menemui penonton pada 12 Oktober lalu turut mendapat perhatian serupa menerusi naskhah genre komedi seram.

Naskhah yang menampilkan jalan cerita cukup menarik ini mengisahkan tentang Dr. Cheon, lakonan Gang Dong-won bersama rakan baiknya, Inbae (Lee Dong-hwi) yang menyara hidup dengan menyamar sebagai bomoh yang pakar dalam aktiviti melibatkan elemen mistik.

Mereka sebenarnya menipu pelanggan dengan aksi licik dan mengagumkan sehingga ramai pelanggan percaya dengan apa sahaja yang dilakukan termasuk mengusir makhluk halus dari badan manusia. Aktiviti tersebut sering dikongsi di saluran YouTube mereka, sekali gus menjadikan mereka dikenali dan ramai yang mahu menggunakan khidmat yang disediakan.

Biarpun Dr Cheon sebenarnya memang mempunyai latar belakang daripada keluarga yang mempunyai kepakaran tersebut, tetapi dia tidak pernah berminat malah sering menganggap mereka yang mempunyai masalah mistik itu hanyalah seseorang yang ‘over thinking’ terhadap sesuatu.

Jadi dia sering menggunakan kaedah penyelesaian dengan caranya sendiri, malah segala upacara menghalau makhluk halus yang dilakukan hanyalah pembohongan semata-mata. Namun segalanya berubah apabila dia didatangi seorang wanita, Yoo-kyung (Esom) yang menawarkan upah cukup lumayan untuk menyelamatkan adik perempuannya yang telah dirasuk roh jahat.

Jalan cerita disajikan agak menarik, meski ada kala terlihat cliché pada sesetengah babak yang ditampilkan. Kim Seong-sik bijak menggunakan kreativitinya dalam membangunkan penceritaan. Sederhana, tetapi menarik dengan elemen komedi seram dibawa dengan baik.

Ada babak-babak cukup menyeramkan sehingga penonton diacah dengan rasa takut, tetapi aksi komedi bersahaja yang ditampilkan berjaya meredakan ketegangan.

Selain itu, karakter-karakter dalam karya ini juga mempunyai keistimewaan tersendiri dan mencuri tumpu. Disokong baik dengan lakonan berkesan daripada barisan pelakon utama sehinggalah pelakon yang mengisi karakter-karakter kecil.

Begitu jugalah dengan penampilan istimewa bintang popular daripada kumpulan Blackpink, Jisoo sebagai ‘pari-pari’ yang hanya muncul tidak sampai satu minit, malah tanpa dialog tetapi tetap berperanan.

Secara keseluruhannya, filem ini sangat menghiburkan dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Naskhah yang mudah difahami dan tidak menuntut anda untuk menyelesaikan teka silang kata di dalamnya.

Menariknya juga, Dr. Cheon And The Lost Talisman membuat kejutan apabila tampil dengan post credit apabila menyajikan babak sesudah filem tersebut berakhir yang seolah-olah memberi bayangan, naskhah tersebut bakal hadir dengan sekuel akan datang.

Kenapa tidak? Banyak karakter menarik dalam filem ini yang yang boleh diketengahkan sekali gus mewujudkan plot lebih menarik dan berbeza. Mungkin ramai yang mahu tengok watak Jisoo sebagai pari-pari dibesarkan, atau barangkali watak Yoo-kyung yang misteri itu.

Apa pun, jangan ketinggalan menonton Dr. Cheon and The Lost Talisman di pawagam berdekatan mulai 12 Oktober. - 7KLIK  



DR. CHEON AND THE LOST TALISMAN
Bahasa: Korea
Klasifikasi: P13
Genre: Seram/komedi
Durasi: 1 jam 38 minit
Pengarah: Kim Seong-sik
Pelakon: Kang Dong-Won, Heo Jun-ho, Esom, Lee Dong-hwi
Edaran: ATriNaga Sdn Bhd
Tarikh Tayangan: 12 Oktober 2023
Bintang: 6/10


[KREDIT FOTO: ATriNaga Sdn Bhd]




















Post a Comment

0 Comments