AFF: Malaysia atasi Thailand 1-0



[KREDIT - BERITA HARIAN: https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2023/01/1048952/malaysia-atasi-thailand-1-0]

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya meraih bekalan tipis apabila berjaya mengalahkan juara bertahan, Thailand 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalii, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila penyerang lincah, Faisal Halim menyudahkan umpanan V Ruventhiran pada minit ke-11.

Thailand yang juga juara enam kali Piala AFF cuba bangkit mendapatkan jaringan penyamaan, bagaimanapun beberapa gerakan yang diatur mereka berjaya dipatahkan barisan pertahanan skuad Harimau Malaya diketuai Brendan Gan.

Pasukan kebangsaan yang dilihat lebih banyak mengharapkan serangan balas mendapat peluang terbaik untuk menambah jaringan pada minit ke-28, tetapi percubaan Quentin Cheng pula sedikit melepasi palang gol.

Hanya dua minit selepas bersambung babak kedua, Teerasil Dangda mencemaskan kubu skuad Harimau Malaya apabila tandukannya menggegar tiang gol yang menyaksikan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah tertewas.

Skuad Harimau Malaya mendapat gol kedua pada minit ke-55 selepas Darren Lok menanduk bola sepak percuma Lee Tuck, namun jaringan itu kemudian dibatalkan pengadil, Kim Dae Yong apabila didakwa berlaku kekasaran terhadap pemain Thailand.

Selepas itu, kubu skuad negara menerima asakan bertali arus daripada Thailand yang dilihat amat bernafsu untuk sekurang-kurangnya mendapatkan keputusan seri sebagai bekalan bagi aksi kedua di Bangkok, Selasa ini.

Namun, kebuntuan jentera serangan skuad Gajah Perang berterusan selain skuad Harimau Malaya juga perlu berterima kasih kepada barisan benteng pertahanan termasuk penjaga gol, Ahmad Syihan yang berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya.

Suasana gamat dalam tempoh lima minit masa kecederaan yang diberikan pegawai perlawanan apabila seluruh stadium bergema dengan sorakan penyokong Harimau Malaya, sekali gus menyaksikan keputusan 1-0 berjaya dipertahankan anak buah Kim Pan Gon hingga tamat permainan.


[KREDIT - BERITA HARIAN: https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2023/01/1048952/malaysia-atasi-thailand-1-0]


ARTIKEL BERKAITAN: chan-to-goh-lets-have-really-good-last
ARTIKEL BERKAITAN: liu-ying-umum-persaraan
ARTIKEL BERKAITAN: juan-shen-teruja-bergandingan-bersama

Post a Comment

Previous Post Next Post