SETELAH kejayaan menarik kira-kira 3000 pengunjung pada tahun lalu, TAPAUfest kembali berlangsung pada 7 dan 8 Oktober 2023 di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak.
Berlatar belakangkan tasik yang indah dan gunung-ganang, TAPAUfest menjemput komuniti indie Asia Tenggara untuk #LepakLenggong bersama artis indie ternama dan berpotensi dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand dengan tema #SerumpunBerpesta.
Pengarah Kreatif TAPAUasia, Ahmad Faris, berkata, festival kali ini akan melibatkan komuniti Indie dan rakyat Lenggong.
“Dari taksub cuba nak jadikan festival kita lebih besar dan besar setiap tahun, kita buat keputusan untuk beri lebih perhatian kepada butiran-butiran kecil terutamanya dalam kurasi bagi membawakan komunti indie dan rakyat Lenggong terlibat sama,” katanya.
Bagi penganjuran kali ini, TAPAUfest juga memberi penghormatan kepada wanita yang membentuk scene. Ini dapat dilihat melalui kerjasama mereka dengan Newruul, seniman muda di sebalik rekaan poster dan merchandise rasmi, sementara barisan di Pentas pula menampilkan ramai bakat wanita yang sedang menempa nama.
Persembahan hari pertama akan dimulakan dengan kugiran Midwest Emo, Mascot yang menawarkan aksi bertenaga serta agresif dengan lirik terapeutik sebelum diteruskan oleh kumpulan reggae dub eksperimental asal Indonesia, Rub Of Rub, sekaligus melengkapkan nuansa mempesonakan kala matahari terbenam.
Membuka persembahan malam adalah duo elektronik Wobbebong. Bersenjatakan tenaga dan semangat ingin mencuba, gadis-gadis ini pasti akan membawa keseronokan dengan sentuhan eksentrik dalam set mereka.
Persembahan diteruskan dengan kugiran legenda dari Singapura, Force Vomit yang baru menyambut ulang tahun ke-20 album kedua mereka, Give It Up For The Trustfund Rockers dalam bentuk vinil. Berbekalkan bunyian ‘Garage Surf’, mereka pastinya tidak sabar untuk menghidupkan kembali kisah cinta dengan komuniti peminat indie Malaysia.
Kumpulan Rock n’ Roll Jemson kemudian akan mengambil alih pentas dengan memberi penghormatan kepada era keemasan rock kapak Malaysia sambil menyuntikkan bunyi moden dan elemen humor mereka yang tersendiri.
Menutup tirai hari pertama adalah penyanyi muda Indonesia, Nadin Amizah yang kian memenangi hati jutaan peminat terutamanya dari Indonesia dan Malaysia. Dengan karya terbaharunya Rayuan Perempuan Gila dan Semuanya Dirayakan mendapat sambutan hangat, persembahan Nadin berlatarkan tasik nanti pastinya menjanjikan pengalaman yang cukup istimewa.
Persembahan hari kedua dimulakan antara kugiran Indonesia yang menarik perhatian pada masa kini, The Jansen. Dikenali sebagai kugiran punk mid-tempo era 70-an dari Bogor, kumpulan ini meledak selepas keluaran album mereka, Banal Semakin Binal tahun lalu.
Seterusnya, Local Thrash Heroes dari Ipoh, Muck akan naik ke pentas sebagai penghormatan kepada wira tempatan. Ditubuhkan pada tahun 1994, band ini dianggap sebagai salah satu perintis ranah indie Malaysia.
Door Plant bakal melakar sejarah sebagai kugiran pertama dari Thailand yang menghiasi pentas TAPAUfest dengan membawa irama lepak dan santai ke Malaysia yang menjadi salah satu destinasi kembara tournament mereka.
Dengan membawakan genre neo-folk, Bayangan yang biasanya bergerak secara solo, kini ditemani kugiran lengkap yang pasti membawa persembahan yang memukau.
Pentas diteruskan dengan penanda generasi masa kini dari Indonesia iaitu Lomba Sihir. Pengunjung sudah tentu tidak mahu melepaskan peluang merayakan karya mereka dengan menari, tersenyum sambil hanyut bersama dalam karya cinta-benci di kota ia membesar serta tumbuh.
Artis yang akan mengakhiri persembahan TAPAUfest tahun ini merupakan anak kelahiran Borneo yang menjadi perintis awal dalam pergerakan muzik indie. Pada tahun 2009, single hitsnya Kantoi dan Bitter Heart membawanya jauh sehingga ke peringkat antarabangsa.
Pernah tampil di NPR Music Tiny Desk Concerts pada 2020, kemunculan Zee Avi dengan lagu-lagu melankolik adalah cara paling indah untuk melabuhkan tirai TAPAUfest 2023.
Persembahan muzik di Pentas hanya akan bermula pada jam 5 petang bagi memberikan masa kepada pengunjung festival untuk meneroka keajaiban Lenggong yang penuh dengan keindahan alam serta destinasi makan dan minum.
Pengunjung juga boleh berteduh dari matahari sambil belajar dan berkongsi pengetahuan di Bengkel atau terokai karya pembikin filem indie di Layar yang dikurasi dengan kerjasama Kaki Seni. Boleh juga menghilangkan dahaga dan mengisi perut dengan sajian Malaysia terbaik dihidangkan oleh peniaga dari Lenggong dan foodtruck dari seluruh Malaysia di Warung.
Bagi mereka yang suka membeli-belah atau mengumpul rekod, merchandise atau karya seni, Pasar menghimpunkan karya artis dan jenama indie sambil dihiburkan oleh DJ di pentas mini.
Satu perkara yang membezakan TAPAUfest daripada festival seni lain adalah peluang untuk berkhemah selama dua malam di Resort Tasik Raban dan merasai sepenuhnya pengalaman di Lenggong.
Pengunjung boleh menempah tapak khemah di Santuy Campsite dan sertai sesi unggun api dan persembahan akustik atau buat mereka yang inginkan pengalaman lebih minimal boleh mengikat ‘hammock’ di antara dahan pokok menerusi Outsiders Campout.
TAPAUfest 2023 adalah pengalaman festival oleh TAPAUasia dengan kerjasama Majlis Daerah Lenggong, Ipoh Social Club, Verssusika serta rakan rasmi Vans, Yoodo, Batik Air, Era, Gempak dan Syok. Acara ini disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia (KKD) melalui MyCreative Ventures (MYCV).
Tiket Pre Sale sudah boleh dibeli mulai sekarang sehingga 6 Oktober 2023. Tiket Solo Daily (1 tiket Hari 1 atau Hari 2)dijual dengan harga RM175, Solo Weekend (1 tiket Hari 1 dan Hari 2) RM330 dan Geng Weekend (4 tiket untuk Hari 1 dan Hari 2) RM1200.
Untuk tiket dan maklumat lanjut boleh layari www.TAPAUfest.asia atau ikuti @TAPAUfest di semua media sosial. - 7KLIK
0 Comments