Aksi tanpa henti, Polis Evo 3 filem wajib tonton


FILEM
francais blockbuster dengan penampilan gandingan duo nombor 1 Malaysia, Polis Evo kini bersedia menemui penonton menerusi sekuel terbaharu, Polis Evo 3 di 165 buah pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 25 Mei ini.

Kemunculan filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures ini disambut positif oleh penonton selepas treler rasmi dilancarkan pada bulan lalu.

Selain menjadi filem pecah panggung ikonik yang mengangkat kredibiliti pasukan polis negara, Polis Evo 3 masih mengekalkan DNA dan elemen daripada Polis Evo pertama (2015) iaitu aksi komedi dan Polis Evo 2 (2018) yang sarat dengan aksi mendebarkan.

Dengan pengalaman dan ‘forte’ pengarah terkenal Syafiq Yusof, Polis Evo 3 menjanjikan kualiti filem setanding karya antarabangsa serta mampu memberikan pengalaman dan kepuasan berbeza kepada penonton. 

Antara lain yang menjadi kekuatan Polis Evo 3 adalah gandingan barisan pelakon hebat yang menggerakkan setiap watak. Jika terdahulu watak Inspektor Sani (Zizan Razak) dan Inspektor Khai (Shaheizy Sam) hanya berdua, kali ini skuad Polis Evo dibesarkan lagi dengan watak-watak baharu yang mempunyai kepakaran masing-masing.

Watak Inspektor Dani (Syafiq Kyle) pakar bahan letupan; Inspektor Julie (Fara Ali Khan) pakar penembak tepat;  Inspektor Dell (Douglas Lim) fokus dalam mengakses data teknologi;  ACP Farouk (Fauzi Nawawi) ketua skuad; dan Inspektor Faizal (Fezrul Khan) menjadi perisik khas.

Sementara itu pelakon terkenal Sharnaaz Ahmad membawakan watak antagonis, Reza yang digeruni. Istimewa Polis Evo 3 turut mengembalikan watak-watak daripada francais terdahulu seperti pelakon Nora Danish, Eyka Farhana, Kamaliah Mat Dom, Datin Fadilah Mansor.

Filem ini turut menampilkan nama-nama besar seperti Michael Ang, Ben Amir, Wanna Ali, Zulin Aziz, Fauziah Gaos, Ezzaty Abdullah, Iman Corrine Adrienne, Danial Zaini, Radin ERA, Daniel Cheang, pempengaruh media sosial Zukieeeee serta penampilan istimewa Datuk Afdlin Shauki.

Mewakili pihak penerbit Polis Evo 3, Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata,

“Jenama Polis Evo semakin kukuh sebagai francais aksi no 1 negara. Tentunya sebagai penerbit, kami berusaha meningkatkan taraf filem ini ke tahap lebih tinggi. Kami yakin kualiti produksi, jalan cerita serta lakonan adalah yang terbaik pernah kami hasilkan.

"Ia bukan saja mampu menepati cita rasa penonton semua lapisan umur, latar dan bangsa, malah kami mensasarkan ia untuk tontonan seluruh rakyat Malaysia. Diharapkan juga naskhah ini dapat mengangkat wajah filem tempatan apabila ia dipersembahkan kepada penonton negara luar.

"Dengan kisah yang universal, Polis Evo 3 membawa penonton merasai ‘emotional roller coaster’ melalui mood yang mendebarkan dan komedi dalam tema persahabatan, kekeluargaan dan percintaan. Kami harap kehadiran Polis Evo 3 dapat menjadikan ia sebagai filem francais aksi terbaik Malaysia serta mampu memberi kejutan terbaru dalam industri perfileman tempatan,” katanya.


Pengarah Polis Evo 3, Syafiq Yusof berkongsi rasa gembira namun dalam pada itu turut berdebar menantikan reaksi penonton.

“Saya meminati filem-filem Polis Evo dan apabila diberi peluang untuk mengarahkan sekuel seterusnya, tentunya saya sangat teruja, namun masih ada  rasa bimbang kerana francais sebelum ini telah mencipta kejayaan luar biasa.

"Saya perlu memastikan Polis Evo 3 juga mempunyai keunikan tersendiri yang mampu memenuhi jangkaan peminat serta dapat memikat penonton baru untuk mengenali Polis Evo.

"Pihak produksi, penerbit, barisan pelakon dan semua yang menjayakan filem ini telah melakukan yang terbaik dan kini tiba masanya untuk Polis Evo 3 dipersembahkan kepada penonton. Saya harap penonton dapat menerima hasil sentuhan saya dan terhibur menyaksikan filem ini, ” katanya.


Polis Evo 3 mengisahkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaharu dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.

Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.

Terdahulu Polis Evo (2015) mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta dan Polis Evo 2 (2018) memungut jumlah box office RM23juta. Kesemua francais merupakan hasil di bawah rumah produksi BlackFlag.

Tiket filem Polis Evo 3 sudah boleh dibeli sejak 11 Mei 2023 di pawagam seluruh negara. Penonton juga boleh menjadi penonton terawal menyaksikan filem ini melalui ‘sneak preview’ pada 24 Mei 2023, iaitu satu hari awal sebelum tarikh tayangan rasmi filem. 

Lagu tema utama bertajuk AYUH merupakan ciptaan komposer legenda rap terkenal, Malique bersama Adeep Nahar dan lirik oleh Malique, Kmy Kmo, Aman Ra. ‘Ayuh’ dinyanyikan oleh gabungan hebat Malique, Kmy Kmo, Aman Ra dan vokal terbaik, Ernie Zakri.

Polis Evo 3 memperlihatkan kerjasama bersama permainan mudah alih popular PUBG MOBILE melancarkan acara rentas jenama dalam permainan, PUBG MOBILE x Polis Evo 3.

Pemain akan ditawarkan pek suara khas Inspektor Khai dan Inspektor Sani berdasarkan dialog-dialog dari filem Polis Evo 3.Menariknya, kesemua dialog berkenaan disumbangkan sendiri oleh pelakonnya, Shaheizy Sam dan Zizan Razak.

Selain itu lagu pemain boleh muat turun OST Ayuh dan lagu tersebut akan muncul di ‘lobi’ – permulaan permainan. Penonton boleh saksikan treler PUBG MOBILE X Polis Evo 3 di semua platform media sosial PUBG MOBILE.

Ikuti siri jelajah Polis Evo 3 di Terengganu dan Pahang pada pada 26, 27, 28 Mei ,  Seremban (2 Jun), Kedah, Penang, Perak (3, 4, 5 Jun) dan di Singapura, Johor, Melaka (8, 9, 10, 11 Jun).

Saksikan filem aksi terhebat tahun ini, Polis Evo 3 yang akan berada di pawagam bermula 25 Mei 2023. Gunakan #PolisEvo #PolisEvo3 #PE3 bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik Polis Evo 3 di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw. 


(KREDIT: Astro Shaw)





























Post a Comment

Previous Post Next Post