Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Sepahtu Reunion Live Tour tawan Johor Bahru Oktober ini



SELEPAS mendapat sambutan yang hangat pada tahun lalu, Astro kini kembali menjelajah bersama Jep, Rahim, Pak Ya dan Ebby Yus dalam Sepahtu Reunion Live Tour 2023 bermula Oktober ini.

Aktif sebagai pelawak dalam industri hiburan buat hampir sedekad menjadikan Sepahtu sebuah nama yang tersohor sehingga mampu mempunyai pengikut-pengikut tegar di seluruh negara.

Apatah lagi penjelajahan pertama yang dilakukan mereka pada tahun 2022 telah mendapat sorakan yang kuat serta reaksi yang memuaskan daripada para peminat yang sanggup hadir ke lokasi-lokasi penjelajahan dari jauh semata-mata untuk menyaksikan persembahan mereka secara live.

Menyahut permintaan para peminat yang ingin melihat mereka beraksi sekali lagi, Astro kini menyambung penjelajahan ini buat kali kedua bersama-sama dengan warga Johor Bahru.

Jep, Rahim, Pak Ya dan Ebby Yus bakal membawa gelagat-gelagat mereka dalam variasi sketsa dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru untuk meluangkan masa bersama para peminat serta sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan mereka.

Sepahtu Reunion Live Tour 2023 akan berlangsung selama dua hari di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru pada 6 dan 13 Oktober ini, membawa pelbagai sketsa dan lakonan spontan tetapi padat dengan pengajaran berdasarkan isu-isu semasa.

Elemen istimewa yang digemari para penonton menerusi penjelajahan ini adalah konsep interaktif yang dibawa dengan mengadakan sesi bersama para penonton seperti membalas pickupline atau menyertai persembahan mereka, selain menampilkan rakan-rakan selebriti popular dan tetamu undangan misteri yang akan membuat kemunculan dalam sketsa mereka.

Aktiviti kemuncak yang dikekalkan daripada penjelajahan pertama adalah pemilihan pakaian mengikut tema paling menarik di kalangan penonton yang hadir iaitu dalam The Best Audience OOTD serta pencarian penonton yang paling berbakat untuk menyertai mereka di atas pentas.

Ketua Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh, berkata reaksi, sorakan dan tepukan yang diberikan ketika penjelajahan pertama bersama Sepahtu pada tahun lalu memberi inspirasi kepada pihaknya untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti bersama para peminat.

"Ternyata ramai yang ingin menyertai penjelajahan ini untuk berjumpa dan meluangkan masa bersama mereka. Oleh kerana sambutan di Johor tahun lepas amat mengagumkan, tahun ini kami akan berada di Johor Bahru selama dua hari.

"Kami juga ada merancang untuk ke negeri-negeri yang lain dan pastinya berita gembira itu akan diumumkan kemudian. Kami berharap para peminat yang tidak berpeluang untuk hadir pada tahun lepas dapat menyertai penjelajahan kali ini," katanya.


Sepahtu Reunion Live Tour 2023 akan berlangsung pada setiap hari Jumaat, bermula jam 8 malam. Para peminat yang ingin menonton Sepahtu secara live di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru boleh mendapatkan tiket di http://t2u.asia/e/32538 dengan harga RM250, RM100, RM100, RM80 dan RM40.

Eksklusif untuk para pelanggan Astro, mereka boleh melanggan masuk menerusi aplikasi My Astro untuk menebus tiket secara percuma. Tiket adalah terhad kepada lima tiket bagi setiap akaun.

Persembahan penjelajahan itu juga akan disiarkan secara langsung di Astro Warna (Saluran 107) pada hari dan masa sama. - 7KLIK

Post a Comment

0 Comments