Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Episod perpisahan selebriti tarik perhatian, Aisha Retno luah simpati dalam lagu Ternoktah




PENYANYI dan pengubah lagu, Aisha Retno, kembali dengan karya terbaharunya yang sarat dengan emosi dan makna mendalam.

Menerusi karya yang diberi judul Ternoktah, Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, meluahkan perasaannya tentang kisah bersandarkan situasi sekarang, di mana berita perpisahan melibatkan selebriti terkenal.

“Kebelakangan ini, ramai yang telah mengambil perhatian terhadap gelombang berita perpisahan melibatkan selebriti-selebriti terkemuka seperti yang dipaparkan melalui medium media tempatan. 

"Realiti ini telah membangkitkan simpati dalam diri saya dan kemudiannya meluahkan ia melalui lagu mengisahkan kisah perpisahan dengan seseorang yang amat disayanginya,” ujarnya.  

Menurut penyanyi berusia 23 tahun itu, Ternoktah menceritakan tentang perasaan yang sudah berakhir (tawar hati) pada sesuatu yang dicintai. Judulnya jelas menggambarkan tentang sesuatu yang terhenti atau habisnya sesebuah hubungan percintaan.

Karya tersebut tidak hanya menyentuh emosi para pendengar, tetapi juga mengajak mereka untuk merenung tentang erti sebenar cinta dan kepahitan yang mengiringi kehidupan.

Dengan penuh keberanian, Aisha membuktikan bakatnya sebagai penyanyi dan pengubah lagu mampu menyampaikan mesej mendalam melalui harmoni suara yang unik dengan sempurna.

Tegasnya lagi, jika seseorang berdepan kekecewaan, harus terus ke hadapan dan berusaha mencari kebahagian pada masa akan datang.

"Bagi saya, jika kita mengalami rasa kekecewaan daripada perpisahan, kita harus reda dan terima hakikat sambil berusaha mencari jalan penyelesaian bagi meneruskan kehidupan,” katanya.


Bagaimanapun bintang yang pernah menerima Anugerah Emas (SAMIs) dengan penjualan lagu W.H.U.T (Wanna Hold U Tight) menerusi penjualan strim digital di Malaysia dan Indonesia itu berkata, interpretasi terhadap lagu terbarunya itu tidak terikat kepada kisah percintaan semata-mata.

"Skop lagu ini boleh dibuka lebih besar. Dalam kehidupan, kadang-kadang kita rasa tak mahu lagi lakukan sesuatu atau mungkin rasa mahu mulakan lembaran baharu dengan orang yang kita percaya. Justeru, sudah tentu kita meletakkan noktah pada cerita lama," katanya.

Tidak menafikan ternoktah mempunyai kaitan dengan hidupnya, Aisha yang kini turut mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan itu menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran dalam hidupanya.

"Buat masa sekarang saya lebih memberi tumpuan kepada kerjaya. Semestinya banyak perkara turun naik yang berlaku dalam kehidupan saya.

"Namun semua itu saya terima dengan hati terbuka dan akhirinya dengan damai serta mengambil ia sebagai pengajaran dalam kehidupan.

"Saya mempunyai ibu dan ayah yang sentiasa menjadi tulang belakang serta memberi kata-kata semangat kepada saya,” akuinya.


Dalam menghasilkan karya-karya terbaik, Aisha sering menekankan kelainan dan keunikan seperti yang dilakukan dalam lagu Sutera yang mempunyai unsur Muzik Tarian Elekronik (EDM).

Apabila tampil dengan lagu balada, penyanyi berusia 23 tahun itu memberi sentuhan berbeza biarpun berdepan cabaran.

"Saya bersyukur diberi peluang untuk melancarkan lagu-lagu yang berbeza genre sebelum ini. Walaupun berhadapan dengan jadual kerja yang padat, tetapi saya dapat menghasilkan lagu Ternoktah.
"Genre balada ini diselit juga dengan penggayaan vokal dan muzik moden agar boleh menarik pendengar daripada pelbagai peringkat umur,” jelasnya.

 

Single Ternoktah turut mendapat sentuhan istimewa daripada dua komposer dan penulis lirik berbakat iaitu Hanis Rafi dan Firdaus Rahmat.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya gembira bekerjasama dengan mereka bukan saja untuk single ini, malah untuk beberapa lagi lagu lain yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

"Harapan sayaagar lagu ini diterima baik pendengar dan dijadikan sebagai sumber inspirasi agar orang ramai boleh mengambil tindakkan lebih positif dan manfaat jika berlaku perpisahan.” katanya.


Ternoktah
boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. - 7KLIK







Post a Comment

0 Comments